Ubah segera atau hadapi amukan anak muda

Nasional
Typography
POLISI skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) yang diumumkan oleh Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan adalah sangat zalim dan menekan hidup graduan Malaysia khususnya buat mereka yang datang daripada keluarga yang miskin. Apa yang dilakukan oleh Wan Saiful dan Maszlee Malik ini adalah tidak berperikemanusiaan dan lebih teruk daripada apa yang telah dilakukan oleh kerajaan BN dahulu.
 
Kerajaan sepatutnya memberikan fokus kepada pembangunan polisi-polisi untuk memberdaya ekonomi anak muda dan bukannya merompak gaji anak muda miskin secara terbuka dan menggunakan kuasa yang mereka ada. Wan Saiful, Pengerusi PTPTN yang bergaji besar dan Maszlee Malik, Menteri yang sedang menikmati gaji yang besar pada hari ini sepatutnya berkerja untuk mencipta satu mekanisme yang mapan untuk membantu anak muda mempunyai ekonomi yang stabil disamping memastikan kestabilan kewangan PTPTN terjamin.
 
Namun, apa yang berlaku adalah perkara yang sangat menyedihkan iaitu mereka mengambil jalan mudah dengan memeras ugut anak muda serta peminajam-peminjam PTPTN dengan kuasa yang mereka ada.
 
Menurut laporan Bank Negara Malaysia 2017, graduan bujang sepatutnya mempunyai gaji sebanyak RM2,700.00 sebulan, graduan yang berkahwin tanpa anak mendapat gaji sebanyak RM4,500.00 sebulan dan graduan yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM6,500.00 sebulan.
 
Menurut data kajian yang dilakukan oleh KPT (Kajian Pengesanan mahasiswa 2016), sebanyak 89.1 peratus daripada mahasiswa graduan diploma yang berkerja mempunyai pendapatan sebanyak RM2,000.00 dan ke bawah sebulan dan sebanyak 48 peratus mahasiswa graduan ijazah pertama mempunyai pendapatan RM2,000.00 dan ke bawah.
 
Ini menunjukkan bahawasanya majoriti graduan masih berada di bawah paras pendapatan yang baik seperti yang dicadangkan oleh BNM. Kerajaan sepatutnya tidak malas untuk membuat kajian dan berdialog dengan para pemegang taruh sebelum memperkenalkan polisi yang tidak munasabah, menekan graduan dan menzalimi peminjam-peminjam PTPTN.
 
Amaran daripada kami amahsiswa Malaysia agar pihak PTPTN segera menarik polisi skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) ini atau kerajaan bakal berhadapan dengan amukan anak muda Malaysia dari seluruh negeri dan universiti.
 
Sekia. Terima kasih.
 
“Istiqamah Bersama Islam“
 
MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
6 Disember 2018 - HARAKAHDAILY 6/12/2018