MASALAH yang mencemperakan kesangsian perpaduan di bawah apa yang dikatakan Malaysia Baharu ialah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuka pintu kepada perbincangan ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum), satu gagasan antarabangsa bagi melenyapkan diskrIminasi kaum di setiap negara.

Gagasan itu sudah ada lama, hampir sama lama dengan henti ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) yang ditentang oleh semua pembangkang.

Sebusuk-busuk Umno/BN yang berbau zalim selama 61 tahun berkuasa, ia tidak beri muka kepada ICERD. Padahal kasihnya kepada kemerdekaan dan wibawa bangsa adalah cacarmarba. Ia bukan sekadar tidak ratifikasikan – tandatangani - gagasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu, bahkan ia tutup pintu perbincangan. (Foto atas: Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima memorandum bantahan ratifikasi ICERD daripada NGO UMMAH di Parlimen, 31 Oktober lalu.)

Sama macam antinya Tunku Abdul Rahman dan Umno akan komunis di zaman pimpinannya, maka begitulah ingkarnya rejim lama terhadap ICERD.

Ia bukan isu salama ini. Yang jadi isu ialah hak istimewa, perkauman, rasuah, GST, rompakan atas kekayaan negara oleh orang-orang besar, kebebasan kehakiman dan kebebasan bersuara.

Sekalipun diskriminasi itu ada kelemahan dan cacatnya, tetapi membangkitkan ICERD bagi orang Islam adalah seperti mentakwil sistem beraja, Islam sebagai agama rasmi, memadukan bahasa kebangsaan walaupun tidak dihormati.

Justeru ICERD tidak jadi isu dan ia tidak berbangkit, maka sensitivitinya tidak dimasukkan dalam hal-hal yang dilarang dalam Akta Hasutan. Ia tidak jadi isu kerana kerajaan dahulu tutup pintu perbincangan mengenainya.

Akan tetapi pemimpin-pemimpin PH mengambil pendekatan pintu terbuka terima apa sahaja asal Putrajaya boleh dirampas sekalipun melanggar sensitiviti Islam dan Melayu. Bukan semua membela Melayu dan menjaga kepentingannya asabiah dan zalim belaka. Sama seperti menghapuskan batas-batas pemisahan kaum adil belaka.

Maka PH yang menang atas dasar pintu terbukanya, tanpa memilih isu-isu boleh diketengah dan tidak boleh diketengah memilih untuk membincang apa jua isu bagi menjadikan Malaysia benar-benar baharu.

Ia pun menyinggung hati kecil dan kebimbangan orang Islam/Melayu untuk meratifikasi ICERD. Ia adalah isu penting bagi jabatan perpaduan Jabatan Perdana Menteri demi merapatkan perpaduan kaum. Tentulah ia sudah dibawa ke kabinet. Walaupun belum diluluskan, tetapi ia sudah dibincang.

Semua menteri kata ia dalam perbincangan. Perdana Menteri kata, tidak sesuai bagi negara ini meratifikasinya. Soalnya ia dibenarkan untuk dibincang. Perdana Menteri sudah dalam kabin dan jadi PM paling lama. Tentu tahu mengapa ia diamkan. Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah baru enam bulan masuk kabinet tetapi suaminya sudah ada dalam kerajaan sejak tahun 1982. Mereka tahu mengapa pintu tertutup untuk perbincangan.

Menteri Luar kata, sang pembantah tidak faham perlembagaan sepenuhnya. Tetapi bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang lebih arif tentang perlembagaan dibanding dengan Menteri Luar pertikai kebijaksanaan membincang dan menerimanya.

Bukan Cina dan India sahaja yang memenangkan PH. Orang Islam dan orang Melayu juga ramai yang mengundinya. Tetapi mereka mengharapkan PH boleh mengamankan emosi dan kebimbangan orang Islam.

Hutang negara belum tentu selesai. Ekonomi belum tentu pulih. Rasuah belum tentu dibersih sepenuhnya. Harga barang masih membeban dan lain-lain, maka Kerajaan PH hentak kepala orang Islam dengan ICERD.

