Kenapa doktor bersungguh larang pesakit merokok?

Nasional
Typography

KENAPALAH para doktor bersungguh sangat larang pesakit daripada merokok? Hinggakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengadakan satu kempen khusus untuk mengajak keseluruhan rakyat Malaysia agar berhenti merokok. Bukan setakat itu sahaja, banyak kerajaan tempatan seperti Bandaraya Melaka, Bandaraya Islam Kota Bharu, Bandaraya Kuala Terengganu dan beberapa tempat lain mengisytiharkan kawasan bebas asap rokok.

Negara Malaysia juga melalui Kementerian Kesihatan dengan nekad menandatangani satu perjanjian yang mengikat kita kepada akta dan pemantauan agar patuh, iaitu Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) sejak 2005 lagi. Artikel 8 dalam perjanjian tersebut membenarkan kerajaan menggazet satu kawasan khusus larangan merokok.

Banyak kajian telah dijalankan berkaitan dengan larangan ini boleh menambahkan kesedaran rakyat akan bahaya rokok. Sehingga kini Malaysia masih lagi utuh mempertahankan perjanjian tersebut, setaraf dengan negara-negara maju lain seperti Australia, New Zealand dan lain-lain.

Usaha terbaharu yang akan dilaksanakan sepenuhnya bermula Januari 2019 adalah larangan merokok di tempat-tempat awam seperti restoran dan kedai makan. Satu langkah yang bijak oleh KKM agar tidak ramai rakyat diselubung oleh bahaya asap rokok.

Kesan-kesan buruk merokok amatlah banyak. Ianya telah dibuktikan melalui kajian saintifik dan kajian sosial berkaitan dengan tabiat merokok ini. Statistik jelas menunjukkan rakyat Malaysia menghisap 23.7 bilion rokok setahun dan jumlah ini satu peningkatan besar daripada 18 bilion batang pada 1998. Jumlah perokok pula meningkat daripada 3.1 juta pada tahun 2007 kepada 4.7 juta dalam tahun 2011.

Penyakit berkaitan merokok adalah pembunuh nombor satu di negara ini, yang menyebabkan kira-kira 10,000 rakyat Malaysia meninggal dunia setiap tahun. Didapati 49 peratus daripada lelaki dewasa di negara ini merokok, melebihi kadar di negara maju seperti di Britain (38 peratus), Amerika Syarikat (35 peratus) dan Sweden (30 peratus).

Sebilangan besar perokok juga dikesan mula berjinak dengan tabiat ini sejak remaja. Purata umur mula merokok ialah 19 tahun. Pada 1985, 9.8 peratus remaja didapati merokok dan kadar itu meningkat kepada 18 peratus pada 2000. Satu fenomena membimbangkan ialah lebih ramai gadis mulai merokok. Malah remaja perempuan yang merokok, didapati bertambah daripada satu kepada lapan peratus, khususnya di bandar.

Dianggarkan setiap hari 50 remaja memulakan tabiat buruk ini. Hasil dari Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan (NHMS 2015) oleh Institut Kesihatan Umum (IKU) memberi mesej jelas kepada kita bahawa 1 daripada 10 kanak-kanak belasan tahun dalam negara kita terjebak dalam ketagihan merokok. Amat membimbangkan lagi bahawa 71peratus dalam kalangan kanak-kanak yang belum mencapai umur 14 tahun berjinak-jinak dengan rokok.

Justeru, amat bertepatan dengan sebuah negara yang sayangkan kesejahteraan rakyatnya melakukan sesuatu yang lebih bermanfaat seperti larangan merokok di restoran dan kedai makan. Restoran adalah tempat makan, bukannya kebuk maut menghisap rokok. Perut kita ingin nikmati makanan supaya bertenaga, tetapi malang paru-paru kita pula diserang asap rokok yang dikeluarkan oleh tetamu yang menghisap rokok. Bahaya mendapat asap pinggiran (second hand smoke) daripada perokok lebih tinggi dari para perokok itu sendiri dapat.

