26
Fri, Apr
22 Artikel Baru

"Saya makan duit Umno, bukan RM90 juta, tapi lebih..."

Nasional
Typography

DIA datang ke rumah saya lepas Asar sebagaimana yang dijanjikan ketika kami berhubung melalui telefon. Terjalar kereta BMW-nya di hadapan rumah saya. Dia datang seorang diri, di tangannya sebuah beg hitam, memang berketerampilan seorang yang berada.

Kami seusia, rakan sekolah, biasanya kami berjumpa di KL, tapi kali ini cuti CNY dia berada di Kuantan ziarah saudara mara sambil hadiri majlis perkahwinan sepupunya. Dia rajin belajar dan melanjutkan pelajaran ke luar negara, orang malas belajar macam saya ini duduk kampung sajalah.

Kami bersembang panjang hingga hampir Maghrib, dari cerita zaman sekolah dulu sampailah cerita politik terutama isu kononnya PAS terima duit RM90 juta dari Umno. Satu ketika dia ketawa, "Kalau bab makan duit Umno ini, akulah yang paling banyak makan duit Umno, sebab mak bapak aku Umno, dari kecik sampai aku bekerja, semuanya mak bapak aku tanggung".

"Mak ayah aku ada jawatan dalam Umno, memang Umno piaw, ayah aku Ketua Bahagian, mak aku pun, kakak aku yang sulung pun memang kuat Umno. Aku ini anak ke-4, ada masanya kakak aku yang belanja aku waktu belajar, dia pun Umno, pendek kata aku ini siang malam makan duit Umno".

"Kalau nak ikutkan aku ini makan duit Umno dah lebih dari RM90 juta, tapi tak boleh nak nilai dengan duit dah, sebab masa mak aku lahirkan aku dia mmg kuat Umno masa itu, takkanlah harga pengorbanan mak aku RM90 juta kot," cerita dia sambil-sambil ketawa.

"Sekarang ini semua keluarga aku PAS, mak ayah aku dah tak ada, lama dah masa aku baru-baru kahwin tahun 1995, sebab itu kalau orang kata ada orang PAS makan duit Umno, aku setuju dan aku mengaku, akulah yang paling banyak makan duit orang Umno".

Dia datang nak sumbang duit untuk fakir miskin RM2 ribu, "Engkau tolonglah agih-agihkan," katanya, sambil-sambil itu nak jumpa saya yang lama dah tak berjumpa, jumpa dalam Facebook saja, masa Himpunan Fastaqim 2.0 dekat Terengganu dulu tak sempat nak jumpa, "Kalau panjang umur kita jumpa kat Muktamar pula, Pahang kan akan jadi tuan rumah," katanya.

Sejak ayahnya meninggal dia terus tinggal di KL, "Adik-beradik aku semuanya PAS, kak long aku pun dah jadi Muslimat PAS, walaupun kami semua PAS, tapi kami semua dibesarkan dengan duit Umno," katanya.." datang KL bagi tahulah, nanti boleh ceramah di Markas Cawangan aku". "InsyaAllah," jawab saya.

Esok akan diagihkan sedikit-sedikit duit untuk fakir miskin dari sahabat saya itu yang mengaku bahawa dia dari kecil sampai besar makan duit Umno itu.

Catatan
USTAZ ROSLI ABDUL JABAR - HARAKAHDAILY 9/2/2019