23
Thu, May
34 Artikel Baru

SAYA membaca kenyataan peguam Latheefa Koya Abdullah yang mengingatkan orang ramai supaya tidak memaksa wanita bertudung. Kenyataan tersebut disiarkan melalui laman portal berita MalaysiaKini dengan tajuk "Wanita tidak seharus dipaksa bertudung - Latheefa". Pada saya, kenyataan tersebut sangat merbahaya dan tidak wajar sama sekali dikeluarkan oleh seorang wanita muslimah.
 
Pada asasnya, perlu difahami bahawa menutup aurat adalah sesuatu yang menjadi kewajipan di dalam Islam. Aurat seorang wanita muslimah bukan merupakan maklumat rahsia bahawa ia meliputi seluruh anggota tubuh melainkan muka dan tangan. Justeru, dengan menyatakan bahawa seorang wanita (muslimah) tidak seharusnya dipaksa untuk bertudung adalah satu kenyataan boleh difahami telah menafikan kewajipan untuk menutup aurat bagi seorang wanita muslimah.
 
Saya setuju bahawa kita tidak boleh memandang rendah dan serong terhadap wanita muslimah yang tidak bertudung. Kemungkinan yang mendorongnya untuk tidak menutup aurat dengan sempurna berpunca dari pelbagai faktor sama ada kejahilan, tekanan sekitar dan sebab-sebab lain. Bagaimanpun, ia tidak pernah menafikan bahawa sebagai seorang muslimah, menutup aurat dengan sempurna tetap menjadi kewajipan.
 
Menyatakan bahawa wanita tidak seharus dipaksa bertudung samalah ertinya ada menyatakan bahawa umat Islam tidak harus dipaksa solat, atau anggota masyarakat tidak harus dipaksa menjaga kebersihan. Konotasi 'dipaksa' itupun telah membawa kepada satu pemahaman berbentuk negatif.
 
Bukan menjadi satu keperluan untuk membuat penegasan bahawa wanita tidak seharus dipaksa bertudung pada masa kini. Pendidikan terhadap wanita muslimah perlulah sentiasa berterusan agar mereka memahami bahawa menutup aurat merupakan satu kewajipan di dalam Islam. Ia bukanlah kerana orang Islam itu terlalu rapuh dan obses kepada bentuk badan, dan rambut, dan seks sebagaimana dakwa Latheefa tetapi ia adalah kerana perintah Allah S.W.T.
 
Saya nasihatkan Latheefa Koya, berhati-hatilah khususnya dalam urusan agama.
 
AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
18 April 2019

TUDUHAN Numan Afifi di Geneva, Switzerland bahawa kerajaan telah mendanai ‘program keganasan’ ke atas golongan LGBT adalah jelas suatu kebohongan nyata yang boleh menjejaskan reputasi negara, kerajaan dan rakyat Malaysia.

Berucap sewenang-wenangnya di pentas antarabangsa dan mempertahankan ucapan itu atas nama kebebasan menunjukkan kedangkalan dalam memahami prinsip kebebasan yang seharusnya dibatasi dengan etika dan norma.

Sewajarnya beliau menarik semula ucapan tersebut dan meminta maaf, selain tindakan juga patut dikenakan ke atas NGO-NGO yang telah mengemukakan laporan salah itu termasuk mempromosi budaya songsang di negara ini.

Kami dengan ini menyatakan sokongan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri atas usaha sama sejak 2011 dalam menganjurkan Mukhayyam bagi memulihkan golongan LGBT menerusi aktiviti keagamaan, kesihatan dan rekreasi.

Kami juga tanpa berganjak tegas menyatakan pendirian bahawa LGBT adalah suatu kemungkaran dan jenayah di sisi Islam serta undang-undang di negara ini, bahkan ianya perlakuan yang merosakkan ketamadunan manusia.

Kami mengingatkan bahawa melanggari batas undang-undang dan agama dalam memperjuangkan kebebasan individu yang palsu ini adalah suatu pengkhianatan terhadap kemanusiaan sejagat yang mesti dihentikan.

"Islam Memimpin"
"Terus Mara"

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 18/4/2019

BARU-baru ini tular seorang peguam bernama Asiah Abdul Jalil menulis di akaun Facebook miliknya yang intipati utamanya adalah perihal perkahwinan dan dalam tulisannya itu punya unsur penghinaan dan fitnah terhadap Rasulullah SAW.

