SAYA bersetuju dengan sebahagian kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas mengenai peluang perniagaan Bumiputera di Kelantan dalam sesi soal jawab semasa Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN 2018), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pagi ini. Menurut beliau (seperti yang dilaporkan oleh portal online Malaysiakini), Kelantan merupakan sebuah negeri yang miskin walaupun ramai rakyatnya terdiri daripada usahawan yang mahir dan berbakat, dan ini disebabkan Kerajaan Negeri yang dikuasai PAS tidak dapat mentadbir sendiri tanpa bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

Setuju saya itu berdasarkan kepada pengakuan beliau bahawa rakyat Kelantan pandai. Pandai rakyat Kelantan itu telah dibuktikan dalam masa tempoh 28 tahun bermula tahun 1990 di mana rakyat Kelantan secara total menolak Barisan Nasional pada tahun tersebut pada ketika Perdana Menteri pada masa itu ialah Perdana Menteri yang sama pada hari ini. Termasuk tahun 1990, sebanyak tiga kali Pilihan Raya Umum rakyat Kelantan telah menolak Tun Dr Mahathir sehinggalah beliau berundur pada tahun 2003. Di dalam Pilihan Raya Umum terkini pada Mei yang lepas juga, rakyat Kelantan (dan Terengganu) sekali lagi membuktikan kepandaiannya dengan tidak memberikan satu kerusi pun kepada Pakatan Harapan yang telah menobatkan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri. Justeru, sangat benar kata-kata Tun Mahathir bahawa rakyat Kelantan pandai bahkan bagi saya, sangat pandai.

Adapun berhubung dakwaan beliau bahawa Kelantan miskin sehingga memerlukan bantuan Kerajaan Pusat, suka untuk saya merujuk kepada data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada 27 Oktober 2017 di bawah tajuk Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2018. Di dalam Lampiran E iaitu di bawah tajuk Pemberian Sebenar Kepada Kerajaan Negeri Tahun 2016, Kelantan dinyatakan telah menerima sejumlah RM397,989,333.00. Jika dibandingkan dengan Negeri Selangor, negeri tersebut telah menerima sebanyak RM761,803,058.00 di bawah peruntukan Perbendaharaan Negara untuk tahun 2016.

Tidaklah dinafikan kelayakan Selangor menerima peruntukan yang lebih banyak kerana jumlah pemberian tersebut berasaskan kepada keperluan tersendiri termasuklah bilangan penduduk. Namun, jika dinyatakan bahawa Kelantan negeri miskin sehingga terpaksa dihulurkan bantuan, maka sukalah dinyatakan bahawa tidak ada satu pun negeri di Malaysia yang tidak menerima peruntukan di bawah Perbendaharaan Negara.

Jika ditinjau kepada senarai berkenaan, dapat dilihat bahawa Negeri Johor menerima sebanyak RM802,219,813.00, Kedah (RM373,288,565.00), Pahang (RM391,115,129.00), Sabah (RM1,086,260,027.00) dan Sarawak (RM1,159,277,479.00). 

Jika boleh saya ingin bertanya kepada Tun Dr Mahathir, sejak bilakah Kelantan menjadi miskin sehingga terpaksa menerima bantuan Pusat itu? Jika dikatakan miskinnya Kelantan sejak tahun 1990 kerana ditadbir oleh PAS, maka saya kira bekas pemimpin-pemimpin PAS yang berada dalam Kerajaan Persekutuan pada hari ini perlu berbisik sepatah ke telinga Tun kerana tohmahannya itu sekali gus memburukkan pentadbiran Almarhum Tuan Guru Nik Aziz selama 23 tahun di Kelantan. Wallahualam jika bekas-bekas pemimpin PAS dalam Pakatan Harapan hari ini turut setuju bahawa pentadbiran Almarhum Tuan Guru Nik Aziz telah menyebabkan Kelantan jatuh miskin.

Atau mungkinkah yang dimaksudkan oleh Tun Dr Mahathir itu ialah Kelantan tiba-tiba menjadi miskin selepas ditadbir oleh YAB Dato Bentara Kanan Menteri Besar sekarang? Ia lebih lagi ajaib kerana kemiskinan berlaku secara tiba-tiba hanya kerana pertukaran Menteri Besar pada tahun 2013.

Satu lagi, saya kira kenyataan Tun Dr Mahathir ini sekali gus telah menjawab kenyataan anaknya sendiri Datuk Seri Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah. Pada 1 Julai 2018, Mukhriz dilaporkan telah mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan mencari kaedah baharu untuk mengagihkan hasil kutipan cukai negara secara saksama kepada semua negeri terutamanya negeri yang berpendapatan rendah. Menurutnya, “Kedah ini negeri tercorot dari segi hasil pendapatan dan kita tiada minyak atau gas jadi tak dapat royalti. Sebab itu, saya ingin cadangkan supaya Kerajaan Persekutuan boleh agihkan dengan saksama hasil kutipan cukai untuk manfaat bersama terutamanya kepada negeri berpendapatan rendah seperti Kedah.” 

