21
Sun, Apr
20 Artikel Baru

Dan begitulah mereka...

Nasional
Typography

APABILA membaca tafsir surah al-A’raf (138-141), kita akan menemukan kisah berkenaan Bani Israel yang diselamatkan dari kekejaman Firaun oleh Nabi Musa dan Harun merentasi Laut Merah. Kisah yang sudah dimaklumi oleh semua orang, bukan sahaja Islam, malah penganut Yahudi dan Nasrani juga. Tetapi mungkin tidak ramai tahu kisah selepas mereka diselamatkan, yang terjadi di seberang Laut Merah.

Sesudah mereka menjejakkan kaki mereka ke seberang Laut Merah, mereka bertemu dengan satu kaum yang menyembah berhala sebagai tuhan mereka. Lantas, terfikirlah yang mereka memerlukan tuhan untuk disembah. Tuhan yang boleh dilihat, dipegang, dihias, sebagaimana kaum Musyrikin yang mereka temui itu. Maka mengadulah mereka akan keinginan itu kepada Rasul mereka, Musa dan Harun. Betapa murkanya Musa apabila mendengar permohonan kemusyrikan itu oleh kaumnya yang baharu sahaja dua hari diselamatkan oleh Allah, tuhan yang esa, dari Firaun. Jelas manusia ini benar-benar lupa diri.

Kita, apabila membaca kisah-kisah benar daripada al-Quran ini berkenaan Yahudi, kita pasti akan menghela nafas panjang. Kesal, marah dan benci dengan sikap yang tidak tahu bersyukur, membongkak oleh Yahudi, yang suatu ketika dahulu memegang gelaran kaum yang dikasihi Allah. Tetapi kini dilaknat oleh Allah kerana onar yang mereka cipta semenjak daripada dahulu lagi, sehingga, Nabi dan Rasul juga mereka bunuh. Semua lapisan manusia, tidak kira sejahat mana mereka, namun jauh di sudut hati mereka, pasti akan membenci sikap yang tidak tahu bersyukur ini. Naluri baik, pasti akan duduk di suatu sudut di hati kecil manusia. Tidak boleh dibuang, tinggal lagi mereka mahu ikut atau tidak naluri itu.

Fe’el yang buruk Bani Israel ini, tidak pernah hilang. Daripada dahulu, sehingga sekarang, itulah hukum alam. Akan ada sahaja sesiapa yang akan mengambil alih watak itu bagi melakonkannya sama ada secara sedar atau tidak. Tetapi walau apa pun, jahatnya manusia zaman ini tidaklah dapat menandingi kejahatan Bani Israel di zaman para Nabi dan Rasul, kerana pasti, golongan musuh yang ditemukan Allah dengan Nabi dan Rasul-Nya, pastilah yang terjahat dan tersukar untuk dihadapi. Tetapi meniru cara dan gaya Yahudi ini akan ada ada diteladani oleh manusia lain dari semasa ke semasa.

Baru-baru ini, ada kita mendengar suara-suara yang menyeru kepada kejahatan dalam pemerintahan. Suara itu dengan galaknya mahu membolot kekayaan negara atas dasar projek-projek yang dikatakan sepatutnya dikuasai oleh ketua bahagian sebuah parti. Keinginan yang tinggi bagi mengambil kekayaan itu, sehinggakan menghilangkan rasa malu mereka yang sudah sangat hampir dengan lubang kubur itu kerana berbicara hal yang mengaibkan sedemikian secara terbuka, didengari oleh semua rakyat, secara langsung. Tidak pernah ia dilakukan secara terbuka oleh pihak satu lagi sebelum ini, walaupun kita ada mendengar perkataan politik wang, Kronisme atau Nepotisme daripada mereka.

Sepatutnya kegagalan mereka menterjemahkan janji manifesto PRU mereka kepada realiti, menjadi isi utama kepada pertemuan mereka untuk dibincangkan, tetapi mereka tidak bersungguh. Sebaliknya, kesalahan kepada kumpulan penjaga negara terdahulu juga yang dijadikan ulang-ulangan, sebagai ‘pain killer’ kepada marhaen yang sedang terluka dengan manifesto yang tidak tertunai. Tanpa segan mereka berdiskusi siapa yang sepatutnya dapat apa setelah dakwa mereka, merekalah penyebab kemenangan pasukan. Ditambah lagi dengan idea mahu mengembalikan agensi Persekutuan ke negeri-negeri yang mereka kalah, bagi menjaga wang negeri. Tidak ubah sama seperti yang lama, mungkin lebih hina.

Kejahilan mereka dalam agama juga terserlah kerana sebelum kenyataan yang mendakwa merekalah penyebab kemenangan, jurucakap mereka telah mengaku yang kemenangan mereka adalah kerana tsunami undi rakyat, yang kemudiannya ianya didakwa sebagai mukjizat. Sedangkan mukjizat itu terkhusus kepada Rasul sahaja. Sangat rapat kaitan hubungan kenyataan mengarut mereka ini dengan sebuah lagi pasukan pembentuk kerajaan apabila mengatakan bahawa Nabi juga mungkir janji (sudah mereka meminta maaf atas keterlanjuran), kalau saya tuhan dan Nabi pun letak jawatan.

