26
Fri, Apr
8 Artikel Baru

TG Nik Aziz istiqamah julang perjuangan

Nasional
Typography

PAGI yang indah ini kita dikejutkan dengan kepulangan abadi Ustaz Yo Kemaman dalam usia yang masih muda, pendakwah yang berusaha menarik anak-anak muda untuk hidup taat beragama. Begitulah kehidupan, bergulir dalam putaran masa yang pantas dengan tidak meletakkan syarat untuk terus kita kekal menghirup udara dunia yang sementara ini. Ramai pimpinan gerakan Islam yang pulang ke negeri abadi dalam usia yang relatif muda seperti Prof. Zulkifli Mohamad, mantan Timbalan Presiden PAS yang juga ideologue kepada PAS dalam dekad 50-an. (Foto: Ustaz Yo Kemaman)yo

Tanggal 12 haribulan Februari setiap tahun, umat Islam bukan sahaja memperingati kesyahidan Hasan al-Banna, namun mereka akan terus memperingati seorang lagi sosok besar perjuangan Islam. Tokoh tanah Jawi yang namanya begitu besar pengaruhnya melangkaui benua dan lautan. Penulis terkesima melihat laporan kematiannya di dada sebuah akhbar Algeria sewaktu berpeluang melawat tanah "sejuta syuhada" itu. Visual pemakaman almarhum dengan lautan manusia itu tersebar ke seluruh buana ini, diikuti kisah magis bagaimana lelaki renta ini menakluki hati manusia termasuk yang non-Muslim. Sesepuh perjuangan ini meninggalkan kita dengan seribu kenangan indah, dirinya menjadi kenangan kolektif kita semua, anak segala bangsa. Aku mengenang kembali empat tahun yang lampau pada tanggal 12 Februari, seakan masa berdetak begitu pantas, memecut semahunya.

Seakan petir menyambar relung hati apabila mesej kepulangan abadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat aku terima saat sedang berforum memperingati as-Syahid Hasan al-Banna di Masjid al-Azim Pandan Indah. 12 Februari 1949, umat Islam kehilangan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin dan 12 Februari 2015, dunia Islam kehilangan pula Mursyidul Am PAS. Air mata mula bergenang dan aku menamatkan forum malam itu tanpa ada sesi soal jawab, terasa jasad longlai dan kehilangan patah-patah kata. Dalam apa jua kondisi sekali pun, esok pagi wajib bersama-sama umat Islam yang lain di pemakaman almarhum, walau terpaksa menongkat jari!

Aku mula merasakan kehadiran Ayah Ziz dalam hidupku pada tahun 1986, apabila Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat itu memberikan kuliah subuh di Masjid Rusila sempena Muktamar Tahunan PAS. Sejujurnya aku tertidur culas semasa kuliah subuh berlangsung, suara perlahan yang penuh mutiara ilmu itu tak mampu dicicip oleh aku dan teman-teman remaja berseluar jeans lusuh dan berbaju T. Kami mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun tersebut. Pada malam itu hujan turun ketika kami melabuhkan badan di pekarangan Masjid Rusila, kami berlari masuk menyambung dekuran di dalam masjid dan menyambung tidur lagi semasa kuliah subuh berlangsung. Aku merenung kembali nostalgia ini dengan dada sebak dan air jernih mengalir di pelupuk mata, merasa beruntung kerana jamaah ini dipandu oleh ulama dan tidak meminggirkan kami anak-anak remaja yang ranggi dan tolol.

Pada tahun 1990 pula bersama teman-teman yang mengambil peperiksaan STPM, kami bertakbir kegembiraan di pekarangan Pejabat Daerah Marang, bukan sahaja meraikan kemenangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang dan Dun Ru Rendang, juga kerana keberhasilan PAS menawan kembali Kelantan melalui pemuafakatan politik APU. Kemenangan kali kedua PAS ini setelah hilang Kelantan pada tahun 1978 sangat menguja akal kami, anak-anak muda kail sejengkal.

Nama Tuan Guru Nik Abdul Aziz mulai diratib oleh rakyat negara ini apabila menjadi Menteri Besar Kelantan, dengan penampilan sederhana alumni Deoband dan al-Azhar ini mula mendapat sorotan lensa dan menjadi tajuk utama berita. Sosok ini menjadi fenomena politik dan dakwah tanah air, ribuan manusia menghadiri kuliah dan ceramahnya di mana sahaja beliau hadir. Paling menarik, kejayaan almarhum melintasi garisan politik kepartian, sosok dan aura sebagai negarawan mengiringi pelbagai ilmu yang beliau miliki. Kelantan dipinggirkan dan Tuan Guru sentiasa diremehkan ideanya oleh media arus perdana negara ini.

Tuan Guru Nik Aziz semenjak usia mudanya sehinggalah sebelum beliau di masukkan ke wad ICU berhempas-pulas berjuang untuk mewajahkan Islam yang sebenar kepada masyarakat negara ini yang telah jauh meninggalkan agama akibat penjajahan dan juga pengisian kemerdekaan oleh parti pemerintah yang tidak meletakkan Islam sebagai agama sistem hidup. Slogan "Membangun Bersama Islam" telah diaplikasikan dengan serius di Kelantan, malah akhirnya menjadi panutan di negeri-negeri lain.

