Pinda Akta 164 gagalkan hak pertahan aqidah anak-anak muallaf

Nasional
Typography

SEJARAH perundangan negara kita menyaksikan beberapa kes mahkamah syariah yang melibatkan kekeluargaan Islam, aqidah dan hadanah dicabar di Mahkamah sivil atas beberapa peruntukan undang-undang yang membenarkan hal ini berlaku walaupun Perkara 121 (1A) menjamin keputusan dan kuasa Mahkamah Syariah.

Kini jika berlakunya pindaan terhadap Akta 164 sebagaimana hasrat kerajaan mambawa bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 yang juga dikenali kini sebagai Akta 164, peluang untuk mempertahan aqidah anak-anak muallaf akan semakin sukar, sempit dan terhalang.

Antara intipati perubahan yang bakal dicadang kerajaan adalah:

Pertama, jika selama ini orang yang menganut Islam tidak mempunyai hak untuk memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan melalui seksyen 51 akta berkenaan, pindaan ini mengusulkan agar mualaf turut dibenarkan untuk membubarkan perkahwinannya mengikut undang-undang sivil sama ada berdasarkan pemelukan Islam ataupun kausa tindakan lain.

Kedua, agama anak mualaf ini kekal pada agama asalnya dan hanya boleh ditukar jika kanak-kanak ini mendapat persetujuan kedua belah pihak selepas usia 18 tahun.

Pihak kami merasa kesal dengan jawapan Timbalan Perdana Menteri yang menggunakan alasan  berlapang dada dan toleransi semua agama, dan menghormati hak semua kaum untuk meneruskan agenda pindaan yang merugikan agama Islam selaku agama rasmi. Malah kami sependapat dengan mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang mahu kerajaan menangguhkan pembentangan pindaan Akta 164 itu sehingga kajian dan pemurniaan intipati diadakan.

Tindakan pihak kerajaan ini menghampakan dan menyedihkan para pejuang Islam baik dari kalangan ahli politik mahupun NGO Islam kerana ia bercanggah dengan suara majoriti umat Islam.

Sebelum ini Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak/Sivil Kali Ke-19 telah sebulat suara memutuskan antara lain mana-mana pasangan bukan Islam yang memeluk Islam dan mempunyai anak-anak di bawah umur 18 tahun hendaklah menjadi orang Islam selaras hukum syarak.

Manakala keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan ke-87, 2009 yang secara jelas memutuskan bahawa “Apabila salah seorang pasangan ibu atau bapa memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan tersebut adalah secara langsung beragama Islam”.

MAPIM meningatkan rakyat Malayia isu agama anak muallaf bukan sekadar isu maruah seorang ibu bapa yang inginkan anaknya beragama sepertinya, tetapi ia melibatkan isu faraid (agihan harta) isu nafkah kepada anak serta isu hadanah ataupun hak penjagaan anak yang kesemuanya adalah dalam ruang bicara Mahkamah Syariah.

Kami juga menasihati beberapa pemimpin politik bukan Islam agar menjaga kata-kata supaya jangan sewenang mengutuk usaha umat Islam mempertahan keputusan keputusan fatwa di negara ini. MAPIM juga bersetuju agar suatu suruhanjaya yang berautoriti serta disertai oleh ahli akademik dan ilmiah Islam bagi membincangkan kembali secara terperinci kesan kepada aqidah umat Islam selepas pindaan akta ini di Parlimen.

AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Naib Presiden
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) – HARAKAHDAILY 5/4/2017