Kenyataan tersebut diulangi pula di dalam sidang Parlimen baru-baru ini. Jadi, hari ini bapanya iaitu Tun Dr Mahathir telah memberikan petunjuk secara tidak langsung agar Kedah boleh berikhtiar mencari sendiri sumber pendapatan tanpa bergantung kepada Kerajaan Pusat kerana Kedah dipimpin oleh parti yang cerdik. Jangan jadi seperti Kelantan.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan 
1 September 2018 - HARAKAHDAILY 1/9/2018

SAYA membaca kritikan aktivis sosial Marina Mahathir terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung kenyataannya mengenai mereka yang menyokong komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). Menurut Wan Azizah, beliau tidak akan membiarkan gaya hidup masyarakat LGBT, sambil menambah bahawa ia adalah haram. Pandangan itu dikemukakan dalam satu temu bual bersama pihak stesen radio BFM.

Saya berpandangan, apa yang diutarakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu merupakan satu kenyataan normal dari mana-mana manusia yang inginkan kehidupan yang fitrah dan tunduk kepada ciptaan asal Pencipta manusia iaitu Allah S.W.T. Kehidupan peribadi Wan Azizah sendiri dilakari dengan pelbagai ujian terhadap suaminya yang dituduh meliwat yang sehingga ke hari ini tidak berjaya dibuktikan secara Syarie menurut Undang-undang Islam. Sekalipun ia kekal misteri dan masyarakat akhirnya kekal tidak tahu siapakah yang berbohong, bapa Marina kah atau suami Wan Azizah, namun saya yakin jauh di sudut hati Wan Azizah, beliau sangat sensitif dengan isu yang telah menghilangkan 2 dekad ketenteraman keluarganya ini.

Justeru, pendirian Wan Azizah wajib disokong. Bukan kerana ia keluar dari mulut seorang Timbalan Perdana Menteri atau seorang isteri kepada mangsa fitnah, tetapi kerana ia adalah selari dengan Islam. Mana-mana pihak yang membiarkan gaya hidup kelompok LGBT bahkan menyokongnya adalah haram sama sekali.

Mendekati golongan ini bukan bermakna mengiktiraf gaya hidup mereka. Anda mendekati golongan penagih dadah bukan bermakna anda setuju dengan gaya hidup mereka, tetapi tujuannya ialah untuk merubah dan menjadikan mereka manusia normal yang bebas dari pengaruh dadah. Demikian juga dengan LGBT bahkan ia lebih jelas haram dengan terang untuk disokong.

Marina Mahathir nyata cuba memesongkan kenyataan Wan Azizah. Istilah ‘haram’ yang digunakan dipesongkan kepada maknanya seolah-olah golongan ini cuba dipinggirkan sama sekali. Setidak-tidaknya Marina menunjukkan rasa hormat kepada bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menangis di hadapan para ulamak demi untuk melihat masyarakat kembali kepada al-Quran. Dan kisah kaum Nabi Lut yang kaumnya terlibat dengan golongan Homoseksual telah dijatuhkan bala oleh Allah S.W.T ini terdapat di dalam al-Quran dan boleh dirujuk melalui terjemahan maknanya dalam Bahasa Inggeris mahupun mana-mana bahasa (untuk yang tidak mampu membacanya dalam Bahasa Arab). Adakah dakwah Nabi Lut kepada kaumnya agar meninggalkan kegiatan Homoseks bererti tidak menghormati ciptaan manusia?

Saya simpati kepada Timbalan Perdana Menteri. Saya sifatkan kenyataan beliau ikhlas dan lahir dari sanubari normal seorang manusia. Namun yang menyerangnya ialah anak kepada Perdana Menteri. Sepatutnya dalam suasana seperti ini, seluruh pimpinan Parti Keadilan (PKR) bangun serentak untuk menyatakan sokongan kepada Presiden parti mereka yang diherdik di khalayak ramai. Maruah Presiden parti sedang didagangkan oleh anak Perdana Menteri sendiri. Sudahlah teguran ahli Parlimen Permatang Pauh, YB Nurul Izzah Anwar terhadap langkah Perdana Menteri melantik Tan Sri Rahim Nor untuk jawatan penting dibiarkan tidak bersambut, serangan terhadap Presiden parti sendiri pun tiada siapa yang ingin bangun membela.

Jika tiada pihak dalam PKR yang sudi bangun menyokong Presiden PKR, saya sudi bangun menyokong. Mungkin juga secara senyap-senyap Wan Azizah telah dibela walaupun sepatutnya serangan terbuka dibalas dengan pembelaan terbuka, wallahualam. Barangkali juga semua pihak dalam PKR sedang sibuk dengan urusan pemilihan dalaman. Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang pada adatnya bangun menyokong pun tidak terkecuali sibuknya. Mengharapkan orang yang sibuk membela Datuk Seri Wan Azizah Ismail pada saat sekarang samalah seperti mengharapkan harga barang turun selepas SST diperkenalkan.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas 
1 September 2018 - HARAKAHDAILY 1/9/2018

GARA-gara PRU14 pada 9 Mei lalu, hujung telunjuk kiri saya masih hitam oleh celupan dakwat pada hari mengundi itu.

