MESTECC disaran cermat rumusan LAMP

Nasional
Typography

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menggesa pihak Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk meneliti dengan cermat rumusan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advanced Material Plant (LAMP) 2018 yang telah diterbitkan supaya keputusan yang diambil oleh kerajaan berobjektif dan adil untuk semua pihak.

tatawiBerdasarkan rumusan Jawatankuasa Eksekutif (Bahagian 8), LAMP merupakan kilang kimia yang menghasilkan nadir bumi dan bukannya loji nuklear atau aktiviti perlombongan.

LAMP berisiko rendah tetapi tetap perlu mengambil pendekatan prinsip awasan dan pengurusan risiko bagi memastikan rakyat dan alam sekitar terpelihara.

Dalam hal ini, terdapat tiga perkara pokok yang perlu diberikan perhatian daripada laporan jawatankuasa eksekutif tersebut :

Pertama, pematuhan LAMP terhadap standard keselamatan, kesihatan serta alam sekitar mengikut peruntukan undang-undang di Malaysia.

Kedua, pengurusan sisa radioaktif dan bahan buangan terjadual yang dihasilkan oleh LAMP.

Ketiga, tahap impak kesihatan manusia dan alam sekitar bagi setiap aktiviti yang dijalankan di tapak premis LAMP.

Berdasarkan laporan tersebut, LAMP disifatkan:

i. telah mematuhi piawaian ditetapkan

ii. masih berada pada tahap selamat

iii. tidak bercanggah dengan mana-mana akta

iv. memenuhi pra syarat yang telah ditetapkan.

Pihak LAMP telah disaran dengan pelbagai syor daripada pihak jawatankuasa eksekutif terutama yang melibatkan prosedur pengurusan sisa buangan (residu) Water Leached Purification Residue (WLP), Nuetralization Underflow Residue (NUF) dan penemuan beberapa logam berat seperti nikel, plumbum dan merkuri.

Walau bagaimanapun timbul konflik antara LAMP dan pihak MESTECC sepertimana yang dilaporkan oleh The Financial Daily hari ini (6 Disember) bertajuk ‘Lynas slams ministry’s decision as policy based on politics’.

Tindakan kementerian meminta residu dihantar ke luar negara atau balik semula ke Australia adalah tidak konsisten dengan syor daripada pihak jawatankuasa eksekutif yang meminta LAMP untuk mengenal pasti lokasi dan membina fasiliti pelupusan kekal (PDF) terlebih dahulu bagi residu WLP.

Sekiranya lokasi PDF tidak diluluskan, barulah pihak LAMP membawa keluar residu WLP tersebut.

Oleh sebab itu, PAS mengharapkan agar pihak MESTECC bertindak lebih objektif dan adil supaya syor-syor dari pihak jawatankuasa eksekutif yang tidak berkepentingan politik dipenuhi secara adil dan menguntungkan semua pihak.

Islam Memimpin

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
28 Rabi’ul Awwal 1440 | 6 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 6/2/2018