HARI ini hampir tiga dekad PAS memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga yang terkenal dengan keunikan budaya dan merupakan jantung hati orang Melayu negara ini. Menghampiri tiga dasawarsa yang penuh dengan kekangan dan serangan bertali arus daripada musuh dan pesaing.

Serambi Makkah ini mendapat reputasinya kerana menjadi pusat pendidikan Islam yang tersohor dalam abad ke-19 dan awal abad 20. PAS berjaya merengkuh Kelantan dalam Pilihanraya Umum pada tahun 1959 dengan tokoh-tokoh besar besar PAS bertanding di Kelantan seperti Prof. Zulkifli Mohamad, Haji Ahmad Prai dan tokoh-tokoh lain.

PAS kehilangan Kelantan dalam pilihan raya tahun 1978, bahkan hanya berjaya bertahan hanya dengan dua kerusi Dun sahaja. PAS terus bergerak, merancang, mengukuhkan pentarbiahan ahli, menggerakkan kesedaran awam untuk kembali menyokong PAS.

Aktivis PAS Kelantan dengan pelbagai latarbelakang pendidikan dan sosioekonomi terus menggempur Kelantan, negeri yang juga terkenal dengan bangsal tomoi, kemeriahan kedai kopi dan keunikan budaya.

Nama-nama seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Zakaria Ismail, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Mawardi Ahmad, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmud, Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Wan Mustapha Wan Rusdi, Ustaz Omar Mohamad, Pak Suhail, dan ratusan tokoh-tokoh penggerak parti.

Kelantan disuburkan dengan kuliah-kuliah ilmu, apatah lagi dengan simbahan kebangkitan Islam yang sedang merajai fenomena permulaan abad 15 Hijrah. Tidak sedikit aktivis PAS yang mendekam dalam ISA di zaman Dr Mahathir dalam dekad 80-an, antaranya seperti Ustaz Bunyamin Yaakob, Saudara Zainudin Abdullah, Kamaruzaman Ismail dan lain-lain lagi. Tekanan dan penindasan kepada PAS Kelantan seolah menyuburkan baja perjuangan, ditambah dengan perisa perbalahan dalaman Umno, krisis pemimpin Umno dan istana Kelantan maka mempercepatkan kejatuhan Umno dalam pilihan raya tahun 1990.

Tuduhan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat sebelum ini bahawa Kerajaan Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangannya adalah tuduhan melampau dan tidak berasas. Ia memperlihatkan bahawa beliau hanya beremosi tatkala Kerajaan Kelantan mahu meneruskan projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan inisiatif sendiri. Egonya tercabar ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan projek tersebut atas alasan kekangan kewangan namun mahu diteruskan pula oleh Kerajaan PAS. Hatinya panas jika kerajaan PAS mampu meneruskan projek tersebut tanpa bantuan kerajaan pusat sedangkan kerajaan PH sendiri tidak tertanggung untuk meneruskannya.

Daripada fakta mana yang diperolehi oleh Lim Guan Eng ketika membuat tuduhan sedemikian? Jika begitu, bagaimana kakitangan awam kerajaan negeri mampu bertahan bertahun-tahun lamanya bekerja dengan Kerajaan Kelantan jika kerajaan negeri itu tidak mampu membayar gaji mereka? Sudah tentu kerajaan negeri akan dilapor dan segala media memburukkan Kerajaan Kelantan siang dan malam manakala Kerajaan Kelantan akan didakwa oleh kakitangan terbabit.

Sebegitu besar kebencian dan dendam beliau terhadap PAS memang boleh diagak sejak lama dahulu. Kedegilan dan keangkuhan pemimpin sepertinya membuatkan siapa sahaja rakan Pakatan (dahulunya Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan) sukar berkolaborasi dengan partinya. Maka atas sebab itu, PAS terpaksa menarik diri daripada terus diperlekeh dan dihina oleh beliau dan DAP ketika di dalam PR dahulu. Atas sebab itu jugalah mana-mana parti yang bersekutu dengan DAP terpaksa menahan sabar kerana dominasi DAP yang mahu membolot semuanya.

Mungkin beliau merasa PAS tanpa Pakatan Harapan tidak akan ke mana-mana. Telahan beliau dan pemimpin sepertinya bahawa PAS akan kehilangan segala-galanya dalam PRU14 tidak kesampaian apabila PAS mampu menang bergaya di Kelantan dan Terengganu. Bayangkan, hanya sebuah parti mampu memenangi dua buah negeri, sesuatu yang beliau dan rakan parti komponennya tidak mampu lakukan. Mungkin sebab itu beliau geram dan dendam berpanjangan.

