Momentum kedua perpecahan PAS?

Nasional
Typography

FASA Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) di peringkat PAS Cawangan, Dewan-Dewan Kawasan dan PAS Kawasan telahpun selesai. Walaupun masih terdapat beberapa PAS kawasan yang masih belum melaksanakan MAT namun ia tidak menjejaskan perjalanan MAT PAS secara keseluruhannya.

Secara umumnya tidak berlaku masalah besar seperti mana yang dihadapi dua tahun yang lalu. Keadaan jauh lebih tenang tanpa insiden yang mengganggu perjalanan MAT khususnya di peringkat PAS Kawasan-kawasan.

Fasa seterusnya adalah Muktamar Tahunan di peringkat Negeri yang melibatkan Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat sebelum berlangsungnya Muktamar di peringkat Pusat pada penghujung bulan ini.

Sehingga fasa ini, belum ada tanda-tanda akan berlakunya Momentum Kedua Perpecahan PAS seperti mana yang telah disebut oleh seorang bekas pemimpin PAS dilanda kekecewaan sehingga keluar meninggalkan PAS selepas Muktamar PAS kali ke-61 dua tahun yang lalu.

Tanpa menafikan bahawa terdapat juga pertandingan untuk memilih kepimpinan PAS di pelbagai peringkat namun tidaklah membawa kepada kesedihan dan patah hati sehingga mengambil tindakan keluar dari PAS.

Saya yakin keharmonian perjalanan MAT ini akan terus berkekalan sehinggalah selesainya Muktamar Tahunan PAS Pusat sehingga berakhir pada 1 Mei 2017 nanti.

Ketika beberapa parti politik menangguhkan pemilihan jawatankuasa mereka kerana faktor Pilihan Raya Umum yang semakin hampir, ia tidak mengganggu PAS kerana agenda menghadapi PRU adalah agenda bersama. Siapapun yang memimpin parti, peranan mereka untuk memenangkan PAS mestilah dilaksanakan. – HARAKAHDAILY 3/4/2017