KIAS jadi pilihan pelajar luar

Nasional
Typography

KOLEJ Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) berbeza berbanding dengan institusi pengajian tinggi lain. KIAS mewajibkan pelajar menyertai usrah.

Kedatangan usrah diambil kira dalam penentuan pencapaian pelajar. Setiap pelajar perlu hadir 10 kali usrah yang diadakan bagi mengukuh jati diri mereka.

i3Bekas Setiausaha Agung Perwakilan Pelajar KIAS Candra Muthy Subagio, 23 berkata aktiviti usrah dikendalikan Lajnah Usrah.

Katanya setiap pelajar perlu menghadiri sebanyak 10 perjumpaan (usrah) dalam tempoh empat semester.

“Aktiviti usrah dapat membina jati diri setiap pelajar kerana ia dibimbing naqib yang berpengalaman dalam kalangan pelajar,” katanya.

Beliau yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah mengenali KIAS daripada rakan-rakan. Sebelum ini beliau mengakui tidak tahu kewujudan KIAS, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) agama.

Sekarang beliau mengikuti semester akhir pengajian Diploma Kewangan Islam. Terdapat lebih 10 pelajar dari Sabah yang mengikuti pelbagai program pengajian di KIAS sekarang.

Selain itu terdapat lebih 30 pelajar Sabah yang sedang mengikuti pengajian di Pondok Pasir Tumbuh, Kota Bharu. Sebahagian besar kumpulan pelajar terbabit berasal dari Sandakan dan Tawau.

Beliau merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik. Ayahnya Subagio Perwito Dormanatono bekerja sebagai buruh.

Candra berkata suasana pembelajaran di Kelantan berbeza dengan negeri-negeri lain. Kelantan pusat perkembangan ilmu agama sejak beratus tahun lalu.

“Ini menjadi daya tarikan utama saya memilih untuk belajar di KIAS berbanding institusi pengajian tinggi agama lain yang terdapat di negara kita.

“KIAS memang hebat daripada segi ilmu. Malah suasana pembelajaran di sini masih lagi terkawal dan tiada pergaulan bebas antara pelajar lelaki dan perempuan,” katanya.

Menurutnya Kelantan merupakan gedung ilmu Islam dan masih terdapat banyak pusat pengajian pondok secara tradisional.

Beliau bercita-cita melanjut pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas menamatkan pengajian di KIAS.

Pada peringkat menengah beliau belajar di sekolah menengah aliran Arab di Kota Kinabalu. Dan sering terbabit dalam aktiviti dakwah bersama penduduk di Sabah.

Pelajar-pelajar KIAS juga tidak ketinggalan menyertai pelbagai pertandingan bersama IPT lain di luar Kelantan termasuk dianjur Institut Pengajian Tinggi Islam Malaysia.

Pada tahun lepas pelajar KIAS muncul di tempat ketiga pertandingan debat Piala Sultan Mizan Zainal Abidin yang diadakan di UiTM Dungun, Terengganu.

Selain itu mendapat tempat keempat pertandingan debat Iqraq anjuran USIM.

Majlis Pimpinan Pelajar KIAS juga mengadakan lawatan Brunei pada November 2016.  

Candra yakin KIAS akan mendapat sambutan lebih hebat pada masa akan datang setelah dinaik taraf kepada kolej universiti.

Sekarang terdapat pelajar dari Thailand, Indonesia dan Kampuchea. KIAS juga unggul kerana memiliki pensyarah yang berkelayakan. Terdapat seramai 150 kakitangan di KIAS sekarang termasuk tenaga akademik.

ki1

KIAS turut dilengkapi makmal komputer.