Minggu ini serangan gencar DAP dihalakan kepada PAS terutama akibat usaha penyatuan ummah PAS-Umno yang akan menyingkatkan usaha pemerintahan PH. Mereka mewar-warkan bahawa pemerintahan ala Taliban akan mengusur non muslim jika PAS Umno berkuasa di negara ini. Naratif ini cuba ditancap kemas dengan kononnya Negeri Kelantan yang tidak mempunyai panggung wayang serta acara kesenian tradisional yang tak dibenarkan di Kelantan.

Kokok DAP disambut cemerlang oleh trompet mereka, pemain media sosial pro PH serta avatar mereka. Kelompok ini lupa bahawa Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menjadikan Kelantan negeri bebas maksiat dan mungkar serta patuh syariah. Hanya rakyat Kelantan yang memahami sosiobudaya Kelantan, jika mereka bosan atau benci pada Kelantan pastilah telah lama parti Islam ditendang daripada teraju pemerintahan. Jangan nafikan negeri serambi Mekah ini setiap tahun, pelajar-pelajarnya cemerlang dalam peperiksaan awam negara ini.

Oh, HIV Kelantan paling tinggi kerana tiada panggung wayang. Ketololan apakah yang pimpinan muda DAP ini cuba paparkan dalam masyarakat? Membenci dan berbeda pandangan sekali pun, jangan sampai memfitnah, lihat statistik, negeri manakah paling tinggi kadar pesakit HIV?

Kelantan dan Terengganu adalah jantung hati orang Melayu, dua negeri Pantai Timur ini damai dan tenang dalam rengkuhan pemerintahan PAS. Dipimpin oleh sosok pemimpin yang kredibel, kompeten dan berjiwa rakyat. Serangan DAP kepada dua negeri ini termasuk usaha mengucilkan bantuan kewangan, maka sebenarnya DAP membina jarak intergrasi antara kaum. Berpada-padalah kalian berpolitik! - HARAKAHDAILY 22/3/2019

Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, menjelaskan bahawa kerajaan akan mengurangkan subsidi Lembaga Tabung Haji (TH) ke atas jemaah haji dengan menggunakan konsep “Istito’ah”.

Konsep berkenaan diperkenalkan bagi mengurangkan bantuan TH. Istito’ah bermaksud seseorang hanya boleh pergi haji dalam keadaan yang mampu.

shahirDewan Pemuda IKATAN Malaysia mengecam kenyataan YB Menteri yang seakan-akan menggunakan istilah arab dan bermain dengan kata-kata untuk menghalalkan subsidi dikurangkan. Kos sebenar haji ialah RM22,900.

Selama ini, rakyat hanya membayar RM9,980 untuk membolehkan mereka mengerjakan ibadah rukun Islam kelima itu. Persoalannya, jika dahulu kerajaan Barisan Nasional menjaga kebajikan rakyat, terutama umat Islam, kenapa hari ini kerajaan Pakatan Harapan terus membebankan rakyat?

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa kerajaan memperhalusi balik keputusan ini kerana keputusan sebegini menekan rakyat. Bagaimanakah pakcik dan makcik di kampung hendak mengumpul RM22,900 di waktu keadaan ekonomi Malaysia sendiri makin tenat dengan kos sara hidup makin melambung tinggi.

Pakcik dan makcik di kampung juga tertekan dengan penurunan harga getah dan kelapa sawit yang mencari punca mata pencarian mereka. Jika pakcik dan makcik berjimat dan menyimpan sebanyak RM100 sebulan, mereka memerlukan masa menyimpan selama 229 bulan atau 19 tahun!

Seharusnya subsidi terus diberikan kepada rakyat Malaysia untuk pergi mengerjakan haji pertama. Itulah yang dinamakan kerajaan berkebajikan. Banyak aset TH yang sudah diletakkan di bawah SPV.

Ke manakah perginya apa jua pulangan dan keuntungan daripada dasar penstrukturan semula aset-aset TH ini hingga kerajaan masih mahu memeras segalanya daripada rakyat?

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia sekali lagi menggesa YB Menteri memperhalusi kembali keputusan memotong subsidi haji demi menjaga kebajikan rakyat, dalam kes ini rakyat yang beragama Islam.

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia
21 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 21/3/2019

Kor Ming dan sepupunya bersama Almarhum Tok Guru Nik Aziz semasa bertandang ke Kelantan.

ADAPUN dakwaan/provokasi Nga Kor Ming, Timbalan Speaker yang juga pengerusi DAP Perak betapa taawun Umno-PAS atau UMPAS bakal membentuk pemerintahan Taliban di Malaysia adalah dongeng karut kumpulan jahiliah yang terbaru.

Provokasi itu adalah sambungan tempelak bossnya Guan Eng yang mendakwa UMPAS demi memerang bukan Melayu yang beberapa jam kemudian dicopnya bukan memerang tapi mensasar.

