26
Sun, May
16 Artikel Baru

Politik berteraskan agama, bukan jadi 'kelab sosial'

Nasional
Typography

PARTI politik bagi golongan Sekular sama seperti parti tupperware atau kelab sosial. Siapa suka masuk boleh masuk dan siapa suka keluar boleh keluar dan cari kelab lain pula. Matlamatnya ialah cari makan dan kepentingan. Begitulah murahnya perjuangan tanpa ditunjangi oleh hukum dan agama. Saya yakin, politikus Sekular ini jika hidup di zaman Rasulullah pasti mereka akan bersama pemimpin Quraiysh ketika di Makkah, kemudian bertukar arah bersama Abdullah bin Ubai pula ketika di Madinah dan kemudian menyatakan taat setia kepada Rasulullah selepas Fathul Makkah seterusnya bersama Musailamah pula selepas Rasulullah wafat.

Wahai umat Melayu Islam. Berjuanglah berdasar aqidah dan cintamu kepada Islam. Bukankah Allah telah memberikan peringatan di dalam al-Quran:

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ

"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)."

[ali-'Imran: 144]

Berpolitiklah demi Islam sama ada ketika Rasul masih hidup atau selepas kewafatan Baginda. Jagalah Islam ini sampai kamu terpaksa menggigitnya dengan geraham-geraham kamu. Bersabarlah dengan Islam. Kerana akan sampai juga nanti masanya kamu akan dikurniakan kemenangan dan akan sampai juga nanti masanya kejatuhan dan kehancuran kebathilan. Firman Allah:

إِنْ يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِثْلُهُ ۚ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنْكُمْ شُهَدَاءَ ۗ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

"Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim."

[ali-'Imran: 140]

Bersabarlah sebentar. Jangan gadai maruah agamamu dan dirimu. Kita bukan ayam atau itik yang boleh ditaburkan beras di mana-mana lalu menerkam ke arah itu. Kita bukan monyet sarkas yang akan menari dah terjoget-joget bila gendang dipalu. Kita ada maruah sebagai manusia yang ada aqidah dan keimanan kepada Akhirat. Kita akan memetik hasil istiqamah kita di dunia ini di sana nanti.

Ayuh bersama Islam dan istiqamah dengannya.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat - ARAKAHDAILY 15/12/2018