Terus bersengketa hingga masuk perangkap musuh

Nasional
Typography
SALING berbalas dakwaan sesama mereka di Perak bagai telah mengesahkan wujudnya komplot terancang menjatuhkan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Azumu. Ini sekali gus menjadi bayangan gugatan terhadap kestabilan Kerajaan Negeri Perak yang dilihat berisiko mengulangi tragedi hitam 2009.
 
Pastinya semua ini bakal mengganggu dan merencatkan kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri yang menyebabkan banyak agenda pembangunan negeri dan rakyat tidak memacu ke kedudukan lebih baik. Tergendalanya semua ini hanya akan mengecewakan rakyat yang telah memberi mandat jelas kepada politik tanah air pada PRU lalu.
 
Sekali lagi harapan mereka akan musnah oleh keghairahan orang-orang politik mencatur kuasa dan jawatan berbanding menghidangkan perubahan diimpikan rakyat serta janji yang dimanifestokan. Rupanya keparat politik serupa sahaja yang hanya tahu untuk mengambil kesempatan bagi kepentingan diri dan kelompok.
 
Kami cukup yakin bahawa rakyat sudah cukup belajar dan berpengalaman mengenai sepak terajang politik semasa negara dan tidak akan terpedaya lagi. Malangnya, kami melihat permainan politik berterusan ini menjadi keghairahan yang memerangkap khususnya sesama ahli politik Melayu Islam untuk saling bersengketa.
 
Tentunya perpecahan cuba dibesarkan jurangnya ini adalah usaha licik mereka yang mahu mencengkam dan menundukkan pihak lain untuk patuh dan mengikuti kehendak mereka. Mereka mahu terus berlagak menjadi 'Abang Besar' setelah merasa kuat dan semakin angkuh dengan banyak kerusi sedang dimiliki.
 
Kami menyeru kepada ketakwaan dalam pemerintahan yang antara terjemahannya bukan sahaja melaksanakan amanah khalifah dan memakmurkan negeri, jangan biar diri menjadi tali barut hingga akan menggadai maruah diri, bangsa dan paling penting agama.
 
Sedari ancaman dan kenali musuh sebenar, seterusnya berpendirian teguh menolak segala tipu daya dan 'penjajahan' secara sulit oleh mereka yang berpura-pura serta bermotif jahat ini. Cukuplah kesungguhan dan kolektif undi, serta adu domba mereka kepada pihak asing menjadi iktibar kepada kita ketidaksetiaan atau khianat mereka.
 
"Islam Memimpin"
"Terus Mara"
"Terus Berjuang"
 
* Penulis merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 6/12/2018