Apapun walau dimodifikasi sudah ada hantuan perang itu di lubuk perutnya. Dan sambung Kor Ming yang menempelak azam memperkasa penyatuan ummah sebagai gara-gara Taliban adalah mengigaukan perang belasan tahun di Afghanistan antara Amerika dan Taliban.

Ia karut dan propaganda jahiliah terhadap Islam dulu, kini dan akan datang.

Sekalipun karut tetapi dibimbang ia membimbangkan Amerika. Amerika telah menghabiskan kekayaan dan kuasanya memerangi Taliban dan masih terkial-kial untuk menamatkannya. Kerana jenuh dan penatnya Taliban belum dapat dimatikan, ia berunding pula dengan musuhnya bagi menamatkan perang itu.

Sekarang Kor Ming bagitahu Taliban hendak muncul pula di Malaysia. Yang membimbangkan takut Amerika terpengaruh dengan DAP lalu mengalih atau menyambung pula perang ke Malaysia. Jika Amerika dibantu oleh sekutunya Australia, Eropah dan lain-lain menyerang Taliban, adalah perang itu seminggu dua atau berpanjangan seperti di Afghanistan dan Pakistan itu?

Orang Melayu bersama UMPAS itu kira-kira 70 peratus. Yang bersama PH kurang dari 20 peratus. Jika diceroboh Amerika, adakah mereka menyerah diri seperti bangsa-bangsa Eropah menyerah wilayah mereka kepada Hitler bila mereka diancam Nazi Jerman?

Jika mereka menyerah mungkin OK bagi DAP dan PKR. Tetapi kalau mereka jadi macam Yaman dan Syria, yang sengsara bukan sekadar Islam dan Melayu, bukan Melayu, Cina, India dan lain-lain binasa belaka. Bila Amerka datang segala anasir Daesh dan segala anasir keganasan akan datang juga. Mereka tembak siapa dapat ditembak, tak kira Melayu, Cina atau DAP.

China, Rusia dan lain-lain tidak akan biarkan. Mereka ikut menembak dari darat dan langit. Orang Melayu yang ketinggalan ekonomi rata-rata miskin. Yang kaya dan bergedung Cina. Jika perang menjadikan Malaysia padang jarak dan padang tekukur, yang banyak binasa adalah gedung-gedung Cina.

Rumah Melayu yang banyak terbakar yang beratap rumbia. Banglo, rumah mewah, pencakar ozon yang banyak Cina punya. Melayu rugi, Cina lagi rugi. Bila sudah jadi macam Afghanistan, Yaman dan Syria jangan fikir Singapura kebal. Semua pelabur lari, Singapura hendak makan apa?

Tetapi Ameerka tahu, 60 tahun merdeka BN perintah Kelantan 11 tahun saja. 50 tahun lagi di bawah PAS. Tidak nampak Kelantan macam diperintah Taliban. Kelantan di bawah PAS lama sebelum Taliban muncul di dunia. Kalau Kelantan jadi Taliban Amerika berperang di Malaysia dulu sebelum berperang di Afghanistan.

Semasa Kor Ming dan sepupunya MP DAP Beruas sekarang dari Exco Perak masa PAS jadi Menteri Besarnya, mereka bertandang ke Kelantan dan dengar kuliah Jumaat Almarhum Tok Guru Nik Aziz. Mereka duduk di celah ribuan orang PAS. Tok Guru tidak ajar orang Islam buru orang bukan Islam dari Kelantan. 

Bahkan orang Cina dan India Kelantan jauh lebih selesa dari orang Islam di Pulau Pinang yang DAP perintah.

Mungkin Umno tidak seadil terhadap bukan Melayu seperti yang Islam mahu, tetapi di bawah Umno pun bukan Melayu hidup seperti di syurga. – HARAKAHDAILY 21/3/2019

KAMI melahirkan rasa dukacita dan berkongsi rasa simpati yang tidak terhingga di atas berita pemergian Adik Muhammad Haziq bin Mohd Tarmizi dalam insiden serangan dua buah masjid di Christchurch, New Zealand.

Semoga Allah S.W.T. mengurniakan keampunan dan rahmat-Nya ke atas Al-Marhum dan menempatkan beliau bersama para syuhada' dan hamba-hamba-Nya yang soleh.

Al-Fatihah.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS - HARAKAHDAILY 21/3/2019

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Agama) tidak boleh menjustifikasikan konsep istito’ah (kemampuan kewangan) untuk mengurangkan subsidi haji buat jemaah yang pertama kali menunaikan haji menerusi muassasah.

Walaupun konsep istito’ah itu betul pada prinsipnya, namun menteri harus merujuk isu subsidi haji sebagai satu tanggungjawab pihak Lembaga Tabung Haji dan Kerajaan Persekutuan.