Sudah lebih 100 hari pengundian itu, PM Najib sudah dibuang dan GST sudah dimansuhkan, hujung telunjuk kiri saya masih hitam seperti tidak turunnya harga barang sekalipun GST sudah ditalkin.

Nasib baik saya tidak menjadi pengundi Dun Seri Setia atau Balakong. Jika jadi pengundi di situ lebih 200 harilah kuku jari itu hitam. Atau lebih enam bulan jari itu begitu.

Ketika rencana ini ditulis dua minggu lagi PRK Seri Setia pada 8 September akan berlangsung. Tidak pasti kesan hitamnya habis. Kira-kira dua kali lagi kuku itu dikerat, mungkin habislah hitamnya.

Saya kerat kuku setiap hari Jumaat. Habiskah hitamnya dua kali Jumaat lagi? Hari Sabtu 8 September itu hari mengundi. Habiskah hitamnya sehari sebelum mengundi? Itulah yang saya tunggu. Takut pada hari mengundi itu ia menunggu sekali Jumaat lagi.

Demikian istimewanya kimia yang digunakan pada dakwat SPR itu hingga kesan pada kuku kekal lebih daripada 100 hari. Semuanya berdebar-debar menunggu 100 hari kerajaan Pakatan Harapan. Terpenuhkah janji manifeso untuk 100 hari itu. Setiap hari menunggu 100 hari itu saya melihat kuku telunjuk kiri itu. Bila ia akan berakhir?

Mengenakan dakwat di hujung jari bagi mengundi itu adalah satu kemenangan demokrasi kita. Lama kumpulan pro demokrasi menuntutnya sebagai yang diamalkan oleh banyak negara demokrasi di Asia dan Afrika. Dakwat yang dicalit di kuku atau hujung jadi dicelup ke botol tidak akan padam hingga beberapa hari. Ini mengelakkan pengundi mengundi lebih daripada sekali.

Disyaki ada yang mengundi lebih daripada sekali dalam sistem pilihan raya kita. Setiap kali kumpulan pro demokrasi menuntutnya, SPR yang bebal dan keras kepala menolaknya. Tiga PRU sebelum ini SPR setuju hendak mengadakannya. Dakwat sudah ditempah. Dipercayai ia sudah diedar ke kawasan pengundi. Sekonyong-konyong kurang daripada 48 jam ia dibatalkan.

Hanya dua PRU yang terakhir ini kepala SPR sudah lembik seperti ubun-ubun kanak-kanak. Mengapa ia diberi laluan? Rupanya kerajaan yang SPR dipercayai pertahankan itu membawa isyarat kerajaan Umno/BN tidak dapat dipertahankan lagi.

Dalam PRU13 dakwaan yang digunakan tahan dua tiga hari. Kali ini ia terkesan hingga lebih 100 hari. Ada yang menggunakan klorox atau limau berasid tinggi bagi memadamkan kesan hitam di hujung jari dan kuku itu. Ia berkesan.

Demikiian saya dinasihatkan. Tetapi reaksi saya ialah saya hendak melihat ia padam sendiri. Berapa lama ia boleh bertahan? Ia bertahan selama tahannya inai di jari pengantin perempuan. Mungkin tidak ramai yang mengamati berapa lama inai bertahan di kuku? Mungkin tiada yang perasan ia bertahan tiga bulan.

Jika tidak disebabkan sekaliannya teruja dengan penungguan 100 hari kerajaan PH, tiada yang peka berapa lama kukunya terus hitam setiap kali pilihan raya selepas ini.

Pengundi Sungai Kandis sudah menjadi yang pertama menyambung kuku telunjuk kirinya dihitamkan lebih 100 hari lagi. Yang tidak mengundi mungkin senang kukunya tidak didakwat lagi sekalipun tidak menunaikan kewajipan demokrasinya.

Bagi pengundi Seri Setia dan Balakong yang mengundi bersedialah telunjuk kirinya hitam hingga akhir tahun 2018. Jika ada yang mati, masing-masing mati dengan kukunya hitam. Jangan mati dengan rambut berwarna! – HARAKAHDAILY 1/9/2018

FIRMAN Allah Taala:

‎يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَن يَبْسُطُوا إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنكُمْ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, kenanglah nikmat Allah yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu ketika kaum Musyrikin yang memusuhi kamu menghulurkan tangan untuk menyerang kamu, lalu Allah menahan tangan mereka daripada menyerang kamu. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah orang-orang yang beriman berserah diri. (Al-Maidah: 11)

Tahun ini merupakan genap 61 tahun negara kita Malaysia mencapai kemerdekaan. Nikmat kemerdekaan ini merupakan satu anugerah yang besar dan berharga buat kita semua yang wajib disyukuri dan dijaga. Segala anasir dan perbuatan yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat dan keamanan negara hendaklah dibendung dengan tegas.