Perubahan membawa untung tetapi menolak perubahan melalui Islam mendatangkan rentung. Tiada sistem fikiran manusia seperti ICERD boleh menyelesaikan diskriminasi kaum di mana-mana sahaja, tetapi diskriminasi itu boleh ditangani dengan manhaj Islam.

Tolak BN betul. Yang tidak betul menggantikannya dengan PH. Pilihan paling betul ialah Islam. Memang Islam Allah wujud untuk memimpin. – HARAKAHDAILY 15/11/2018

SEGALA puji bagi Allah S.W.T, Rabb bagi sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi S.A.W serta ke atas kaum keluarganya.

PAS Pahang juga mengambil perhatian terhadap isu ICERD dan melihat bahawa isu ini adalah isu yang boleh merombak kestabilan keharmonian kehidupan pelbagai bangsa, kaum dan agama yang telah pun sedia terjalin di Malaysia termasuk di Negeri Pahang.

ICERD juga akan merombak asas-asas negara yang pastinya akan menggugat kestabilan negara dan Malaysia tidak sepatutnya dibingkai oleh kuasa luar dalam menguruskan negara dan tidak boleh sama sekali berlakunya satu perjanjian yang boleh mengatasi merobek Perlembagaan Negara.

PAS Pahang menolak sama sekali penggunaan ruang demokrasi yang diperalatkan untuk politik sempit pihak-pihak tertentu di atas nama kesamarataan kononnya, walhal toleransi dan keharmonian antara kaum, bangsa dan agama telah pun terjalin erat dengan Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan Raja-raja Melayu sebagai tonggak pemerintahan Negara.

PAS Pahang menolak cadangan ratifikasi tersebut dan menyatakan dengan tegas akan kebersamaan dan sokongan kami kepada Tuan Guru Presiden PAS, para Mufti, para ulamak, seluruh umat Islam, Melayu dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan untuk menolak agenda ratifikasi ICERD.

PAS Pahang dengan ini bersedia sepenuhnya menyahut seruan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang telah memberikan amaran akan menghimpunkan jutaan rakyat membantah ratifikasi ICERD, dan PAS Pahang juga akan mengerahkan ahli dan penyokong serta umat Islam agar bersama-sama dan menjadi antara jutaan tersebut.

PAS Pahang juga mengajak muslimin dan muslimat ke perhimpunan aman membantah ratifikasi ICERD di Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan pada hari jumaat, 16 november 2018, selepas solat Jumaat.

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang
Adun Tanjung Lumpur - HARAKAHDAILY 15/11/2018

FB IMG 1542264335475

SELAIN gesaan supaya menolak sebarang bentuk ratifikasi konvensyen antarabangsa termasuklah International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) yang sedang hangat dibahaskan, International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) serta konvensyen-konvensyen yang lain juga wajib ditolak untuk diratifikasikan.

Ini kerana kesemua konvensyen antarabangsa tersebut tidak sesuai dengan prinsip perundangan, polisi dan dasar, norma serta latarbelakang sejarah yang telah lama didokong di negara ini.

Terdapat pelbagai desakan supaya Kerajaan meratifikasi konvensyen antarabangsa yang tidak hanya melibatkan ICERD, bahkan juga merangkumi ICCPR, ICESCR, CAT, ICRMW dan ICPPED. Kenyataan Kementerian Luar Negeri pada 29 Oktober 2018 sekali lagi menyatakan komitmen Kerajaan untuk meratifikasi baki konvensyen tersebut.

Perlu difahami bahawa kebimbangan bukan sahaja terarah kepada ICERD yang mendapat penentangan ramai, bahkan juga terhadap ICCPR. Ini kerana konvensyen ini turut menyentuh soal kebebasan beragama yang seringkali dilaungkan supaya menjadikan murtad bukan suatu jenayah (decriminalize) di negara ini.

Perkara 18 ICCPR yang turut terdapat dalam Perkara 18 Universal Declaration of Human Rights (UDHR) adalah mengenai kebebasan beragama termasuklah terhadap Islam itu sendiri.

