15
Tue, Oct
13 Artikel Baru

Kes Anwar: Masih ingat ungkapan arwah Tok Guru

Nasional
Typography

ORANG kampung pun pelik mengapa selepas sembilan bulan berlalu tertuduh isu RM2.7 bilion belum dibicarakan. Apa yang berlaku sekadar dihadap ke mahkamah dan ikat jamin jutaan ringgit.

Kata bekas Presiden Senat Tan Sri Adam Kadir, ‘timbullah keadaan si itu betul dan si ini salah. Si itu tidak ditahan begitu lama selepas dituduh sebab si itu tidak bersalah’.

Pada awal Januari lepas beberapa NGO membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Peguam Negara, Tommy Thomas atas dakwaan disyaki melindungi pembunuh Muhammad Adib Mohd Kassim.

Kata mereka Peguam Negara sepatutnya membenarkan polis menukar kertas siasatan daripada Seksyen 307 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebaliknya kata wakil NGO terbabit Dato’ Lokman Noor Adam, apa yang berlaku Peguam Negara tiba-tiba mengarah inkues pula dilakukan.

Sedangkan awal Disember lepas empat lelaki yang dikatakan terlibat insiden membelasah anggota bomba terbabit direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Hujah serupa dikongsi Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia. Presidennya Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar berhujah mengadakan inkues tidak perlu. “Hanya akan melengah-lengahkan keadilan kepada keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Baginya, PDRM perlu segera menyempurnakan kertas siasatan dan Peguam Negara mendakwa pihak yang terbabit.

Ini kepelikan yang dibiarkan berlaku di era sekarang. Malah ramai juga terkilan Jabatan Peguam Negara dianggap tidak tegas terhadap pihak yang menghina Islam.

Beberapa individu didapati membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti Islam disifatkan banyak pihak mengambil masa dihadap ke pengadilan.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menyebut penting bagi pihak berkuasa menunjukkan kepada rakyat tiada sesiapa dilindungi daripada proses pengadilan.

Hanya hari ini seorang warga emas dihadap ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyiar kandungan jelik di Facebooknya.

Semalam seorang pemuda juga didakwa di mahkamah Shah Alam atas tuduhan sama. Ramai gusar tindakan mahkamah hanya diambil selepas umat Islam bangkit membantah.

Situasi itu juga seperti membuka ruang perhimpunan umat Melayu-Islam bagi kesekian kalinya. Sebelum ini ratusan ribu hadir membantah ICERD di Kuala Lumpur.

Semenyih

Kronologi isu yang berlaku sekarang seperti tidak membantu Pakatan Harapan (PH) di Semenyih.

Lebih-lebih lagi kenyataan Perdana Menteri mahu mengurangkan penjawat awam. Bagi ramai pengamat politik di kampus, kenyataan itu boleh mengundang tindak balak orang Melayu.

Seorang pegawai kanan pernah meluahkan, ramai sangatkah penjawat awam di Malaysia sekarang.

Sedangkan sejak lebih 60 tahun Umno bertongkat kepada kakitangan awam bagi mempertahankan kuasa. Sebaliknya PH cuba menjarakkan diri.

Situasi sekarang dibayangkan Prof Dato’ Dr Mohammad Agus Yusoff, PH bakal melalui laluan sukar di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih.

Sainstis politik itu membelek nilai integriti pemimpin PH semakin terhakis angkara gagal menunaikan pelbagai janji.

“Saya tidak nampak PH boleh memberikan imej parti yang kuat, tidak nampak sokongan kuat di akar umbi. Saya tidak nampak imej PH untuk dipertahan di Semenyih,” ujarnya pada satu forum.

Di tengah-tengah kemelut PH tiba-tiba bakal perdana menteri membangkitkan pula isu bayaran PAS kepada pengarang Sarawak Report.

Menurutnya beliau menanyakan isu bayaran kepada Clare kerana mendapati ada keanehan penyelesaian saman berkenaan.

Mengapa Dato’ Seri Anwar Ibrahim begitu bersungguh-sungguh mahu mencalarkan PAS. Mungkin sejarah 1998 mahu disisih daripada peta ingatan.

PAS mewujudkan Gerak bagi menangkis isu liwat di sisi Anwar. Hari ini bakal perdana menteri meminta usah terbawa-bawa politik adu domba dengan menggunakan nama Islam.

Ramai menjangka peluru itu ditabur selepas PAS mendedahkan ada komplot mahu menyingkrkan perdana menteri.

Masih ingatkan kita ungkapan arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Katanya - “Apa erti kamu dizalimi dan dipenjara padahal kamu difitnah. Apa erti rasa kamu derita, dizalimi bertahun-tahun. Apa pengajarannnya. Kamu kena ingat ini bukan soal Anwar.” - HARAKAHDAILY 27/2/2019