Erti kemerdekaan seharusnya difahami dengan lebih meluas iaitu bukan sahaja memerdekakan tanah air daripada penjajahan fizikal, tetapi melibatkan penjajahan minda dan pemikiran. Terdapat pelbagai gerakan pemikiran yang songsang dan menyalahi norma kemanusiaan yang semakin berani untuk menyebarluaskan fahaman mereka. Perkara ini harus dibendung bagi mempertahankan keharmonian dalam negara Malaysia yang tercinta.

Islam sebagai agama Persekutuan seharusnya dihormati sepenuhnya. Saya mengharapkan, segala usaha bagi memartabatkan agama Islam dan memperkasakan pelaksanaan hukum syariah disokong dan didokong sepenuhnya sebagai memenuhi hak agama Islam sebagai agama Persekutuan tanpa dinafikan hak agama lain untuk diamalkan secara aman.

Saya juga ingin menyeru rakyat Kelantan secara khusus supaya mengambil semangat kemerdekaan ini untuk dijadikan pemangkin bagi berusaha memerdekakan diri daripada sikap buruk dan perbuatan yang menyalahi ajaran agama dan undang-undang. Semoga Negeri Kelantan dirahmati dan diberkati serta berjaya menjadi sebuah negeri yang sejahtera dengan tertegaknya ajaran dan syiar Islam.

‘Sayangi Malaysiaku’ yang menjadi tema bagi Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini wajar dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira apa jua bangsa, agama dan etnik yang wujud dengan saling menghormati dan berganding bahu demi membangunkan negara dan masyarakat.

Selamat Hari Kebangsaan 2018.

Allahuakbar.

‘Merakyatkan Membangun Bersama Islam’
‘Keberkatan, Kemakmuran, Kebajikan’

YAB USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
(DATO’ BENTARA KANAN)
MENTERI BESAR KELANTAN - HARAKAHDAILY 31/8/2018

PATTANI Darussalam adalah antara negeri Melayu yang mempunyai sejarah yang paling awal di Nusantara. Kemunculan Kerajaan Langkasuka sejak tahun 200M, dikatakan oleh kebanyakan sarjana adalah berlokasi di Pattani hari ini. Beberapa sarjana terkemuka seperti Zainal Abidin Wahid, Mubin Shepard, D.G.E Hall, Paul Wheatly dan John Braddle adalah antara yang mengatakan bahawa Pattani adalah tapak Kerajaan Melayu Langkasuka, di mana Jering dan Pujud adalah pusat kerajaannya. Dalam sejarah Majapahit yang dirakamkan oleh babad Negarakertagama, telah mengatakan bahawa ketika Majapahit melanda Langkasuka pada Abad ke-14M, ibu kota Langkasuka terletak di Djere (Jering). Sebelum beragama Hindu, Langkasuka pernah beragama Buddha kerana mereka dikuasai oleh Sriwijaya sejak 775M, di mana kesan-kesan agama Buddha masih terdapat di Yala sehingga kini. Bahkan, ketika Negeri-negeri Melayu di Utara (dari Ligor hingga Retchburi) dijajah oleh Siam Ayuttaya, Pattani mempunyai kedudukan yang setaraf dengan Empayar Siam itu - sebagai negeri yang merdeka. Beberapa pengkaji turut mengaitkan Wilayah Pattani ini dengan Kerajaan Melayu lama seperti Jawadwipa, Sampugita, Jawaka dan Melayur - kerajaan-kerajaan besar yang tercatat namanya pada prasasti-prasasti serta catatan China, Arab dan India, tetapi belum ada kajian yang serius untuk membongkarnya. Mewarisi kegemilangan ini, Pattani menjadi satu kuasa politik yang penting, khususnya di Semenanjung Tanah Melayu dan penguasaannya ke atas perdagangan di Laut China Selatan.

Dengan bagasi sejarah yang hebat ini, Pattani yang telah mula menerima Islam sejak Abad ke-13M, kemudian bangkit menjadi sebuah kuasa politik Islam yang penting di kawasan Utara dari abad ke-16M hingga abad ke-18M. Dua ciri utama Kerajaan Islam di Pattani ialah peranan para ulamak yang begitu menonjol dalam pentadbiran kerajaan, dan kemudian para ulamak Pattani juga menjadi pemacu Tamadun Melayu menerusi kegiatan keilmuan yang terbesar di Nusantara, menggantikan Aceh (Perlak, Samudera-Pasai dan Aceh Darussalam). Pattani dianggap sebagai Serambi Makkah dalam keilmuan Islam pada abad ke-16M hingga abad ke-19M. Dengan fungsi keilmuan inilah Pattani mencipta nama sebagai sebuah kuasa politik Melayu terpenting di Nusantara. Namun begitu, faktor itu jugalah yang menimbulkan kecemburuan besar kuasa-kuasa politik bukan Islam, yang menyebabkan berlakunya konspirasi di antara Kerajaan Buddha Siam dan kuasa-kuasa penjajah Barat, yang akhirnya menghancurkan Pattani bermula dengan perang Musuh Pattani pada 1786M. Kerana itu, ulamak besar Pattani, Sheikh Wan Ahmad Mohamad Zain al-Fathani menukarkan nama "Petani" yang bermaksud fitnah atau ujian, kepada "Fathani" yang bermaksud bijaksana, yang hari ini dieja dengan sebutan Siam sebagai "Pattani."