Tuan Guru seorang tokoh yang tidak berhenti untuk mendidik dan men’tarjih’ masyarakat untuk menjadi subur jiwa dengan haruman ketaqwaan. Hujan, panas, kekangan masa serta kepenatan diri tidak menjadi alasan untuk beliau berhenti mengajar dan menyantuni segenap lapisan masyarakat. Beliau telah menjadi milik masyarakat dan negara bahkan menjadi simbol kepada rakyat tertindas di negara ini.

Semenjak dilantik sebagai MB beliau kekal mendiami rumah kampungnya yang serba sederhana yang dijirani dengan masjid dan Sekolah Agama Darul Anuar yang didirikan oleh Almarhum orang tuanya sendiri. Segak bergaya dengan lilitan serban, bersampin dan berbaju melayu dan beliau juga memulangkan elaun rumah sebanyak tiga ribu ringgit kepada perbendaharaan negeri. Tidak ada jurang di antara beliau dengan rakyat pelbagai peringkat, datanglah seusai subuh setiap hari Jumaat, Tuan Guru melayan tetamu yang datang dari seluruh negara. Rumah dan masjidnya menjadi produk pelancongan bagi negeri Kelantan. Kuliah Subuh pagi Jumaat mempunyai tarikan yang besar kepada anak-anak tempatan dan pelancong luar Kelantan. Hidupnya tidak dikelilingi oleh pengawal peribadi seperti pemimpin lain di Malaysia, tiada skuad motor atau ‘out rider’ mengiringi beliau ke hulu ke hilir sehingga menjadi tembok penghalang kepada rakyat.

Jika hari lebaran tiba, berkunjunglah ke Pulau Melaka dan santaplah apa yang ada sekadarnya. Tuan Guru tidak membazirkan duit rakyat untuk jamuan raya rumah MB, elaun keraian MB juga diserahkan kepada perbendaharaan negeri, bahkan gajinya dipotong sebanyak 45 peratus untuk rakyat dan parti yang didukungnya. Seperti kata seorang sahabat, bahawa sosok ini akan muncul sekali dalam seabad malah permata kepada PAS yang ingin menterjemahkan konsep ‘good governance’. Bayangan Umar Abdul Aziz memerintah (99H-101H) kini dan telah muncul di Kelantan. Tuan Guru mengingatkan kita kepada akhirat dalam arus pemodenan yang sarat dengan perlumbaan untuk meraih kemewahan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah sosok yang wajar diteladani oleh pemimpin-pemimpin gerakan Islam di negara ini. Beliau berjaya menunjukkan kepada rakyat negara ini dan juga dunia bagaimana untuk mengaplikasi ilmu-ilmu Islam yang dipelajarinya. Keupayaan ini sangat terserlah sehingga banyak ditiru olek kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri BN yang lain. Beliau mempunyai kekuatan spiritual yang ampuh bagi menghadapi serangan liar musuh dengan tidak mengabaikan amalan-amalan sunat bagi melestarikan amalan fardhu, tutur patahnya di saat tenang mahupun saat cemas semuanya dikaitkan dengan nas yang kukuh. Figur ini sering pula menjadi bidikan media milik BN dengan memutar belit kenyataan supaya sosok mulia ini dilihat angkuh, bodoh dan menjadi liabiliti kepada PAS, namun semua serangan ini akan dan telah menjadi ‘boomerang’ yang membahang batang tengkuk diri mereka kembali.

Abad 20 telah menyaksikan ramai tokoh- tokoh Islam dengan kerencaman bakat dan kepakaran, Hassan al-Banna, Sayyid Qutb, Al-Maududi, Dr M. Natsir, Yusuf Qaradhawi, Dr Mustapha as-Sibaie, Abul Ali Hassan an-Nadwi, Ahmad Yassin, serta ribuan tokoh lain yang menulis sejarah dengan tinta emas. Namun, Tuan Guru bukan sekadar ideologue kepada gerakan Islam malah pentadbir yang berkesan, satu ruang yang jarang dikecapi oleh tokoh-tokoh besar gerakan islam yang lain. Tidak kurang pula tokoh gerakan Islam yang berada di singgahsana kekuasaan akhirnya terkumpul dengan imej kejabatan dan kebobrokan.


Tokoh murabbi ummah ini meninggalkan kita dengan seribu kebaktian dan menjadi cermin keteladanan di jalan dakwah, tarbiah dan siasah. Maestro dakwah ini menjadi arca yang memantulkan cahaya pembias sehingga mengharumkan gerakan Islam ini, pemergiannya ke negeri abadi untuk selamanya telah ditangisi jutaan manusia, melepasi sempadan geografi dan politik. Ratusan ribu menyolatkan jenazah almarhum serta menyempurnakan pemakaman insan yang bukan hanya milik PAS tetapi ummah seluruhnya. Melihat kepada denai sejarah indah perjuangan Tuan Guru, maka tiada ruang untuk PAN mendakwa mereka adalah legasi perjuangan almarhum. Almarhum tidak pernah bermanis muka dengan jahiliah, apologetik dengan musuh-musuh yang menganggu agama, bahkan tidak rela agama ini dipermainkan. Beliau istiqamah sehingga dengusan nafas yang terakhir! - HARAKAHDAILY 12/2/2019

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian Dan Kebudayaan Pusat.