Jadi sebagai renungan, sangat baik kisah mereka diumpamakan dengan cerita dalam surah al-A’raf itu. Setelah menang, mereka lupa diri, terus mahu mengaut kekayaan, bukan mahu menjadi hamba kepada Allah, tunduk tawaduk sebagaimana contoh yang ditunjukkan Rasulullah yang begitu tunduk merendah diri ketika memasuki Makkah setelah kemenangan Islam. Malah mereka mahu pula menindas kumpulan lain yang sedang aman memerintah dengan lebih baik daripada mereka. Begitulah kesombongan yang ditunjukkan oleh pasukan yang baharu tidak sampai setahun memegang tampuk pemerintahan negara.

Menurut ulamak, Sheikh Rusydi al-Badrawy, keinginan Bani Israel mahukan berhala untuk disembah walaupun setelah mereka terselamat daripada Firaun ialah kerana mereka telah dijajah oleh Firaun ratusan tahun dengan keadaan dipaksa menyembah berhala. Nah, ianya hampir sama dengan pasukan yang kita bincangkan sekarang. Mereka telah dijajah dengan kontrak, duit, harta, kekayaan sejak puluhan tahun dahulu lagi. Ingat, dalaman dan mentaliti mereka adalah sama dengan pasukan yang dahulu, Cuma nama dan lambang sahaja yang berlainan. Ditambah lagi dengan kemasukan ahli baharu dari parti lama.

Dahulunya ada di antara mereka ini menjadi pengadil bagi pemilihan negara. Mereka mendakwa sekatan itu dan ini yang menyebabkan mereka gagal bertindak seadilnya. Pemegang kuasa negara terdahulu juga yang disalahkan. Ramai percaya dengan mereka. Tetapi sekarang, apabila mereka masuk sendiri dalam gelanggang, kali ini sebagai pemain, ya Allah, terjahan keras, bentesan, terajang, sepakan mereka, lebih teruk daripada pemain yang mereka kata jahat dahulu. Tidak cukup dengan mereka sahaja, malah diajar pula orang lain supaya mengikut corak permainan jahat mereka. Tidakkah celaka mereka ini?

Desakan mereka kepada sekutu bukan Islam dalam pakatan mereka bagi memartabatkan Islam yang dihina teruk sekarang, sangat lemah. Sebaliknya lebih kuat lagi desakan agar ketua mereka mempertahankan jawatan yang dipegang, lebih lama lagi daripada yang sepatutnya, memercikkan api perbalahan dengan kumpulan kawan mereka. Jika janji dengan lebih 30 juta rakyat negara begitu mudah dimungkirinya, apa yang mereka peduli dengan janji kepada hanya seorang yang sedang berpeluh cemas menunggu untuk menerima jawatan kepala negara. Sesama sendiri pun menipu.

Kita sebagai orang Islam yang inginkan redha Allah, sudah jelas nampak perhimpunan, perbalahan, percakaran, persengketaan sesama mereka ini, tidak lain hanyalah bagi mempertahankan harta dan jawatan mereka sahaja. Visi pasukan mereka tidak dipandu kehendak agama. Dan sudah pasti misi mereka juga akan terkeluar dari kehendak agama dalam mengejar visi mereka. Agamawan di sisi mereka, hanya diguna bagi melawan hujah agama daripada agamawan pihak lain, membaca doa, mengorek fatwa bagi mengiyakan tindakan mereka yang tersasar dari agama. Itu sahaja. Sedangkan agamawan di pihak lain diperlukan bagi memperbaiki kualiti agama ahli-ahli mereka. Ahli menerima nasihat agamawan, mematuhi arahan dan larangan agamawan yang dipandukan dengan panduan kitab suci dan sunnah Nabi.

Mereka ini tidak akan ke mana. Mereka mungkin berjaya menggiurkan orang yang tidak mengenal agama dengan harta dan pangkat mereka untuk mengikut mereka. Tetapi mereka lupa bahawa Allah adalah destinasi terakhir perjalanan manusia. Ketiadaan agama dalam roh pasukan mereka diibaratkan cubaan memasuki gurun yang kering kontang, tanpa bekalan air dan makanan. Mereka pasti mati. Mereka menjadi saksi hidup kepada kita, kerana tanpa agama sebagai dasar, mereka hanya berdebat dengan perkara sia-sia dalam perhimpunan mereka. Musuh Islam bertepuk tangan, hanya duduk di sebelah mereka.

Marilah kita hidup dan suburkan jiwa kita dengan agama Allah. Ikutlah pasukan yang menjadikan Allah sebagai tujuan utama perjuangan dan berjalan melalui jalanNya. Mungkin akan ada berpandangan misalan ini sangat melampau, tetapi sebenarnya tidak. Mereka yang silap kerana mereka tidak membaca al-Quran. Semua kisah sudah dinukilkan dalam al-Quran dan Hadis. Mereka tidak sedar yang mereka sedang membawa watak tersebut. Berlainan dengan ulamak. Mereka kenal al-Quran, tahu watak-watak yang ada, maka mereka mengelak dari melakonkan watak jahat, mereka mengambil watak baik sahaja. Dan, begitulah mereka…. 

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
3 Januari 2019 - HARAKAHDAILY 3/1/2019