21
Sun, Jul
24 Artikel Baru

Terengganu sambut tahun baharu acuan Islam

Nasional
Typography

KERAJAAN Terengganu memutuskan untuk mengadakan program sambutan Tahun Baharu 2019 di Stadium Tertutup Gong Badak bermula 31 Disember sehingga tengah malamnya dengan beberapa pengisian penting. Sebelah pagi akan dimulakan dengan kayuhan basikal bersama YAB MB dan peminat sukan berbasikal. Petang pula diisikan dengan sedikit hiburan yang berkonsep Islam dan kesederhanaan untuk keseronokan anak-anak muda bersama Ustaz Muzaini Abdul Rahman dan beberapa selebriti lain. Manakala malam diawali dengan kuliah maghrib oleh YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, juga solat hajat dan munajat di seluruh masjid surau di Terengganu agar Allah mencucuri berkat pada negeri dan rakyat Terengganu jauh daripada musibah dan malapetaka. Kita juga memohon untuk dibukakan hati pemerintah Pusat supaya royalti terus jadi milik Kerajaan Negeri, tidak lain, bagi kepentingan rakyat Terengganu. Kemudian Ustaz Azhar Idrus dan beberapa selebriti akan memeriah malam tersebut diikuti dengan ucapan YAB Menteri Besar Terengganu dan doa selamat.

1 Januari merupakan hari-hari yang ditetapkan oleh Allah. Tahun Baharu masihi adalah tahun yang berasaskan kiraan pusingan matahari. Allah menjadikan matahari dan bulan sebagai salah satu tanda kebesaran-Nya. Ia adalah sama sebagaimana hari-hari yang lain. Sambutan ini diadakan bukan untuk menyambut Tahun Baharu secara khusus atau mengikut jejak langkah Yahudi dan Nasrani tetapi atas tujuan pemurniaan dan islah (pembaikan). Jika Sultan Muhammad al-Fateh telah berjaya mengubah gereja Agia Sofia menjadi masjid di Istanbul, Turki, kami Kerajaan Negeri pula mahu mengubah sikap dan perangai ummah akhir zaman untuk menyambut awal tahun baharu dengan cara yang sesuai dengan Islam.

Apa-apa perayaan yang bukan keagamaan, Islam tidak menghalang kita meraikannya. Oleh itu kita bukan membuat sambutan untuk menyerupai kaum kafir tetapi kita mahu membendung umat islam mengisi malam tahun baharu mengikut cara mereka. Sudah menjadi kebiasaan sambutan tahun baharu diisi dengan kelalaian dan kelekaan serta banyak juga yang berunsur maksiat. Corak ini mesti diubah. Cara dan sikap ini mesti dimurnikan dengan keindahan untuk membuktikan ianya dibolehkan Islam, tetapi mesti tepat kaedahnya. Inilah antara maksud utama Kerajaan Negeri mahu mengadakan program ini.

Cara ini cara kita, bukan sunnah, juga tiada kaitan dengan ibadat khusus agama kita dan juga penganut agama lain. Jika penganut Kristian mahu menyambut mengikut cara mereka, ianya bebas dan tiada penghinaan serta kritikan buat mereka. Dan untuk itu, sewajarnya, penganut non-Muslim khusus DAP tidak sibuk mempertikaian cara dan kehendak kami. Kami tahu, ada sebahagian mereka bersifat rasis dan cuba memaksa umat Islam berperangai seperti mereka serta asyik mahu mencampuri urusan Muslim. Kami akan mengingatkan umat Islam tentang sabda Rasulullah yang bermaksud:

"Sungguh kamu akan mengikut jejak langkah umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak pun, kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan? Nabi S.A.W menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka".

(Riwayat Muslim)

Kerajaan negeri juga berhasrat untuk menjadikan hari Jumaat sebagai hari ilmu dan hari Sabtu pula untuk keluarga. Rakyat yang berilmu adalah tunggak kepada kerajaan yang terbaik. Kami memerlukan rakyat dan rakyat memerlukan kami. Kita semua ada tanggungjawab kepada Allah dan manusia, ‘Hablun Minallah, Hablun Minanaas’. Oleh itu kedua-dua hari ini adalah penting bagi rakyat mengisinya dengan hal yang sepatutnya kepada Allah dan keluarga supaya hidup kita lebih bermakna dan gembira.

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,
Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu
22 Rabiulakhir 1440/30 Disember 2018 - HARAKAHDAILY 30/12/2018  

IMG 20181230 WA0012 

IMG 20181230 WA0010

IMG 20181230 WA0011