Islam di Pattani: Kekeliruan yang belum dirungkai

Peranan Pattani terhadap perkembangan keilmuan Islam terutama selepas abad ke-16M memang tidak dapat ditolak, tetapi yang masih menjadi persoalan ialah bilakah Islam mulai masuk ke Pattani. Kebanyakan pengkaji mengambil tahun peng-Islaman Raja Phya Tu Nakpa atau Raja Anthira Wangsa sebagai permulaan masuknya Islam ke wilayah bekas Langkasuka itu. Namun, ia telah dipersoalkan oleh beberapa fakta lain yang menunjukkan kemungkin Islam telah tiba lebih awal dari tahun 1457M. Sehingga kini, belum ada satu kajian atau catatan yang membuktikan secara konkrit mengenai hal tersebut. Salah satu faktornya ialah kerana banyak maklumat sejarah Pattani telah musnah akibat konspirasi penjajah Siam dan Inggeris sejak tercetusnya Musuh Pattani pada 1786M. Beberapa perkara yang perlu diberikan pertimbangan dalam soal ini, antaranya:

●     Kedatangan pendakwah dari Arab sejak zaman Khulafa ar-Rasyidin

Berdasarkan satu sumber yang dikenali sebagai "Bingkisan Anak Bani Jawi," Pattani dikatakan telah didatangi oleh pendakwah Islam seawal 658M, iaitu pada zaman Khulafa ar-Rasyidin (632-662M) apabila Sheikh Abdul Samad dari Negeri Rom telah datang ke Pattani untuk mengajar orang Melayu membuat bedil. Ini menunjukkan bahawa Islam telah tiba di Pattani pada pertengahan abad ketujuh Masehi. Tinggal lagi tidak ada sebarang bukti bahawa agama Islam telah disebarkan ketika ini. Ia adalah relevan jika dibandingkan dengan kedatangan Islam di Aceh, iaitu ketika kehadiran Sheikh Rukunuddin yang dikirim oleh Rasulullah S.A.W pada 628M, kedatangan Saidina Saad Abi Waqqas ke Guangzhou (Canton) pada 651M, iaitu pada zaman Saidina Othman bin Affan (644-656M) dan juga penemuan batu nisan Sheikh Mukaidin di Barus, Aceh yang bertarikh 670M.

●     Islam dari China dan bukti prasasti

Salah satu data yang penting mengenai kedatangan Islam di Pattani ialah kedudukan Pattani yang mengadap Laut China Selatan, iaitu wilayah yang menjadi tumpuan pelarian Islam dari Canton dalam rusuhan pada 877M. Di mana menurut Syed Naquib al-Attas, para pedagang Arab dan Parsi di Canton telah berhijrah ke Nusantara. Q.S Fatimi ketika menghujahkan mengenai kedatangan Islam dari China menyebutkan kedudukan batu-batu nisan di Pahang (1028M), Champa (1039M), Brunei (1048M) dan Leran, Jawa (1082M). Ini menunjukkan pelabuhan dan kerajaan sepanjang Laut China Selatan, termasuk Langkasuka (baca: Pattani) menjadi tumpuan mereka.

●     Kewujudan kerajaan Islam sekitar Pattani

Kewujudan beberapa artifak seperti dinar emas Kelantan dan Batu Bersurat Terengganu, serta kronik Melayu seperti Hikayat Merong Mahawangsa telah membuktikan wujudnya Kerajaan Islam di sekitar Pattani seperti Kedah (1136M), Kelantan (1181M) dan Terengganu (1303M) sebelum abad ke-13M. Dengan dikelilingi oleh Kerajaan-kerajaan Islam ini, menunjukkan Islam telah bertapak kukuh di sekeliling Pattani sejak abad ke-12M lagi. Berkemungkinan besar Pattani telah menerima Islam ketika ini, seperti mana Kedah, Kelantan dan Terengganu. Peng-Islaman Raja Jawaka, iaitu sebuah kerajaan pecahan Langkasuka yang berpusat di Pattani sekitar 1253M adalah melengkapkan rangkaian ini.