Menurut Asiah, Rasulullah SAW bersenang lenang di Gua Hira' dengan meninggalkan anak-anak di bawah jagaan isteri seorang. Sedangkan kita sedia maklum bahawa Rasulullah SAW ke Gua Hira' bukanlah untuk bersenang lenang, namun di situlah tercatat sejarah besar di mana Nabi menerima wahyu yang pertama serta dilantik sebagai Ar-Rasul SAW.

Asiah turut menulis, Nabi SAW berkahwin lain tanpa pengetahuan isteri-isteri baginda SAW yang sedia ada dan beliau menyambung lagi bahawa apabila Nabi pening dengan karenah isteri-isteri baginda, Allah beri jalan keluar dengan ugutan talak terhadp isteri-isteri baginda.

Ini adalah suatu tuduhan dan penghinaan berat terhadap seorang insan mulia, yang dilantik sebagai Rasulullah SAW.

NGO Pertubuhban Pendukung & Pencinta Ulamak (Geng Ustaz) dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya penghinaan dan penulisan Asiah terhadap Nabi SAW dan menggesa agar pihak berwajib mengambil tindakan serius terhadap beliau.

Saat umat Islam diserang dari pelbagai sudut, ruang dan daripada musuh luar dan dalam negara, kini ditambah pula serangan dan penghinaan terhadap Nabi SAW oleh orang Islam sendiri.

Perbuatan ini perlu dihentikan dengan tindakan yang sepatutnya sebelum merebak dengan lebih parah oleh mereka yang anti Islam ataupun 'Islamophobia'.

NGO Geng Ustaz turut menyarankan agar umat Islam di Malaysia sedar dan bangkit serta tunjukkan cinta kita terhadap Islam dan Rasulullah SAW.

Semoga Allah SWT pelihara agama kita dan terus kekal istiqamah di jalan-Nya.

USTAZ KAMALUL HYSHAM
Pemangku Presiden NGO Geng Ustaz – HARAKAHDAILY 18/4/2019

BERITA pertukaran laluan ECRL hebah diperkatakan oleh semua pihak. Menariknya, isu geologi turut menjadi antara perbahasan pihak penyokong Pakatan Harapan dan barisan pembangkang.

shahirDewan Pemuda IKATAN Malaysia sebenarnya diketuai oleh seorang “Geoscientist” yang sememangnya arif dan pakar dalam bidang kaji bumi. Kenyataan media ini merupakan pandangan professional berasaskan fakta, bukan emosi atau omong-omong kosong.

Antara perkara yang hebat diperkatakan adalah “Quartz Ridge” atau pun Jajaran Kuarza yang terkenal dengan nama Klang Gate Ridge, terletak di antara Gombak ke Ampang, dengan saiz 16 km panjang dan 200 meter lebar. “Quartz” ini merupakan mineral berbentuk kristal yang terdapat di dalam batuan.

Laluan asal ECRL sepatutnya menghubungkan Bentong ke Gombak melalui Klang Gate Ridge ini. Sebenarnya, laluan asal tersebut tidak akan menghancurkan struktur 16 km ini kerana pembinaan terowong dilakukan dengan saiz yang minima untuk laluan tren sahaja.

Ancaman sebenar kepada Klang Gate Ridge adalah pembinaan perumahan di sepanjang Gombak ke Ampang yang kian menghakis struktur geologi ini di atas permukaan bumi.

Terdapat juga pendapat bahawa laluan baru lebih baik kerana tidak melalui sesaran, atau “fault zone”, khususnya Bukit Tinggi Fault. Untuk pengetahuan rakyat Malaysia, laluan baru ECRL akan melalui Lebir Fault, Lepar Fault, Bentong Fault, Kuala Lumpur Fault, dan terbaru adalah Putrajaya-Seremban Fault.

Oleh itu, perbahasan struktur Bukit Tinggi Fault tidak boleh digunapakai kerana laluan baru akan melalui tambahan Putrajaya-Seremban Fault.

