Pemuda PAS Marang nafi dakwaan berunsur fitnah

Nasional
Typography

KAMI Pemuda PAS Kawasan Marang hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berunsur fitnah oleh portal blog barisanrakyatpru14.blogspot.com dan dimuat naik semula oleh page “Terengganu Times” yang bertajuk 'Pemuda PAS Terengganu sokong tutup panggung wayang'.

Pemuda PAS Kawasan Marang berdiri di atas prinsip bahawa islam tidak menghalang umatnya berhibur selagi tidak lari daripada landasan yang ditetapkan oleh agama. Dalam meyediakan hiburan kepada generasi remaja, pengawasan dari pihak kerajaan dan PBT adalah amat perlu bagi menutup pintu kepada punca masalah sosial yang lain.

Merujuk kepada waktu operasi yang ada sekarang, pihak LFS dan PBT perlulah mengikut garis panduan sepertimana yang telah diwartakan dalam Enakmen Pusat Hiburan dan tempat-tempat hiburan sepertimana yang telah diwartakan dalam Enakmen Bil 12 tahun 2002.

Seperti yang disebut oleh YB Alor Limbat dalam Sidang Dun penggal ke-5 baru-baru ini agar kerajaan dan PBT mengkaji semula waktu operasi tayangan pangung wayang bagi membendung masalah gejala sosial yang bertambah parah dalam masyarakat mutakhir ini.

Justeru itu, Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang amat berharap kepada portal-portal yang berkenaan agar tidak memutarbelitkan fakta dan menyebarkan fitnah.

Sekali lagi saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang menafi sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat oleh portal blog barisanrakyatpru14.blogspot.com dan dimuat naik semula oleh page “Terengganu Times” dan meminta kepada pihak berkenaan menarik balik kenyataan tersebut ataupun bersedia untuk menghadapi tindakan undang-undang.

Yusuf Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang
6 Rejab 1438 / 3 April 2017 - HARAKAHDAILY 3/4/2017