20
Tue, Aug
29 Artikel Baru

Anak muda Islam wajib berhimpun Jumaat ini

Nasional
Typography

BELIA UMMAH bersama 300 NGO umat Islam di bawah Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyeru kepada seluruh anak muda Islam daripada seluruh negara untuk keluar berhimpun pada hari Jumaat ini bagi menyatakan bantahan secara terbuka ke atas tindakan yang tidak bertanggungjawab beberapa rakyat Malaysia yang berani menghina Rasulullah S.A.W secara terbuka.

Penghinaan yang dilakukan ke atas Rasulullah S.A.W adalah sebuah tindakan di luar batasan dan bersifat provokasi secara terbuka terhadap umat Islam di negara ini. Belia UMMAH menyifatkan bahawasanya tindakan menghina Rasulullah S.A.W ini adalah sebuah gerakan atau usaha untuk menormalisasikan tindakan menghina agama Islam dalam negara kita di atas nama hak kebebasan dan demokrasi.

Himpunan pada hari Jumaat ini adalah penting bagi memberikan amaran kepada pihak yang melakukan provokasi ke atas umat Islam supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama dan menarik perhatian pihak kerajaan supaya mengambil berat isu ini dan tidak membiarkan agama Islam dihina begitu sahaja.

Belia UMMAH menegaskan bahawa himpunan yang akan diadakan adalah bertujuan untuk memberikan sokongan kepada pihak PDRM untuk mendakwa dan memastikan mereka yang melakukan jenayah menghina Rasulullah S.A.W menerima hukuman yang setimpal dan haknya.

PDRM mestilah memastikan 'rule of law' berjalan tanpa ada pihak luar yang campur tangan dan memastikan undang–undang sedia ada mampu mengawal jenayah ini serta menjamin ketenteraman awam sama ada daripada pihak yang melakukan provokasi atau umat Islam itu sendiri.

Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) pada hari Jumaat ini akan mengadakan himpunan serentak di seluruh negara dan UMMAH pusat akan mengadakan himpunan rasmi di Masjid Negara selepas dariapada solat Jumaat.

Sekian. Terima kasih.

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Pengerusi Kluster Belia Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)
0142374002 - HARAKAHDAILY 27/2/2019