Sebenarnya, rakyat Malaysia tidak perlu risau dengan pandangan “fault zone” dan gempa bumi berkaitan pembinaan ECRL. Gempa bumi hanya berlaku apabila “fault zone” diaktifkan disebabkan oleh tenaga dalam bumi yang dilepaskan. ECRL tidak akan mengaktifkan “fault zone” ini.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia beranggapan bahawa laluan baru ECRL ini adalah satu langkah politik, bukanlah satu keputusan yang berteraskan faktor geologi dana lam sekitar seperti dicanang Pakatan Harapan. Kenapa pula Lynas diteruskan walhal dahulu berdemonstrasi mahu menghentikan operasi sewaktu menjadi pembangkang untuk memelihara alam sekitar?

Kini laluan ditukar kerana mahu memelihara alam sekitar. Kita harap kerajaan Pakatan Harapan berhenti memberikan alasan-alasan yang mengelirukan rakyat.

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia @ Geoscientist
17 April 2019 – HARAKAHDAILY 17/4/2019 

KEPALA BATAS: Dewan Pemuda PAS Kawasan Kepala Batas telah membuat laporan polis berhubung penghinaan ke atas Rasulullah S.A.W di Balai Polis Kepala Batas, di sini malam tadi.

Laporan ke atas individu menggunakan akaun Facebook dengan nama Asiah Abd Jalil itu dipimpin Timbalan Ketua Pemuda PAS Kepala Batas, Ustaz Muhd Farid Hamdi Muhammad Redzuan.

Menurut beliau, tindakan individu dipercayai peguam itu sememangnya bercanggah dengan ajaran Islam yang mendidik umatnya beriman dengan Baginda yang juga penghulu segala Nabi dan Rasul.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Kepala Batas berharap laporan rasmi itu membolehkan pihak polis bertindak menyiasat seterusnya mengambil tindakan perundangan ke atas individu tersebut.

Mereka turut melahirkan rasa sedih dan marah berikutan mutakhir ini perbuatan seumpama semakin menjadi-jadi di dalam negara ini sedangkan Islam adalah Agama Persekutuan.

Hadir sama bersolidariti memberi sokongan dan membuat laporan polis itu adalah wakil dari NGO Syabab At-Taqwa, Ustaz Muhd Saiful Amri Ibrahim. - HARAKAHDAILY 18/4/2019

DETIK pencoblosan Pemilu 2019 pada tanggal 17 April telah pun tiba.

Buat pertama kalinya Indonesia melaksanakan Pemilihan Umum Legislatif (Pileg) secara serentak dengan Pemilihan Presiden (Pilpres), melibatkan lebih 190 juta pengundi di seluruh negara.

Kehangatan pertandingan Pilpres di antara Jokowi dan Prabowo bagaikan buku bertemu ruas dan seumpama perlawanan ulangan (rematch) pada tahun ini menyebabkan tumpuan terhadap Pileg di seluruh provinsi dan daerah Indonesia sedikit tenggelam.

Malah Pemilu kali ini berlangsung dalam keadaan ekonomi Indonesia terus berhadapan dengan tekanan inflasi dan peluang pekerjaan yang terhad, di samping 'keterbelahan' sosial dan agama yang semakin menebal di kalangan rakyatnya.

Di samping itu, timbul keraguan terhadap kemampuan Komisi Pemilihan Umum (KPU) untuk mengendalikan Pemilu secara serentak pada tahun ini, khususnya dalam urusan daftar pemilih tetap (DPT) yang menimbulkan kontroversi serta cabaran logistik pengundian di negara kepulauan dan pergunungan ini.

Menariknya kedua-dua pasangan calon (Paslon) yang bertanding dalam Pilpres 2019 mendakwa paling direstui oleh kelompok ulama'. Paslon Prabowo-Sandiago Uno mengaku didukung oleh ijtimak ulama manakala Paslon Jokowi-Ma'ruf Amin mendakwa didukung oleh ijtihad politik Munas Alim Ulama.

Perbezaan wadah dan pendekatan yang diambil oleh kedua-dua calon Pilpres ini melambangkan kerencaman budaya dan pemikiran di Indonesia yang penuh warna-warni di antara kelompok nasionalis, pragmatis, fundamentalis dan modernis yang menjadikannya hangat dan unik.

Dalam hal ini, banyak yang boleh dipelajari oleh kita di Malaysia daripada kelangsungan pesta demokrasi terbesar di Indonesia.