Hal yang sama terkandung dalam Perkara 5(d)(vii) ICERD. Seorang diplomat daripada Brazil, Jose A. Lindgren Alves, salah seorang ahli dalam Komiti Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (the Committee on the Elimination of Racial Discrimination - CERD) dalam artikel beliau bertajuk "Race and Religion in the United Nations Committee on the Elimination of Racial Discrimination" menjelaskan:

"For addressing issues that involve religion, CERD uses not only ICERD as its legal reference...the first, of course, is the Universal Declaration, which states in its article 18...another legal source for CERD's work on the matter can be found in ICCPR." (ms.11&12)

Hari ini, tanpa ratifikasi ICERD mahupun ICCPR, ada sesetengah sudah berani menyebarkan kitab bible terhadap Muslim walaupun asasnya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 11(4). Maka bayangkan dengan ratifikasi konvensyen tersebut, bukankah mereka akan menjadi semakin berani bertindak menyebarkan dakyah serta menggalakkan jenayah murtad dikalangan Muslim?

Justeru, perkara ini perlu dilihat secara jelas bahawa gesaan menolak ratifikasi konvensyen tidak hanya melibatkan ICERD semata-mata, bahkan juga konvensyen-konvensyen antarabangsa yang lain. Kerajaan diharap memperhalusi sedalam-dalamnya soal ratifikasi ini dan tidak secara terburu-buru dalam melaksanakan tindakan.

"Terus Mara"
"Islam Memimpin"

Ahmad Fadhli Shaari
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 15/11/2018

DUA Kementerian yang dapat peratus perubahan tambahan Bajet paling tinggi adalah Kementerian Kewangan LGE (DAP) dengan kenaikan 79 peratus dan Kementerian Pengangkutan Anthony Loke (DAP) dengan kenaikan 26.5 peratus.

Yang LGE kerana masuk peruntukan Refund Tax yang sebahagian besar yang dapat manfaat adalah pengilang yang tentunya tak ramai Melayu atau luar bandar terlibat. Begitu juga MOT dengan peruntukan tambahan KTM. Terengganu tak ada kereta api, tak ada LRT, tak ada Rapid KL.

Refund Tax ini satu isu juga. Bagaimana kita buat andaian memang semua tuntutan adalah betul? Sebahagian adalah dalam semakan kastam dengan pelbagai isunya. Adalah normal tuntutan dibuat secara berlebihan dengan pelbagai helahnya dan adalah normal akan ada tuntutan diluluskan dan ada yang tidak.

Bagaimana pula dengan cukai GST pengilang yang sememangnya kena dibayar tapi belum dibayar sebelum ini? Apa angkanya? Mengapa tidak dilaporkan?

Sepatutnya tol LPT2 diberi insentif penurunan. Kerajaan belum pulangkan wang Terengganu RM1.6 bilion yang jadi sebahagian kos pembinaan LPT2 yang sepatutnya dibiayai sepenuhnya oleh Persekutuan.

Kementerian yang ada kepentingan Melayu atau bumi peratus penurunan tinggi. Kementerian Asas Tani (PAN) turun 13.7 peratus. Hatta Kementerian Perusahaan Utama Theresa Kok yang DAP yang sepatutnya bantu sawit dan getah libat banyak orang Melayu tiada peruntukan langsung bantuan musim tengkujuh untuk pekebun kecil dan penoreh getah. Bajet 2018 ada RM261 juta untuk itu. Bajet 2019 PH memperuntukkan RM0 (sifar) bantuan penoreh getah pekebun kecil menghadapi tengkujuh.

Peruntukan untuk MARA potong 50 peratus dari RM3.5 bilion 2018 kepada cuma RM1.3 bilion 2019.

Hebat PH kan? - HARAKAHDAILY 15/11/2018 

FB IMG 1542238707104FB IMG 1542238717118FB IMG 1542238723201FB IMG 1542238726291

KERAJAAN Persekutuan dinasihat untuk menarik semula Belanjawan 2019. Banyak perkara melibatkan kepentingan rakyat khususnya golongan yang mudah terjejas di luar bandar tidak diperuntukkan dalam Belanjawan 2019.

