Kelate-Ganu tidak dibajet?

Kolumnis
Typography

DIKETAHUI sejarahnya Kelantan jadi wilayah diskriminasi kerajaan BN/Umno sepanjang 59 dari 61 tahun empayar merdeka Barisan Nasional. Ia cuma bebas diskriminasi dua tahun saja selepas merdeka – dari 1957-1959 – justeru ia masih dalam tempoh pengaruh Umno yang memenangi pilihan raya 1955.

Apabila ia dirampas PAS tahun 1959 baik siapa saja jadi Perdana Menteri, Kelantan terus didiskriminasi. Sejak Tun Razak belum jadi Perdana Menteri hingga ke zaman Guan Eng jadi menteri kewangan, Kelantan dimomokkan bergantung atas bantuan Kerajaan Pusat untuk membayar gaji pegawai kerajaan.

Hanya di bawah/di hujung pentadbiran Najib dirong-rongkan projek keretapi dari Pelabuhan Klang ke Kelantan merentas Pahang dan Terengganu. Projek guruh di langit langsung tidak dibajet dalam Bajet 2019 Guan Eng kerana anggaran kosnya semahal jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang sebagai sebahagian hantaran yang disyaratkan Puteri Gunung Ledang yang dipinang Sultan Melaka.

Jika projek guruh di langit itu dilaksanakan bolehlah Pahang, Terengganu dan Kelantan mengejar kemajuan seperti pantai barat menjelang 2050.

Apakah Bajet 2019 berjumlah RM314.5 biion masih guruh di langit atau kilat petir membelah bumi adalah harapan semua, moga-moga mencurahkan hujan. Itulah doa semua.

Tetapi bajet itu seperti menyambung amalan diskriminasi zaman BN 59 tahun dulu apabila tidak menjanjikan apa-apa kepada Kelantan. Sekalipun ia juga menyebutkan secara spesifik harapan bagi lain-lain negeri tetapi orang mengharapkan dari Malaysia Baharu ini ia mesti keluar dari amalan buruk BN tentang Kelantan selama ini. Jangan sama macam hantu empayar lama.

Seminggu menjelang bajet Guan Eng merong-rongkan bangsatnya Kelantan hingga tidak dapat membayar gaji pegawai kerajaan dari duit negeri.

Saya tidak mahu kata dia ikhlas atau jahat dengan apa yang ditimbulkan, tetapi tentulah dia sepatutnya sedar betapa Kelantan telah terbiar dalam arus pembangunan negara selama 61 tahun merdeka. Jika dari pimpinan Tunku hingga pimpinan Najib, kerajaan melayan sama rata dan seimbang semua negeri, bandar dan desa, maka tidaklah ada negeri yang terlalu maju dan ada negeri yang tidak mampu bayar gaji pegawai.

Bapak apa jua yang menjadi Perdana Menteri tidak segan menyatakan deraannya kepada Kelantan, justeru tidak menyokong BN. Tidak perlu diperincikan apa mereka perleceh Kelantan, jika betul Kelantan begitu bangsat, antaranya ia adalah gara-gara dasar anak tiri orang tidak mengenal demokrasi, keadilan, kebebasan rakyat memilih kerajaan. Ia adalah tanda orang yang hatinya sakit.

Apabila kerajaan sedar Kelantan ketinggalan dan terbiar, maka ia jangan dibiarkan demikian lagi. Langkah patut diambil bagi membetulkan yang bengkok dulu supaya jangan ada negeri dan rakyat yang dizalimi.

Semua orang tahu betapa orang Kelantan amat industris. Tanpa sebarang galakan dan bantuan mereka anak beranak membangun perniagaan dan perusahaan sendiri di mana saja ada peluang. Jika Cina dikatakan sanggup mati memburu duit, Kelantan adalah orang Melayu yang macam Cina mengejar peluang mencari rezeki.

Profesor wanita Bangladesh yang membuat kajian di Kelantan memberiahu saya, dia kagum dengan peniaga wanita Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu yang gelang emasnya dari pergelangan tangan hingga ke siku.

Ada biasiswa atau tidak anak Kelantan menguasai institusi pengajian tinggi – Islam dan konvensional. Mereka balik membangun negeri atau menguasai perkhidmatan di seluruh negara.

Jika dibajetkan Kelantan dan Terengganu dalam Bajet 2019, ia akan mengejar Selangor, Pulau Pinang dan Perak tahun 2050 nanti. – HARAKAHDILY 7/11/2018