Saya bersetuju dengan satu jawapan Almarhum Ustaz Fadli Al-Yamani dalam sebuah YouTube berkaitan isu rokok. Rokok bukan haram secara qatie sebab ianya tidak dinyatakan oleh Al-Quran atau Hadis. Akan tetapi saya mengambil kiasan bahawa ianya adalah haram secara mendatang. Bermakna setelah mendapati bukti-bukti nyata mutakhir ini bahawa rokok mendatangkan mudarat kepada badan manusia. Ianya bukan lagi hukum makruh seperti pendapat ulama zaman 70-an atau 80-an.

Banyak kajian yang mengesahkan merokok itu berbahaya. Merokok penyebab kematian pra matang (umur muda) seluruh dunia sebanyak 10 kali ganda. Terbukti bahawa 90 peratus kanser paru-paru akibat rokok, manakala 80 peratus penyebab kematian akibat penyakit paru-paru kronik (COPD). Risiko perokok dihinggapi serangan sakit jantung dan strok sebanyak 2-4 kali ganda dan banyak lagi komplikasi penyakit akibat rokok.

Kajian-kajian ini baru diperolehi dengan jelas pada sekitar 90-an hingga kini. Para pakar bergelut dengan kejadian-kejadian penyakit yang faktor utamanya adalah rokok seperti kanser dan serangan jantung. Sudah tidak dapat dinafikan lagi. Melalui kiasan yang sama juga shisha dan vape diharamkan oleh para ulama agar menutup pintu kerosakan lebih utama dalam masyarakat.

Beberapa hujah yang dikemukakan oleh ulama kini yang mengharamkan rokok, shisha dan vape:

1. Firman Allah subhanahu wa ta'ala

يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

"Nabi itu menyuruh mereka kepada yang makruf, melarang mereka dari yang mungkar, menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan melarang bagi mereka segala yang buruk." [Surah Al-A'raf: 157]

2. Firman Allah subhanahu wa ta'ala

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

"Janganlah kamu membazirkan hartamu secara boros. Sesungguhnya orang-orang yang berlaku boros itu adalah saudara saudara syaitan. Dan syaitan itu sangat ingkar terhadap Tuhannya." [Surah Al-Isra': 26-27]

3. Hadis Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam

لا ضرر ولا ضرار

"Tidak boleh membuat mudharat kepada diri sendiri dan tidak boleh membuat mudharat kepada orang lain."

4. Kaedah Fiqhiyyah:

الضرر يدفع بقدر الإمكان

"Bahaya harus ditolak semaksimum mungkin."

5. Kaedah Fiqhiyyah:

الضرر يزال

"Yang menimbulkan mudharat harus dihilangkan/dihindarkan."

6. Kaedah Fiqhiyyah:

الحكم يدور مع علته وجودا وعدما

"Penetapan hukum itu tergantung ada atau tidak adanya 'illat."

7. Ulama pelbagai negara juga memberi penjelasan yang sama, seperti ulama Mesir, Jordan, Yaman, dan Syria bahwa hukum merokok di negara-negara tersebut adalah haram.

Untuk pengetahuan umum, kerajaan telah mewujudkan beberapa kawalan undang-undang bagi menyekat rakyat daripada merokok. Antara akta yang selalu digunapakai adalah:

1) Akta Kawalan Kawalan Tembakau 1993. Akta ini selari dengan perancangan yang telah disenaraikan dalam Framework Convention on Tobacco Control (FCTC). Pindaan pada tahun 2004 diperketatkan lagi agar semakin sukar rakyat mendapat akses kepada rokok.
2) Akta Makanan 1983 - Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) (Pindaan) 2011. Akta ini mengawal selia rokok di bawah PPKHT selari dengan apa yang diletakkan di dalam kerangka FCTC WHO. Ianya telah membantu kerajaan dalam mengawal rokok tembakau, namun ianya langsung tidak mengawal selia nikotin tulin yang terdapat di dalam cecair e-rokok.
3) Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952, dan Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Akta ini mengawal selia dan membuat dakwaan jika penjualan rokok termasuk e-rokok yang mengandungi cecair nikotin.

Sememangnya rokok mempunyai banyak mudarat yang tidak dapat disangkal lagi. Langkah yang dijalankan oleh kerajaan dan berapa NGO bagi menyedarkan masyarakat mengenai bahaya rokok patut disokong. - HARAKAHDAILY 1/1/2019