Meskipun Belanjawan 2019 adalah belanjawan terbesar dalam sejarah dan mencatatkan peningkatan RM34.3 bilion (12.1%) berbanding anggaran peruntukan asal tahun 2018, tetapi ia tidak seimbang dan menafikan hak sebahagian rakyat yang lain.

Kementerian Industri Utama dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani masing-masing mencatatkan penurunan 46% dan 13.7%. Kedua-dua kementerian tersebut membabitkan kepentingan rakyat dalam kalangan petani, pekebun kecil, penoreh getah dan nelayan.

Sebagai contoh, tiada peruntukan untuk Bantuan Musim Tengkujuh Kepada Pekebun Kecil dan Penoreh Getah pada tahun 2019 berbanding anggaran peruntukan asal tahun 2018 berjumlah RM261 juta.

Bantuan Musim Tengkujuh melibatkan seramai 500,000 orang sepertimana yang terdapat dalam pangkalan data BMT sehingga September 2017. Jika tiada langsung peruntukan, bagaimana nasib mereka?

Sementara itu, Elaun Sara Hidup Nelayan Darat dipotong 72% daripada RM12.5 juta pada tahun 2018 kepada hanya RM3.5 juta pada tahun 2019. Subsidi Baja Padi juga telah dipotong sebanyak 50% daripada RM465 juta pada tahun 2018 kepada RM232.5 juta pada tahun 2019.

Bantuan langsung kepada golongan ini telah semakin dikurangkan sedangkan mereka tergolong dalam golongan yang perlukan perhatian khusus oleh pihak kerajaan.

Melihat kepada ketempangan Belanjawan 2019, maka Kerajaan Persekutuan perlu menarik semula dan membuat peruntukan baru khususnya kepada golongan ini. Belanjawan ini sukar ditolak kerana anggota Parlimen dari kerajaan adalah majoriti dan mereka tertakluk kepada tanggungjawab kolektif. The damage is done, cuma bagaimana untuk memulihkan keadaan tersebut. – HARAKAHDAILY 15/11/2018

KERAJAAN kata kerajaan tak ada wang. Tapi Belanjawan 2019 adalah paling besar dalam sejarah mengalahkan belanjawan pilihan raya 2018 yang digelar ibu segala belanjawan. Defisit fiskal paling besar.

Tak cukup duit yang dibuat bukan tingkatkan hasil, tapi perkenal sistem cukai SST yang ruang terbuka sembunyi elak cukai oleh peniaga-peniaga yang licik.

Untuk tampung semua itu yang jadi sasaran adalah wang Petronas. Tak cukup dividen biasa dikenakan lagi Dividen Khas RM30 bilion untuk Kerajaan Persekutuan belanjakan.

Petronas ini berniaga petroleum. Hasil operasi asing bukan besar. Yang banyak adalah yang disedut dari perut bumi Negeri-negeri Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah.

Tak cukup duit pandai ambil duit petroleum. Tapi royalti yang dah menjadi hak negeri pengeluar tidak dibayar!

Memang melukakan hati Belanjawan 2019 sangat jelas belanjawan orang bandar, bukan negeri-negeri mundur luar bandar. Dana penyelamat dari Petronas hasil mahsulnya dari negeri ‘bukan bandar’ ini. Kami tahulah DAP pengaruhnya di kawasan bandar!

Retorik Pembangunan Wilayah Seimbang? Sembang sajalah.

Saya tak nampak inisiatif baru dalam Bajet 2019 yang boleh menampung belanjawan selain dividen khas Petronas. Cukai-cukai baru yang diperkenalkan tak sebesar mana hasilnya. Tambahan lagi asyik terlepas pasaran sawit kita kepada Indonesia dalam keadaan bajet pembangunan industri komoditi dipotong banyak.

Ini saya tengok bajet tahun ini belum ada peruntukan pampasan pembatalan pelbagai projek mega berbilion ringgit. Yang ada pampasan AES. Pampasan Tol pun tiada. Itu dalam belanjawan tambahan nantikah atau belanjawan tahun berikutnya? Cari Petronas lagi?

