Fitnah yang semakin liar perlu ditolak

Nasional
Typography

APA masalahnya dengan Rafizi Ramli membangkitkan dakwaan 'orang yang rapat dengan PAS' menerima RM90 juta dari 1MDB?

Ia kelihatannya satu fitnah yg terubahsuai menjadi semakin liar dan tidak tentu hala lantaran sifat asalnya dakwaan ini yang tiada sandaran bukti yang jelas.

Dalam satu dakwaan liar, PAS difitnah kononnya wang sebanyak RM90 juta telah diterima dari Umno dengan dimasukkan ke dalam akaun PAS Pusat di Affin Bank. Ditunjukkan gambar gambar sekeping Cek Affin Bank yang tertera nilai RM90 juta dan nama penerima sebagai 'Parti Islam Se Malaysia'.

Masalahnya cek yang ditunjukkan tiada tandatangannya. Cek yang sudah ada tandatangan pun, jika silap atau cacat tandatangannya tidak diterima oleh mana mana bank, ini pula yang tidak ditandatangan.

Setiausaha Agong PAS pula sudah mengesahkan PAS Pusat tiada akaun di Affin Bank. Dari mana datang cerita liar begini?

Semalam Rafizi Ramli, Naib Presiden PKR menokok tambah cerita baru pula yang lebih liar lagi.

Kali ini dia mendakwa individu yang rapat dengan PAS menerima RM90 juta dari 1MDB. Lain pula jadinya cerita ini.

Mula-mula PAS yang terima, sekarang individu yang rapat dengan PAS pula yang terima.

Sebagai seorang yang profesional, cakap-cakap liar Rafizi ini dalam isu ini tiada merit langsung selagi tidak disertakan dengan maklumat yang jelas apa isunya, siapa pelakunya, bila ia berlaku, atas transaksi mana?

Sangat berbeza dengan corak 'pendedahan eksklusif misalnya dalam isu 1MDB, di mana 'audit trail', jejak pergerakan wang berkenaan boleh dijejaki 'traceable' , boleh ditunjuk ia bergerak dari A ke B ke C dan berakhir di mana.

Pelik, piawai yang sama tak boleh dipamerkan dalam dakwaan terhadap PAS ini.

Jika pihak berkenaan memberi sedikit petunjuk /clue yang berasas pun, sekurang-kurangnya PAS tahu hujung pangkalnya mahu bermula siasatan dalaman dari mana. Ini tidak. Tidak ketahuan kepala ekornya.

Tak tahu apa yang perlu dijelaskan, apa yang perlu dibuktikan.

Cara yang betul adalah sertakan fakta lengkap tentang dakwaan yang berkenaan, beserta apa keterangan dan bukti yang ada.

PAS pun tidak berminat melayan cakap-cakap liar begini.

Kalau ada bukti, ada salah laku, ada kes, pergilah buat laporan polis atau ke SPRM.

PAS parti yang cukup benci dan tidak suka kepada sebarang unsur tidak amanah rasuah dalam parti. PAS sanggup bermatian mempertahankan mereka yang berintegriti tinggi dan tidak rasuah seperti yang dipamerkan dalam kes Tan Sri Khalid Ibrahim.

Merubah jalan cerita dari asalnya PAS yang menerima RM90 juta kepada 'individu yang rapat dengan PAS' pula yang menerima RM90 juta itu menjadikan dakwaan ini sangat tawar dan tidak bernilai langsung.

Pada hari ini, kajian Rafizi Ramli sendiri menunjukkan PAS secara bersendiri satu partipun memperoleh peratus sokongan yang lebih besar dari kalangan orang Melayu berbanding gabungan 4 parti dalam PH.

Ini bermakna rakyat lebih rapat dan dekat dengan PAS.

Dalam ramai-ramai yang rapat dengan PAS, tentu sekali ada yang kaya, ada yang berpengaruh, ahli perniagaan.

PAS parti yang lebih tua daripada PKR. Sudah tentu ramai kawannya yang baru dan yang lama.

Kawan-kawan yang rapat dengan PAS itu ramai.

PAS berhak untuk berkawan dan rapat dengan siapa pun.

Apa ingat PKR sahajakah yang tahu berkawan?

PAS bukan setakat tahu berkawan, PAS menghargai erti setiakawan. Bukan macam sesetengah yang hari ini, kawan tikam belakang.

PAS tentu sekali tiada urusan dalam mencampuri dan menyibuk hal ehwal kawan-kawan PAS. Kawan yang rapat lebih-lebih lagilah.

Selagi mana mereka bukan terlibat kegiatan haram, menyalahi undang-undang, PAS boleh berkawan dengan siapa sahaja.

Mereka berniaga, menjadi orang berjaya dalam profesion masing masing, PAS raikan semua.

Ada rakan rapat PAS mungkin tenaga pakar dalam pelbagai bidang yang turut khidmat kepakaran mereka membantu membangun negara.

Sikap PAS memberi galakan segala partisipasi dalam membantu membangunkan negara yang kita sama-sama sayangi ini.

Bukan sikap kita suruh jauhkan diri, boikot, jauh sekali mensabotaj negara ini.

Sikap seperti ini membuatkan PAS punya kawan-kawan yang rapat dan setiakawan.

Sangat tidak wajar mengaitkan PAS dengan dengan urusan 'pihak yang didakwa rapat dengan PAS'  seperti dakwaan Rafizi melainkan jelas apa hubungkaitnya urusan pihak berkenaan dengan PAS.

Jika setakat tuduhan dan dakwaan liar begitu, banyaklah kegiatan mereka yang rapat dengan PKR boleh kita dakwakan ke atas PKR pula termasuk terbaru pemimpin PKR yang ditangkap polis atas dakwaan jenayah penipuan. – HARAKAHDAILY 7/4/2017