21
Sun, Apr
20 Artikel Baru

Umno dan PAS, ini jawapannya

Nasional
Typography

MUSUH PAS cuba mengelirukan masyarakat supaya kerjasama PAS dengan Umno dihancurkan. Bahaya kepada politik mereka, kerana kedua-dua parti yang mempunyai kekuatan akar umbi.

Cuba menyusun gerakan meragukan ahli dan penyokong PAS, alhamdulillah belum berjaya.

Kadang-kadang yang marah ini pun, lahir daripada uri Umno juga. Cuma apabila habis madu sepah dibuang.

idrisSaya dari segi peribadi lahir dalam keluarga PAS, melawan Umno sejak daripada kecil, mahasiswa dan ketika menjadi pensyarah ITM.

Kalau PAS fikir hendak kuasa dan harta lebih baik bersama Umno waktu mereka berkuasa. Kenapa sekarang?

Situasi yang sama sewaktu PAS berkawan dengan DAP dan PKR bukan PAS tidak tahu mereka ada masalah peribadi dan pemikiran.

DAP istiqamah menentang konsep negara Islam, memperjuangkan sekular, konsep Malaysian Malaysia.

Tetapi PAS ambil yang ada persamaan antara parti yang bertahaluf. Seperti menentang rasuah, ISA, AUKU, ketirisan dan sebagainya.

Syarat utama dasar PAS tidak boleh diganggu dan PAS bebas menegakkan idealisma perjuangannya.

PAS tidak jadi DAP, DAP tidak jadi PAS.

PAS bersama PKR, bukan PAS tidak tahu otak dan pembawaan serta masalah peribadi pemimpin PKR. Tetapi PAS ambil yang ada persamaan.

Bezanya PAS berkawan dengan siapa pun, Islam tetap menjadi barang pertaruhan. Sempadannya ialah jangan melanggar batasan Islam.

Bukan PAS tidak kenal Dato’ Seri Anwar Ibrahim. 17 tahun bersama Umno, lebih garang melawan PAS daripada orang Umno asal.

PAS keseorangan menentang Umno pada waktu itu dan tidak terpengaruh dengan Dasar Penerapan Nilai Islam ketika Dato’ Seri Anwar menjadi Timbalan Presiden Umno.

Berapa ramai aktivis badan dakwah terpengaruh dengan Dato’ Seri Anwar terjun menjadi aktivis Umno, kononnya untuk menerap Islam daripada dalam. PAS keseorangan, tetapi terus mara menuju cita.

Apabila Dato’ Seri Anwar ditendang keluar Umno dengan mata lebam, PAS menyambut beliau seolah-olah beliau tidak bersalah dengan PAS selama 17 tahun.

Kalau ikut perasaan dan nafsu, PAS tidak berkawan dengan PKR dan bela Dato’ Seri Anwar. Demi suruhan Islam, PAS terima sebagai kawan.

Selepas itu apa yang beliau lakukan kepada PAS terpulang kepada Allah SWT.

PAS sanggup melupakan segalanya kerana dasar PAS ialah Islam. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: ”Tolonglah saudara kamu yang zalim dan saudara kamu yang kena zalim”.

Sekarang PAS bekerjasama dengan Umno, masih atas prinsip yang sama. Islam tetap menjadi asas untuk berkawan.

PAS tidak jadi Umno, Umno tidak jadi PAS.

PAS ambil hak persamaan iaitu Islam dan masa depan Melayu dan bumiputera.

Apabila merugikan Islam, walaupun untung dapat kuasa, PAS tarik handbrake. PAS tidak pernah rugi.

PAS boleh berkawan dengan siapa sahaja untuk kepentingan Islam dan boleh berpisah juga apabila tidak menguntungkan Islam.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
14 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 14/2/2019