18
Thu, Jul
39 Artikel Baru

Nasihat Rasulullah tentang pemimpin penipu

Nasional
Typography

RASULULLAH pernah berpesan bahawa akan datang satu zaman, si penipu akan diangkat dan dibenarkan. Sabda Rasulullah:

سَيأتي على الناسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ ، يُصَدَّقُ فيها الكَاذِبُ ، و يُكَذَّبُ فيها الصَّادِقُ، ويُؤْتَمَنُ فيها الخَائِنُ ، وَيُخَوَّنُ فيها الأَمِينُ ، ويَنْطِقُ فيها الرُّوَيْبِضَةُ . قيل : وما الرُّوَيْبِضَةُ ؟ قال : الرجلُ التَّافَهُ ، يتكلَّمُ في أَمْرِ العَامَّةِ

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan percakapan orang yang benar pula didustakan, amanah diberikan kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah.

"Kemudian akan bersuaralah golongan al-Ruwaibidah. Baginda S.A.W ditanya : Siapakah golongan al-Ruwaibidah? maka Baginda S.A.W menjawab : Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar”.

(HR al-Bukhari)

Menurut al-Imam Ibn Taimiyyah, hadis ini menggambarkan tentang kerosakan akhlak dan integriti pada ummah akhir zaman. Golongan penipu dan pendusta diangkat menjadi pemimpin lalu mereka mengeluarkan pandangan dalam perkara-perkara yang penting.

Dalam hadis ini juga Rasulullah mengingatkan kita tentang kemunculan golongan yang dipanggil Ruwaidbidah. Iaitu golongan yang jahil lagi fasiq yang memberikan pandangan tentang urusan yang besar.

Baginda turut berpesan kepada kita bahawa kepimpinan ini adalah amanah. Dan sekiranya amanah diberikan kepada golongan yang salah, maka ia akan membawa kepada kemusnahan dan kerosakan. Sabda Rasulullah:

فَإِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ . قَالَ : كَيْفَ إِضَاعَتُهَا ؟ قَالَ : إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

“Sekiranya sesuatu amanah itu disia-siakan, maka tunggulah akan berlakunya kiamat (kerosakan). Lalu Sahabat bertanya: Apa yang engkau maksudkan dengan mensia-siakan amanah wahai Rasulullah? Rasulullah lalu bersabda: Sekiranya sesuatu urusan diberikan kepada yang bukan ahlinya (yang tidak berkelayakan), maka tunggulah akan berlakunya kiamat (berlakunya kerosakan)." 

(HR al-Bukhari).

Moga Allah membimbing kita semua.

DR AHMAD SANUSI AZMI - HARAKAHDAILY 11/2/2019