Pengerusi Kada – maaf sedang dikemaskini

Nasional
Typography

KETIKA rakyat dikejutkan perletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong, era Malaysia Baharu juga memperlihatkan perubahan ‘kapten’ di banyak universiti awam.

Antara universiti yang mendapat Naib Canselor (NC) baharu iaitu UKM, UUM dan UMK (Universiti Malaysia Kelantan).

Di UKM Prof Ir Dr Mohd Hamdi, 47, menggantikan Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali. Beliau merupakan NC ke-10 dilantik bermula 1 Januari 2014.

Ir Dr Mohd Hamdi mengambil alih tugas itu tanggal 1 Januari lepas. Sedangkan sebelum berlaku pertukaran NC, geger di media isu dikatakan Dr Noor Azlan menghalang wacana membabitkan aktivis PKR, Hishamuddin Rais.

Dr Mohd Hamdi berasal dari Muar, Johor. Apakah kebetulan Menteri Pendidikan juga berasal dari Johor. Dr Maszlee Malik merupakan ahli parlimen Simpang Renggam.

Ahli Parlimen Muar iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Mungkin kebetulan atau ada mesej tersirat.

Tiba-tiba Pemuda Parti Amanah Nasional (PAN) mengalu-alukan pelantikan Dr Mohd Hamdi. Ia seakan-akan memperlihat mesej terselindung di situ.

Pertukaran NC lebih awal berlaku di Universiti Utara Malaysia. Penolong NC Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani menggantikan Prof Dato’ Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Kata sumber akademik rangkaian NC baru sekarang merupakan ‘orang rapat’ Menteri Pendidikan.

Malah pada September lepas juga Dr Maszlee dilantik sebagai Presiden UIAM ke-7. Pelantikan itu untuk tempoh tiga tahun selepas dikatakan diperkenan Ketua Perlembagaan UIAM.

Beliau menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim yang tamat kontrak Julai 2018.

Malangnya kehadiran semula Dr Maslee mencetuskan kontroversi.

Beliau mendapat bantahan dan kritikan pelbagai pihak termasuk pelajar. Ini kerana kedudukannya sebagai Menteri Pendidikan.

Sedangkan sebelum itu beliau berkali-kali memberitahu enggan melepaskan jawatan Presiden UIAM.

Bantahan ramai muncul memandangkan manifesto PH seakan tidak mahu memberi ruang pemimpin politik mengetuai lembaga agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Bercanggah manifesto

Kata Prof Dr Sivamurugan Pandian dari USM tindakan kerajaan sekarang dilihat bertentangan dengan manifesto pilihan raya PH.

Menurutnya seperti dilapor laman berita, tindakan tersebut boleh menimbulkan krisis keyakinan sehingga mewujudkan imej negatif terhadap PH.

Kontroversi di UIAM akhirnya menyebabkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedah kabinet mengarah Dr Maszlee berundur di UIAM.

Di Kelantan juga tidak ketinggalan ada NC baru di UMK. Prof Dr Noor Azizi Ismail menggantikan Dato’Prof Dr Husaini Omar bermula 7 Januari lepas.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dilapor menyebut Dr Maslee mahu UMK memberi fokus bidang keusahawanan.

Persoalannya apakah UMK tidak fokus sebelum ini. Namun apa yang tersirat ia ada citra Malaysia Baharu menggantikan NC dilantik ketika era kerajaan BN.

Babak-babak kemunculan pimpinan baru di kolej atau universiti belum bernoktah.

Beberapa hari lepas Menteri Pembangunan Luar Bandar Dato’ Seri Rina Mohd Harun mengumum pula pelantikan pemimpin Bersatu Sukiman Sarmani sebagai Pengerusi Universiti Teknikal Mara (Unitek-Mara).

Manakala Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi sebagai Pengerusi Mara Corporation Sdn Bhd. Ternyata citra baharu itu tidak mudah berakhir begitu sahaja.

Namun peliknya di Kelantan juga belum kedengaran pelantikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

Cuba belek laman Kada. Ditulis ruang ‘Perutusan Pengerusi’ - Harap Maaf Maklumat Sedang Dikemaskini.

Mengapa ketika Bersatu ghairah melantik pemimpin mereka mengetuai banyak agensi kerajaan, PAN pula seperti diam seribu bahasa.

Setidak-tidaknya seorang lagi pemimpin PAN dijulang di situ. Sebelum ini Pengerusi PAN Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengetuai Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.

Masih ramai lagi pemimpin PAN belum mendapat apa-apa. Khabarnya sebelum ini nama Timbalan Pengerusi PAN, Ustaz Mohamad Hussin disebut-sebut.

Sedangkan Dato’ Sazmi Miah dari Bersatu sudah lama dilantik Pengerusi Kesedar. - HARAKAHDAILY 9/1/2019