●     Islamnya Raja Jawaka

Kewujudan Kerajaan-kerajaan Melayu lama di Selatan Segenting Kra telah dicatat dalam pelbagai prasasti dan juga kronik Melayu, selain catatan China, India dan Arab. Antaranya termasuklah Langkasuka, Sampugita, Jawaka Dan Malayur, yang secara relatifnya berpusat di kawasan Pattani. Raja Jawaka, Raja Sakranta (1253-1267M) dikatakan telah beragama Islam dengan nama Raja Zainuddin, manakala puteranya, Raja Sang Tawal (1267-1318M) yang terkenal itu memakai nama Raja Abdullah sebagai nama Islamnya. Selepas tewas diserang Siam, mereka mendirikan kerajaan di Bukit Panau, Kelantan di mana putera Raja Sang Tawal, Raja Bharubasha (1335-1362M) yang bergelar Sultan Mahmud Shah adalah Raja Kelantan pertama memakai gelaran Sultan. Mereka adalah Raja-raja Langkasuka menurut kebanyakan riwayat, termasuk oleh Mohamed Abdullah (Nakula).

●     Kedatangan ulamak-pendakwah sebelum abad ke-15M

Menurut Wan Mohd Saghir Abdullah, kehadiran ulamak-pendakwah ke Pattani berlaku lebih awal dari peng-Islaman Phya Tu Nakpa pada 1453M. Sebagai contoh, dua ulamak dari Pasai, Sheikh Safiyuddin al-Abbasi dan Sheikh Said Barsisa yang meng-Islamkan Raja Pattani merupakan ulamak sezaman dan bersahabat dengan Sheikh Gombak Abdul Mubin. Sedangkan Sheikh Gombak Abdul Mubin adalah anak kepada Sheikh Wan Abdul Jabbar, di mana datuknya, Sheikh Wan Muhammad Arifin Shah adalah ulamak pendakwah yang berdarah Arab dan bersaudara dengan Sheikh Muhammad Saman (Syed Thanauddin), iaitu adik kepada Syed Hussein Jamadil Kubra, ulamak-pendakwah yang tiba di Kelantan pada 1345M. Sheikh Wan Muhammad Arifin Shah yang terkenal dengan gelaran Tok Kelumpong di Pattani telah pun berdakwah di Pattani sejak pertengahan abad ke-14M, seabad lebih awal dari Islamnya Phya Tu Nakpa.

●     Catatan de Eredia mengenai Islam di Pattani

Seorang pengkaji dan penjelajah Sepanyol, Emanuel Godinho de Eredia yang melawat Pattani pada akhir abad ke-16M, telah mendakwa bahawa Pattani terlebih dahulu menerima Islam berbanding Melaka. Menurut catatan de Eredia yang bertarikh 24 November 1613M, "Agama Islam yang dibawa Nabi Muhammad, buat pertama kalinya dianut oleh penduduk Melayu Pattani, kemudian baharulah diterima oleh Parameswara di Melaka..."

●     Sejarah Melayu mengatakan ada Sultan Melayu di Kota Mahligai sebelum pembukaan Pattani

Menurut Sejarah Melayu, Kota Mahligai adalah sebuah Kerajaan Islam yang diperintah oleh Sultan Sulaiman Shah. Kerajaan ini telah diserang oleh Raja Cau Seri Bangsa dari Negeri Siam. Setelah berjaya membunuh Sultan Sulaiman Shah, Cau Seri Bangsa memeluk Islam dan berkuasa di Kota Mahligai. Setelah itu, Raja Cau Seri Bangsa telah berpindah dan membuka kerajaan di Pattani, serta diberikan gelaran sebagai Sultan Ahmad Shah oleh Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka. Catatan Tun Seri Lanang ini menunjukkan Kerajaan Islam telah wujud lebih awal sebelum berdirinya Kerajaan Pattani.

Kesultanan Pattani: Beberapa persoalan yang masih diperdebat

Kedudukan Pattani turut menjadi persoalan para pengkaji mengenai salasilah kesultanannya. Pertama, berkait dengan asal-usul keturunan Sultan-sultan Pattani sebelum mereka memeluk Islam. Kedua, siapakah Raja Pattani yang pertama memeluk Islam dan apakah nama Islamnya. Kepelbagaian versi ini mempunyai kaitan dengan kemusnahan sumber-sumber sejarah Pattani ekoran serangan Siam pada 1786M. Dari sudut kronik Melayu, enam kronik yang mencatat mengenai sejarah awal Pattani iaitu Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja Langkasuka, Hikayat Pattani, Cetera Negeri Patani, Sejarah Melayu dan Tarikh Pattani. Namun, data-data yang bersimpang-siur telah menyulitkan pengkaji dalam memahami kedudukan sebenar asal-usul Kerajaan Pattani.

Untuk perbincangan awal, ditinjau dahulu persoalan mengenai siapakah Raja Pattani yang terawal memeluk Islam. Terdapat tiga versi utama dalam hal ini, iaitu:

●    Phya Tu Nakpa dan peng-Islamannya

Versi pertama mengatakan bahawa pengasas Pattani ialah Raja Phya Tu Nakpa yang membuka Kerajaan Pattani sekitar pertengahan abad ke-15M setelah memindahkan kerajaan dari Kota Mahligai. Kemudian baginda di-Islamkan oleh Sheikh Said Barsisa sekitar 1457M. Baginda bergelar Sultan Ismail Shah. Versi ini adalah berdasarkan Hikayat Pattani. Keturunan Raja Phya Tu Nakpalah yang membentuk dinasti Raja-raja Islam di Pattani sehingga zaman Raja Kuning (1635-1649M).