Subsidi haji yang diberikan sejak tahun 2001 merupakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bukan Zakat yang diperuntukkan oleh Lembaga Tabung Haji. Malah, ia merupakan peruntukan sumbangan yang terbesar dan terpenting oleh LTH berbanding sumbangan-sumbangan lain seperti Dana Tabung Warga Tua dan Sahabat Korporat.

Menurut LTH, pemberian sumbangan subsidi haji adalah satu bentuk perkongsian kejayaan yang diperolehi oleh LTH hasil daripada sokongan pendeposit. Pada tahun 2017, jumlah deposit ialah RM73.56 bilion dan meningkat kepada RM74.5 bilion pada tahun 2018. Jumlah akaun baru yang dibuka dalam tempoh tersebut juga adalah sebanyak 31,580 akaun.

Berdasarkan kepada peningkatan jumlah deposit dan akaun baru, maka wajar bagi LTH untuk terus mengekalkan subsidi haji yang pertama kali menunaikan haji menerusi muassasah. Berdasarkan perkongsian sokongan rakyat (pendeposit), maka tidak ada sebab untuk pihak LTH mengurangkan subsidi buat bakal haji. – HARAKAHDAILY 21/3/2019

Nelayan pantai Teluk Bahang menunjukkan pukat yang rosak diancam lumpur.

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pulau Pinang,Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Laut menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi pencemaran sisa lumpur di perairan Teluk Bahang ketika ini.

Masalah yang berlarutan sejak lebih setahun yang lalu itu kini semakin kerap berlaku serta mengancam kehidupan lebih 200 nelayan pantai di kawasan berkenaan.

Dalam tinjauan yang dibuat nelayan-nelayan yang terlibat memberitahu SAM bahawa ia di percayai berpunca dari tindakan kapal pengangkut sisa lumpur dari tapak projek penambakan laut di Persiaran Gurney membuang bahan itu ketika dalam perjalanan ke Pulau Kendi.

Di samping lumpur terdapat bahan buangan lain seperti sisa kayu dan besi melekat pada pukat nelayan-nelayan di sini menyebabkan pukat menjadi rosak dan mereka yang terlibat telah mengalami kerugian antara RM300 hingga RM7,000 seorang.

SAM difahamkan,Ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan di kawasan ini juga turut berkurangan menyebabkan hasil tangkapan mereka merosot melebihi 50 peratus setiap kali pencemaran itu berlaku.

Sehubungan itu SAM meminta Jabatan Perikanan negeri mengadakan perjumpaan dengan nelayan-nelayan pantai Teluk Bahang bagi membincangkan masalah ini dan masa depan kehidupan mereka yang terjejas akibat kejadian tersebut.

Bantuan atau pampasan wajar diberikan kepada semua mangsa kejadian ini kerana kerugian akibat kerosakan pukat yang dialami adalah besar dan mereka terpaksa mengambil masa yang lama untuk turun semula ke laut bagi menjalankan aktiviti tangkapan.

SAM kesal walau pun masalah ini membelenggu kehidupan masyarakat nelayan di kawasan itu namun tidak ada perhatian serius yang diberikan atau tindakan berkesan oleh pihak berkenaan.

SAM percaya dan bimbang kesan yang lebih buruk akan berlaku ke atas alam sekitar dan kehidupan nelayan pantai di negeri ini jika projek penambakan laut diteruskan. Lihatlah apa yang berlaku di Tanjong Tokong, Gelugor, Batu Uban, Queensbay dan Persiaran Gurney. – HARAKAHDAILY 21/3/2019

Penulis ialah Presiden Sahabat Alam Malaysia.

MUSLIMAT PAS berbesar hati menyahut gerakan #headscarfforharmony dan #scarvesinsolidarity yang akan diadakan pada Jumaat ini, 22 Mac bagi memberikan sokongan kepada para syuhada dalam peristiwa berdarah di New Zealand baru-baru ini.

Gerakan sokongan ini mengajak semua wanita daripada pelbagai latar belakang agama untuk sama-sama menggayakan tudung atau menutup kepala pada hari tersebut tak kira walau di mana mereka berada.

Selain ianya sebagai tanda sokongan kepada seluruh masyarakat Muslim di New Zealand khususnya Christchurch.

Justeru, Muslimat PAS mengajak seluruh wanita Malaysia terutama Muslimat PAS untuk sama-sama kita menyarungkan tudung putih pada hari Jumaat ini sebagai tanda solidariti terhadap kumpulan ini dan dalam masa yang sama kepada keluarga syuhada’ tersebut.

Semoga dengan usaha ini, dapat memperkenalkan keindahan dan kecantikan nilai Islam kepada masyarakat majmuk di Malaysia dan seluruh negara.

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
20 Mac 2019 / 13 Rejab 1440 – HARAKAHDAILY 20/3/2019

More Articles ...