Dalam jawapan bertulis kepada soalan lisan saya di Parlimen berkait usaha kerajaan mendapat wang melalui asset monetisation (penjualan aset), kerajaan sedang menyenaraikan aset-aset milik kerajaan yang berpotensi untuk dijual.

Saya bersembang dengan seorang kawan, driver teksi. Dia kata kalau tak cukup duit pecah tabung (Petronas), jual harta, cari ceti (hutang), nenek dia pun boleh jadi Perdana Menteri! - HARAKAHDAILY 15/11/2018

MALAYSIA selama lebih setengah abad di bawah pemerintahan BN telah gagal melaksanakan agenda pembangunan insan. Hinggakan keluarga yang sepatutnya menjadi tempat paling tenang buat insan juga tidak menikmati kesejahteraan hidup sewajarnya.

Kerana pemerintah lebih tertumpu kepada aspek pembangunan material, namun secara pengagihan yang tidak adil dan terpalit pelbagai kecurangan. Kesannya ke atas halatuju sebenar hidup rakyat sebagai hamba Allah di atas muka bumi, juga membiaknya pelbagai beban masalah.

Termasuk terhadap hubungan suami isteri yang sepatutnya terbina secara mahabbah, mawaddah dan rahmah. Malangnya ini antara aspek paling kontang tanpa sebarang pengisian atau agenda ke arah menjadikan nukleus terkecil masyarakat itu sebagai tiang kekuatan negara.

Akibatnya, masalah suami isteri serta keluarga mencatat antara isu dan penyumbang pelbagai gejala negatif. Malah, porak peranda yang terjadi tidak sekadar kesedihan dan kekasaran atau mendekati perlakuan jenayah, tetapi juga membantutkan masa depan negara.

Paling sering menjadi mangsa adalah isteri dan anak-anak hingga terheret pula kepada pelbagai pengabaian kebajikan. Segala kegawatan ini telah menarik kesempatan golongan Liberal untuk merungkai akad suci dan melontarkan suara 'perjuangan' pembelaan secara salah dan serong.

Terkini, mereka membingitkan kembali isu 'rogol dalam perkahwinan' dengan menjadikan Kerajaan PH sebagai platform untuk menyuarakannya. Kami tegaskan, tiada istilah tersebut dalam hukum syarak Islam. Tetapi ia rekayasa yang cuba menyerang umat Islam sendiri.

Kaum wanita Islam sedang dijadikan sasaran di sebalik penindasan tertimpa ke atas mereka menerusi gugatan perasaan dan sentimen femenisme. Pejuang Liberal mencetuskan bahawa setiap unsur paksaan walaupun antara suami isteri dikaitkan dengan buruk dan jahat.

Sebaliknya secara halus cuba menanamkan segala sukarela, walaupun oleh golongan LGBT atau bukan dari ikatan sah, maka harus diperjuangkan. Inilah noda dosa yang cuba disuntik halalkan mereka menerusi agenda sedang dijaja momokkan ini dan mesti diwaspadai.

Hakikatnya, sebarang isu penindasan terhadap wanita mahupun kanak-kanak dan sesiapa sahaja termasuk keganasan seksual antara suami isteri wajib ditentang dan ditangani. Tetapi bukan secara salah dan tersirat serta mengesampingkan penyelesaian syarak.

Pasangan atau keluarga yang bermasalah harus diberi nasihat kaunseling, selain dibantu keperluan-keperluan berkaitan. Manakala setiap keterlampauan harus dihadapkan ke laporan pendakwaan pihak berkuasa dan dibicarakan secara adil di mahkamah sebelum hukuman.

Jangan kerana hasutan golongan Liberal menjadi masalah kian kusut dan umpama menyimbah petrol ke api yang marak. Kami menggesa pihak berkuasa agama memantau hal ini, selain peranan ahli keluarga untuk menjadi pendamai dan pengawal kejadian yang berlaku.

"Islam Memimpin" 
"Muslimat Istiqamah Memacu Kemenangan"

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Muslimat
Dewan Muslimat PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 14/11/2018

More Articles ...