●     Raja Anthira Wangsa: Adakah pengasas Kesultanan Pattani

Versi kedua, menurut Cetera Negeri Patani, mengatakan Kerajaan Pattani dibuka oleh putera Raja Seri Wangsa, iaitu Raja Anthira Wangsa (Indera Wangsa) yang berpindah dari Kota Mahligai. Setelah mengasaskan Kerajaan Pattani, Raja Anthira Wangsa telah di-Islamkan oleh Sheikh Syafiyuddin dan bergelar Sultan Muhammad Shah, iaitu bapa kepada dinasti Raja-raja Islam di Pattani yang berakhir dengan Raja Kuning (1635-1649M).

●     Versi Sejarah Melayu: Anak Raja Siam, Cau Seri Bangsa membuka negeri

Tun Seri Lanang dalam Silalatus Salatin (Sejarah Melayu) mengisahkan pembukaan Negeri Pattani bermula dari tindakan seorang putera Raja Siam, Cau Seri Bangsa yang menyerang Kota Mahligai yang diperintah oleh seorang Raja Islam, Sultan Sulaiman Shah. Baginda bersumpah akan memeluk Islam jika berjaya menguasai Kota Mahligai. Setelah menguasai Kota Mahligai, baginda pun masuk Islam. Kemudian baginda berpindah membuka negeri di Pattani, sebelum mendapatkan daulat dari Sultan Melaka, Sultan Mahmud Shah. Sultan Melaka menamakan Raja Cau Seri Bangsa sebagai Sultan Ahmad Shah di atas nasihat Kadi Munawar.

●     Versi keempat: Jalan keluar?

Sesetengah pengkaji mengatakan bahawa Raja-raja Pattani adalah dari keturunan Raja Seriwijaya, Raja Jayawangsa yang memerintah sejak 750M. Hasil perkahwinan baginda dengan puteri Kedah dari keturunan Merong Mahawangsa, telah lahir Seri Wangsa yang dirajakan di Langkasuka Timur (Chaya). Putera Raja Seri Wangsa ini bernama Anthira Wangsa atau Indera Wangsa. Baginda yang memindahkan kerajaan dari Kota Mahligai ke Pattani sebelum membentuk Dinasti Seri Wangsa yang memerintah sehingga 1649M. Raja Anthira Wangsa dikatakan menurunkan generasi Raja-raja Pattani selepasnya iaitu puteranya, Raja Andhiradha Wangsa dan cucundanya, Raja Andhiradha Seri Wangsa yang memerintah Pattani. Dari keturunan mereka lahirnya Phya Tu Nakpa sebagai Raja Pattani pada abad ke-15M. Menurut Hikayat Pattani, Phya Tu Nakpa atau nama asalnya Phya Tu Antara adalah putera raja yang berkerajaan di Kota Mahligai, Phya Tu Kerub Mahajana. Phya Tu Nakpa membuka Pattani dan di-Islamkan oleh Sheikh Said Barsisa dari Pasai.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS - HARAKAHDAILY 1/9/2018

ALHAMDULILLAH, negara sudah mengecapi kemerdekaan sejak tahun 1957 selama 61 tahun. Pelbagai onak dan duri telah dilalui oleh negara sepanjang tempoh tersebut yang cukup untuk mematangkan pemikiran kita sebagai seorang warganegara yang berdaya saing untuk membangunkan negara dan negeri Terengganu khususnya.

Kemerdekaan yang dinikmati hari ini adalah hasil pengorbanan dan keberanian para pejuang terdahulu dalam mempertahankan maruah tanah air tercinta daripada penjajah. Haji Abdul Rahman Limbong dan Tokku Paloh antara tokoh ulama dari Terengganu yang terpahat dalam lipatan sejarah masih kekal segar di ingatan generasi masa kini kerana sanggup berkorban jiwa dan raga demi kebebasan negara.

Mempertahankan sebuah kemerdekaan menuntut komitmen yang padu dan jitu daripada semua lapisan masyarakat. Kerjasama utuh antara pemimpin dan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama sangat penting dalam memastikan keamanan dan keharmonian pelbagai kaum sentiasa dijaga.

Namun begitu, hakikat kemerdekaan adalah lebih luas. Merdeka bukan sahaja bebas penindasan fizikal tetapi bebas cengkaman mental daripada ideologi peninggalan penjajah. Mentaliti merdeka sepatutnya adalah berasaskan acuan sendiri, bebas daripada anasir luar yang boleh merosakkan. Negara kita kaya dengan adab dan tatasusila. Tambahan pula, Islam merupakan agama rasmi. Unsur-unsur songsang seperti LGBT, pergaulan bebas, hiburan melampau di alaf dunia tanpa sempadan boleh merencatkan pembangunan insan dan negara.

