Membaca antara garis pembunuhan Khashoggi

Nasional
Typography

SEJAK dari awal kes pembunuhan Jurnalis Arab Saudi, Jamal Khashoggi berlaku, saya dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku. Laporan berita di media seperti sudah dirancang untuk diarahkan kepada suatu persepsi. Kerana itu saya belum berani memberikan ulasan dalam bentuk tulisan. Kerana ada sesuatu yang perlu difahami.

Terlalu dramatik untuk dipercayai

Pembunuhan Khashoggi adalah sesuatu yang sangat pelik. Adalah satu kebodohan untuk melakukan pembunuhan di kedutaan yang menjadi satu tempat yang memiliki sistem pengawasan tinggi. Berlaku pula di negara yang tidak memiliki hubungan yang baik. Suspek pembunuhan adalah pegawai-pegawai penting Kerajaan Saudi yang datang ke Turki beberapa hari sebelum kejadian.

Jika diikuti perkembangan dunia jurnalisme politik, orang yang lantang seperti Khashoggi bukanlah seorang sahaja. Apa yang dilakukan Khashoggi dengan segala kritikan terhadap Arab Saudi adalah normal. Bahkan lebih ramai yang memberi ancaman kepada Saudi berbanding beliau. Memilih untuk membunuh beliau bagi mengekang ancaman terhadap Saudi adalah suatu tindakan yang tidak berbaloi dengan risiko.

Kebodohan Arab Saudi

Menurut fakta kes, siasatan dan pendedahan menunjukkan memang Saudi berniat untuk membunuh jurnalis itu. Malah ia dikaitkan secara langsung kepada pemimpin de facto Arab Saudi iaitu Putera Mahkotanya Muhammad bin Salman (MBS). Oleh itu tidak pelik bagaimana beliau boleh merancang pembunuhan yang menjerat mereka sendiri ini, kerana MBS dikenali sebagai seorang yang sangat rakus, gelojoh dan tidak matang. Beliau mudah dipengaruhi terutama jika dihasut oleh kekasihnya, US.

Rancangan pembunuhan dalam pengetahuan US dan Turki

Laporan beberapa portal antarabangsa menyatakan bahawa US sebenarnya telah mengetahui rancangan terhadap Khashoggi sebelum ianya berlaku lagi. Di samping itu, seorang Jurnalis Saudi mendatangkan hujahan bahawa Turki sendiri telah mengetahui rancangan tersebut tetapi ia membiarkan sahaja berlaku. Ini kerana kes ini boleh menjadi medium bagi melonjakkan populariti Turki, di samping beberapa kepentingan lain yang menguntungkan negara itu.

Sikap Turki ini tidaklah pelik. Sewaktu kudeta gagal pada 2016 yang lalu, terdapat beberapa pengkaji politik yang mendapati bahawa Erdogan telah mengetahui rancangan kudeta tersebut lebih awal, tetapi beliau tidak menyekatnya sebalik mengeksploitasi rancangan tersebut supaya mengikut jalan cerita yang dikehendakinya.

Perangkap kepada Trump

Walaupun terdapat pemerhati politik yang mengatakan bahawa pembunuhan Khashoggi adalah perangkap bagi menjatuhkan MBS, tetapi saya berpendapat bahawa sasaran sebenar adalah Trump. Hubungan MBS-Trump sangatlah kuat bermula daripada pelantikan MBS sebagai Putera Mahkota yang berlaku beberapa hari sahaja selepas Trump mengunjungi Saudi dalam Riyadh Summit 2016. 

Sejurus pembunuhan, Trump terus mempertahankan MBS dan Saudi dengan menafikan penglibatan negara terbabit. Kini setelah satu persatu pendedahan dibuat mengaitkan Saudi dan MBS, Trump terus dikecam dan dijadikan bahan kutukan dalam atmosfera politik US.

Trump dan Zionis

Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini mengenai kemenangan Trump, beliau bukanlah calon pilihan Zionis. Kekalahan Clinton adalah kejutan besar buat pakatan Judeo-Christian itu. Sokongan yang diberikan oleh Rusia terhadap calon tidak popular itu sangat signifikan dalam menempelak pencatur utama politik US.

Sejak Trump menang, CNN, agensi-agensi kerajaan serta politikus US tidak pernah berhenti dari menyerang Trump atas berbagai isu. Mereka sedang berusaha untuk menjatuhkan kembali beliau kerana telah banyak rancangan geo-politik tergendala kerana takhta Presiden US yang sangat berkuasa itu.

Pembunuhan Khashoggi boleh dibaca sebagai cubaan bagi terus memberi tekanan kepada Trump. Imejnya tercalar teruk sekarang bukan sahaja di US bahkan di mata dunia kerana sikapnya yang tidak bersama arus menyerang MBS. Bahkan CIA sendiri mengakui Saudi terlibat.

Grand Design Dajjal

US sedang dalam rangka mencetuskan Perang Dunia Ketiga. Bagi yang mengikuti senario geo-politik boleh merasai betapa dekatnya dunia ini dengan pertembungan terbesar dalam sejarah dunia itu. Namun perkara itu sedikit terencat apabila takhta Presiden US tidak dipengaruhi Zionis. Bukan bermaksud Trump tidak mampu memimpin US untuk menghadapi peperangan, tetapi kerana Trump sukar untuk mengendalikan peperangan mengikut plot yang telah disediakan.

Perang Dunia Ketiga adalah platform Zionis bagi menukar kiblat dunia daripada US kepada Israel. Daripada Pax-Americana kepada Pax-Judaica. Trump memiliki sifat patriotik yang tinggi terhadap negara. Walaupun beliau ditekan oleh Evangelicalis dalam parti Republikan bagi mengiktiraf kedudukan Israel, tetapi matlamat politik beliau adalah bagi memulihkan US. Sikap itu sangat kontradik dengan kemahuan Zionis dan Freemason.

28 Rabiul Awwal 1440
5 Disember 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 5/12/2018