20
Tue, Aug
31 Artikel Baru

Larangan merokok: Tahniah Malaysia

Nasional
Typography

PERTUBUHAN Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di atas pengisytiharan dan pelaksanaan zon larangan merokok di premis restoran dan kedai makan bermula 1 Januari 2019.

Keputusan tegas yang dibuat oleh KKM ini adalah bertepatan dengan peraturan 11, Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan wajar mendapat sokongan dan pujian.

Papisma Malaysia sentiasa menyokong penuh segala usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara sihat dan bebas dari asap rokok. Ini adalah selari dengan objektif Papisma sebagai sebuah NGO yang memperjuangkan kesejahteraan masyarakat terutamanya dari sudut kesihatan dan perubatan.

Papisma juga menyeru semua pihak sama ada badan kerajaan mahupun bukan kerajaan bagi merealisasikan negara Malaysia mencapai sasaran penurunan sebanyak 30 peratus perokok dari prevalen 22.8 peratus menjelang 2025.

Usaha yang gigih perlu digembeling bagi mencapai matlamat ini. Antaranya dua strategi utama, iaitu aktiviti pencegahan bertujuan mencegah golongan bukan perokok daripada terjebak ke dalam masalah ini dan aktiviti pemulihan dan penguatkuasaan bagi memastikan sekurang-kurangnya 130,000 perokok berhenti merokok setiap tahun.

Papisma Malaysia sejak dari penubuhannya telah banyak terlibat dalam kempen-kempen kesedaran berhenti merokok. Di antaranya ialah program Initiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (IKBAR) tahun 2015 dan Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR) tahun 2014.

Sudah tentu penguatkuasaan larangan merokok ini akan berjalan selari dengan aktiviti-aktiviti kesedaran dan pendidikan yang akan lebih banyak dilaksanakan sama ada oleh KKM sendiri mahupun melalui kerjasama berterusan dengan badan bukan kerajaan (NGO).

Diharapkan komitmen Malaysia yang ditunjukkan dengan baik pada permulaan 2019 ini akan berterusan dan menguatkan lagi iltizam Malaysia menghadapi isu yang lebih banyak mudarat kepada kesihatan masyarakat Malaysia seperti isu ganja, ketum dan penyakit berjangkit yang semakin menular.

Tahniah Malaysia.

DATO’ DR SUHAINI KADIMAN
Presiden Papisma Malaysia
2 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 2/1/2019