Pertamanya, kebebasan media dan keterbukaan untuk berkempen. Media memainkan peranan yang sangat penting dalam menghidupkan budaya demokrasi di kalangan rakyat dan generasi muda di Indonesia.

Malah kebebasan media perdana dan kerancakan media sosial membolehkan setiap calon dan parti yang bertanding dapat mengemukakan visi dan misi yang diperjuangkan untuk dinilai oleh para pengundi. Debat calon Presiden yang disiarkan secara langsung juga merupakan kebiasaan yang sudah menjadi kewajipan untuk menghidupkan budaya demokrasi dan politik matang di Indonesia.

Di samping itu, pengisytiharan tarikh Pemilu yang ditetapkan lebih awal dan tidak dirahsiakan daripada pengetahuan umum membolehkan setiap parti mendapat peluang persiapan yang saksama (equal opportunity).

Situasi ini ternyata berbeza di Malaysia apabila hanya Perdana Menteri dan parti pemerintah sahaja (incumbent) yang mengetahui tarikh Parlimen akan dibubarkan. Amalan ini jelas menafikan peluang yang saksama kepada parti pembangkang untuk membuat persiapan jentera, kempen dan kewangan bagi menghadapi pilihan raya yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Kesimpulannya terdapat banyak penanda aras dalam Pemilu Indonesia yang boleh dijadikan rujukan kepada kita untuk meningkatkan tahap partisipasi politik, kematangan demokrasi dan ketelusan proses pilihan raya di Malaysia.

Lebih penting daripada itu adalah bagaimana Malaysia boleh belajar daripada Indonesia untuk memulihkan penyatuan rakyat bermasyarakat majmuk dalam negara, setelah melalui suasana pertembungan ideologi dan keterbelahan sosial sepanjang tempoh pilihan raya.

SYAHIR SULAIMAN
Jawa Tengah
17 April 2019 – HARAKAHDAIY 17/4/2019

TULISAN Presiden PAN, Mohamad Sabu, dalam portal berita MalaysiaKini hari ini bertajuk “Terangkan pada rakyat PH bela Melayu, Islam” adalah bagus kerana ia mengandungi satu pengakuan terbuka berbunyi:
(1) “Naratif ataupun persepsi yang mengatakan bahawa Kerajaan PH ditunggangi oleh bukan Melayu dan bukan Islam sudah diyakini ramai, sudah dipegang oleh sebahagian besar orang Melayu dan orang Islam di Malaysia khasnya di Semenanjung.”
(2) “Ia menjadi satu pegangan yang diterima pakai sekarang ini bahawa kedudukan orang Melayu, Islam, kedudukan Raja-raja Melayu tergugat di bawah pemerintahan PH.”
 
Begitupun kebagusan ini terhenti setakat ini kerana preskripsi yang beliau berikan untuk merawat penyakit ini adalah:
(1) “Seluruh ahli-ahli PAN dan pejuang-pejuang rakyat hendaklah mengumandangkan isu ini iaitu Kerajaan PH menyelamatkan institusi perniagaan Bumiputera, tabung yang terbesar walaupun Menteri Kewangannya daripada DAP, Cina dan 'non-Muslim'.”
(2) “PH, Lim Guan Eng melihat dari sudut keharmonian, kekuatan politik untuk menolong, membantu Bumiputera, orang Melayu dan Islam.” 
 
Dua perkara utama yang beliau tonjolkan bagi membuktikan PH membela Melayu Islam adalah:
(1) “Kerajaan PH yang Menteri Kewangannya Lim Guan Eng telah berusaha dan berikhtiar walaupun dalam keadaan kekangan kewangan iaitu mengeluarkan lebih RM17 bilion 'bailout' untuk menyelamatkan satu institusi tabung bumiputera yang begitu besar iaitu Tabung Haji.”
(2) “Kerajaan PH di bawah Menteri Kewangannya Lim Guan Eng mengeluarkan lebih kurang RM6.2 bilion untuk 'bailout' dan menyelamatkan Felda, satu-satunya institusi yang dikuasai sepenuhnya oleh Melayu, Bumiputera, Islam.”
 
Saya katakan preskripsi yang beliau berikan untuk merawat penyakit ini salah kerana “Menyelesaikan skandal 1MDB, FELDA, MARA dan Tabung Haji” atau Janji 13 Manifesto PH bukanlah janji pembelaan Melayu Islam yang ada dalam Manifesto PH.
 
