21
Tue, May
32 Artikel Baru

Sebar selain Islam bertentangan perlembagaan

Nasional
Typography

PADA minggu lalu, tersebar berita penyebaran Bible kepada orang awam di Pulau Pinang yang dilakukan oleh pihak tertentu yang didakwa sebagai sebuah NGO. Biarpun ia bukan dilakukan oleh gereja, tetapi ia merupakan suatu tindakan yang boleh disabitkan dengan kegiatan penyebaran agama.

Berdasarkan kepada Perlembagaan Malaysia, penyebaran Bible itu tidak sepatutnya berlaku dan pihak berwajib perlu mengambil tindakan terhadap perbuatan itu. Membiarkan kejadian itu berlaku tanpa sebarang tindakan, jelas bertentangan dengan Perlembagaan. Umat Islam perlu mengambil sikap yang tegas dalam perkara ini dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan agar ia tidak berulang lagi.

Di atas senario ini, Dewan Ulama PAS Negeri Selangor dengan tegas:

i) Menggesa umat Islam supaya bertindak menghalang penyebaran ini dari terus berlaku di atas kelemahan kita tunduk kepada sifat toleransi yang tidak berasas.
Ia perlu dimulai dengan pihak kerajaan agar membuat kenyataan yang tegas dengan tidak membenarkan perkara ini berlaku. Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan selaras dengan undang-undang dan enakmen yang sedia ada.
Kemudian, NGO Islam dan seluruh orang Islam perlu menunjukkan sikap tegas agar perkara ini tidak berulang lagi pada masa akan datang.

ii) Menggesa kepada semua pihak dalam negara ini agar menghormati keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang menjadi asas kerukunan dan keamanan negara.

iii) Menggesa negeri yang masih belum menggubal enakmen yang menghalang penyebaran agama atau ajaran lain kepada umat Islam agar berbuat demikian. Penggubalan enakmen ini selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memberikan kuasa kepada negeri-negeri untuk menggubal peruntukan berkaitan.

USTAZ RIZUAN RAHMAT
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 12/11/2018