19
Wed, Jun
12 Artikel Baru

PRK Cameron Highlands: PAS setuju calon BN

Nasional
Typography

SAYA dengan ini mengesahkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, amat bersetuju dengan calon langsung yang dikemukakan sebagai calon mewakili BN dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands pada 26 Januari 2019 nanti, iaitu bekas ACP Ramli bin Mohd Nor.

PAS yakin pemilihan calon tersebut amat tepat berdasarkan suasana semasa dan juga geopolitik di Parlimen Cameron Highlands sendiri.

PAS percaya pencalonan yang dibuat atas dasar tolak ansur parti-parti BN dan penerimaan baik oleh parti-parti pembangkang lain termasuk PAS boleh mewujudkan “Muafakat Pembangkang” yang kuat sekali gus menjadi formula terbaik untuk meraih undi bagi membolehkan BN mengekalkan kerusi Cameron Highlands.

Sebagaimana dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS, PAS akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan BN Pahang dalam waktu terdekat bagi menyelaraskan gerak kerja membantu calon BN.

Jentera Pilihan Raya PAS akan diketuai oleh Naib Presiden, Dato’ Iskandar Abdul Samad sebagai Pengarah Starategik, manakala Pesuruhjaya PAS Pahang, YB Ustaz Rosli Abdul Jabar, sebagai Pengarah Operasi.

PAS juga akan menghantar wakil-wakilnya dari kalangan pimpinan kanan Parti untuk menghadiri Hari Penamaan Calon pada 12 Januari 2019 sebagai sokongan kepada calon pembangkang.

PAS turut mempersoalkan hasrat DAP terus meletak calonnya dalam PRK Cameron Highlands menunjukkan DAP bersikap pentingkan diri dan hanya ingin menguatkan kedudukannya dalam PH, sedangkan mereka sudah mempunyai banyak kerusi berbanding parti-parti lain, terutamanya PPBM.

DAP sepatutnya mencontohi MIC yang “berjiwa besar” memberikan laluan kepada BN meletakkan calon lain asalkan memberi manfaat kepada Pembangkang.

Begitu juga MCA yang sedia melupakan perbezaan pandangan semata-mata atas dasar ‘Solidariti Pembangkang'.

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
10 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 10/1/2019