Janji utama pembelaan Melayu Islam yang ada dalam Manifesto PH adalah terkandung di dalam Janji 11, “Mengembalikan maruah orang Melayu dan institusi-institusinya”, dan Janji 30, “Memajukan ekonomi Bumiputera dan semua rakyat berbilang bangsa”.  
 
Janji utama pembelaan Melayu Islam yang melibatkan Raja-Raja Melayu dalam Janji 11 adalah:
(1) Kerajaan PH akan sentiasa meletakkan pandangan dan teguran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu di tempat tertinggi, iaitu sesuai dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dalam negara kita. 
(2) Kuasa Raja-Raja Melayu dalam mentadbir agama dan adat istiadat Melayu akan dikembalikan ke negeri-negeri dan campur tangan kerajaan pusat akan dihentikan.
(3) Kerajaan PH akan memberi galakan kepada universiti-universiti awam untuk memperbanyak kajian dan perkongsian nasional dan antarabangsa mengenai kesultanan Melayu agar sejarah ketamadunan Melayu dapat dikongsi di persada dunia.
(4) Muzium Diraja di Istana Negara lama akan dinaik taraf menjadi Muzium Pendidikan Kebangsaan, dan kerjasama akan dijalin dengan universiti awam untuk mengaktifkan kegiatan kajian, penerbitan dan pendidikan, melalui seminar dan persidangan secara berkala, tentang institusi Raja-Raja Melayu.
 
Janji utama pembelaan Melayu Islam yang lain dalam Janji 11 pula adalah:
(1) Kerajaan PH akan memastikan Tanah-tanah Rezab Melayu dilindungi dan semua Tanah Rezab Melayu yang telah ditukar status diganti semula dengan tanah yang nilainya sama atau lebih tinggi.
(2) Syarikat-syarikat milik kerajaan yang terpilih akan dipersediakan untuk dibeli oleh pengurusan (management buy-out) agar peratus pemilikan ekuiti Melayu dan Bumiputera meningkat.
(3) Prestasi dan pencapaian agenda memartabatkan maruah bangsa Melayu dan Islam akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen setiap tahun agar kerajaan sentiasa bertanggungjawab kepada rakyat keseluruhannya. 
(4) Kedudukan ekonomi Melayu akan dibentangkan dalam ucapan belanjawan setiap tahun supaya kerajaan boleh dipertanggungjawabkan secara terbuka.
 
Janji utama pembelaan Melayu Islam dalam Janji 30 pula adalah:
(1) Kerajaan PH akan memberi lebih banyak penumpuan kepada pembangunan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera agar akan wujud sebuah bangsa yang boleh berdikari dan bersaing secara sihat di serata dunia.
(2) Untuk memastikan iltizam kerajaan yang berterusan dalam membantu warga Bumiputera, Kerajaan PH akan mengira secara tuntas dan menerbitkan kepada umum jumlah pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera terkini agar ia menjadi penanda aras yang tepat dalam usaha mencapai matlamat peningkatan ekuiti Melayu dalam pasaran. Laporan ini akan dibentangkan di Parlimen dalam setiap Ucapan Belanjawan Menteri Kewangan. 
(3) Kerajaan PH juga akan mengangkat kedudukan badan-badan bukan kerajaan yang memperjuangkan status ekonomi Melayu dan Bumiputera, seperti Majlis Perundingan Melayu atau badan-badan lain, sebagai rakan dialog rasmi kerajaan.
 
Oleh itu, jika PH mahu bercakap mengenai usahanya membela Melayu Islam maka pencapaian segala butiran janji dalam Janji 11 dan Janji 30 inilah yang perlu diulas.
 
Jika segala butiran janji dalam Janji 11 dan Janji 30 ini masih belum dicapai maka pemimpin Melayu Islam PH perlulah mendesak kerajaan melaksanakannya dengan segera.
 
Memberi kredit kepada Lim Guan Eng dalam isu Tabung Haji dan FELDA bukanlah caranya, lebih-lebih lagi bila yang bertungkus-lumus menanganinya adalah menteri lain.
 
DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF - HARAKAHDAILY 17/4/2019

More Articles ...