Sambutan Hari Kebangsaan kali ini dengan tema “Sayangi Malaysiaku” menyeru semua rakyat Malaysia bersatu hati tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan etnik agar negara membangun seiring kemajuan global, memangkin pertumbuhan ekonomi dan melahirkan modal insan berintegriti.

Besar harapan saya, rakyat Negeri Terengganu dapat menghayati kebebasan secara menyeluruh, mencorak identiti sendiri, mencipta kemajuan di dunia dan kesejahteraan di akhirat.

'Sayangi Malaysiaku'

'Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera'

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Menteri Besar Terengganu - HARAKAHDAILY 31/8/2018

ALLAH berfirman dalam surah Al Fath ayat 1-3:

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِينً. لِيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِمُسْتَقِيمًا
وَيَنْصُرَكَ اللَّهُ نَصْرًا عَزِيزًا

"Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata,
Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).
Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepunuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya)."

Sambutan kali ke-61 kemerdekaan negara Malaysia sejak 31 Ogos 2018 adalah satu tempoh tahap kematangan dalam proses memenuhi tuntutan kemerdekaan.

Anak-anak yang lahir sesudah merdeka tidak sekadar mengucapkan bersyukur atas segala perjuangan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh generasi terdahulu.

Generasi awal telah mengerah keringat dan segala-galanya termasuk jiwa dan raga mereka demi untuk memastikan anak-anak generasi terkemudian menikmati hasil perjuangan mereka tanpa perlu bersusah payah.

Selama lebih 400 tahun negara ini bersilih ganti dijajah daripada Portugis pada tahun 1511, diikuti Belanda tahun 1624, Inggeris tahun 1824 dan kemudian Jepun tahun 1941 kemudian kembalinya Inggeris dan merdeka.

Sudah tentu selama 400 tahun lebih, kesan peninggalan penjajah memberi bekas mendalam kepada negara dan rakyat di negara ini. Daripada pemikiran, cara hidup, bahasa, ekonomi, budaya, pendidikan malah terhadap pegangan agama itu sendiri.

Kesan yang paling ketara daripada penjajahan di negara dan mana-mana yang dijajah adalah kedudukan Islam dihakiskan dan dikecilkan peranannya dan fungsinya sehingga ia dilihat tidak berupaya dan lemah.

Perjanjian Pangkor Inggeris dan Tanah Melayu pada tahun 1874 memanifestasikan rupa bentuk Islam yang tiada fungsi atau dikecilkan peranannya.

Kemuncaknya Islam hanya melukut di tepi gantang atau bagai pungguk rindukan bulan dengan penerapan idea sekuralisme dan pemisahan Islam daripada kehidupan.

Jatuhnya Islam dan kekalahan serta kemunduran umat Islam yang pada satu ketika dahulu pernah menguasai pelbagai aspek sehingga 2/3 dunia, bukan dengan pedang, peluru dan bom. Tetapi dengan ditanamkan pemikiran penjajah sebagai senjata terampuh untuk melembabkan Islam dan umatnya.

Kini penjajah sudah tiada, namun benih-benih yang ditanam dan dibajai penjajah pula dituai dan mengeluarkan hasilnya di negara yang pernah dijajah.

Walaupun umat Islam berjaya membebaskan belenggu fizikal penjajah, tetapi umat Islam masih dan terpaksa terus berjuang untuk membebaskan belenggu pemikiran penjajahan yang lebih merbahaya dan merosakkan.

Liberaslime atau dengan perkataan lebih mudah Islam tanpa syariat atau Islam tanpa ikatan agama adalah evolusi baru penjajahan di era pasca penolakan umat Islam kepada sekularisme.

Idea liberalisme dilihat lebih halus dan lebih licik berbanding sekularisme disebabkan idea ini bukan menolak Islam terbuka dan tegar seperti sekularisme. Ia berlapik dan bertopeng dengan Islam untuk menolak Islam atau seperti musuh dalam selimut.

Idealisme ini turut berhujjah dengan Al-Quran untuk menghalalkan apa yang haram, menggunakan hadis untuk mengharamkan apa yang halal, malah menggunakan akal semata-mata untuk mentakwilkan dalil mengikut selera nafsu songsang manusia.

Di samping, alasan kebebasan berfikir dan bersuara untuk membawa idea liberalisme sering dijadikan "the weakest point" kepada Islam kononnya Islam tidak memberikan hak demikian.

Umat Islam harus sedari dan fahami wajah-wajah ini sebagai ambil tanggungjawab samada menyedarkan mereka dan menyelamatkan yang lainnya agar kita benar-benar bebas menurut acuan petunjuk al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Semoga negara Malaysia tercinta ini kembali kepada Islam dan rakyat negara ini dilimpahi kemakmuran dan keamanan dengan kesejahteraan yang dibawa oleh Islam.

Sayangi MalaysiaKu
Sejahtera Bersama Islam

Ustaz Muhammad Najhan Halim
31 Ogos 2018 / 19 Zulhijjah 1439 – HARAKAHDAILY 31/8/2018

Penulis adalah Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat merangkap Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor.

More Articles ...