Zakat: ENGAGE jangan ceroboh tugas JK Fatwa

Nasional
Typography

KRITIKAN sebuah kumpulan masyarakat sivil, ENGAGE, ke atas tindakan PTPTN mengeluarkan zakat perniagaan RM1 juta kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah kerana berpendapat bahawa badan-badan yang dikuasai oleh kerajaan tidak perlu mengeluarkan zakat perniagaan adalah tindakan yang boleh mengocak keharmonian negara.

Ini kerana pendapat ENGAGE bahawa badan-badan yang dikuasai oleh kerajaan seperti PTPTN atau Lembaga Tabung Haji Malaysia tidak perlu mengeluarkan zakat perniagaan adalah satu pendapat yang cuba menceroboh struktur asas Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ditubuhkan pada awal tahun 1970 sebagaimana diperuntukkan oleh Perkara 11 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Tugas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan adalah menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa atas apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-raja.

Selain membabitkan titah Mesyuarat Majlis Raja-raja supaya Jawatankuasa Fatwa MKI memberikan pandangan hukum atau fatwa tentang sesuatu isu yang timbul dalam masyarakat, pengeluaran pandangan hukum atau fatwa oleh Jawatankuasa juga turut dibuat melalui permohonan dari masyarakat Islam atau pihak-pihak tertentu.

Sehubungan dengan isu pengeluaran zakat perniagaan oleh badan-badan yang dikuasai oleh kerajaan ini, telah wujud beberapa fatwa yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan sebelum ini.

Di dalam beberapa fatwa yang dibuat olehnya, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan bahawa badan-badan tertentu yang dikuasai oleh kerajaan wajib mengeluarkan zakat perniagaan.

Ini termasuklah:

(1)     Keputusan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-17 pada 3 Mei 1979 bahawa “Lembaga Urusan dan Tabung Haji adalah diwajibkan membayar zakat bagi pihak penyimpan-penyimpan dari wang simpanannya, dari hasil pelaburan dan dari harta yang diperniagakan serta segala keuntungan daripadanya”.

(2)     Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-58 pada 29 Julai 2003 bahawa “anak-anak syarikat Tabung Haji wajib membayar zakat masing-masing”.

(3)     Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 pada 22 – 24 November 2005 bahawa “FELDA wajib mengeluarkan zakat ke atas hasil pendapatannya dengan mengambil kira pendapatan anak-anak syarikat, sekiranya semua urusan ke atas pemilikan ekuiti dan akaun pendapatan anak-anak syarikat dikawal oleh FELDA sendiri”.

Di dalam beberapa fatwa lain yang dibuat olehnya, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan bahawa badan-badan tertentu yang dikuasai oleh kerajaan tidak wajib mengeluarkan zakat perniagaan.

Ini termasuklah:

(1)     Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-18 pada 25 Februari 1987 bahawa “MARA tidak wajib mengeluarkan zakat kerana tidak memenuhi syarat milik sempurna sepertimana yang dikehendaki oleh syariat Islam”.

(2)     Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam pada 16 Ogos 2001 bahawa “anak syarikat milik Pemodalan Nasional Berhad (PNB) tidak dikenakan zakat tetapi zakat hanya dikenakan pada pelaburan perseorangan dan pemegang saham sahaja”.

Berdasarkan kepada fakta-fakta ini, maka ENGAGE dan pihak-pihak lain yang sependapat dengannya perlulah menghormati kedudukan dan bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang negara.

Sangat tidak bertanggungjawab untuk mereka mengeluarkan kenyataan bahawa badan-badan yang dikuasai oleh kerajaan tidak perlu mengeluarkan zakat perniagaan kerana perkara ini perlulah diserahkan kepada penelitian Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

Seperti dapat dilihat dalam contoh-contoh yang diberikan, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan adalah sangat objektif di dalam mengeluarkan fatwanya dengan meneliti kedudukan setiap badan yang dirujukkan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Sehubungan dengan pengeluaran zakat perniagaan oleh PTPTN, berdasarkan duluan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan kepada kenyataan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, bahawa PTPTN telah merujukkan perkara ini kepada Lembaga Zakat terlebih dahulu, maka tidak perlu ditimbulkan keraguan tidak perlu mengenainya.

Tindakan mana-mana pihak cuba mengambil alih kedudukan dan bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dengan cuba membuat fatwa mereka sendiri, apa lagi cuba mempersoalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, adalah tidak patut.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF, UUM - HARAKAHDAILY 30/12/2018