21
Tue, May
32 Artikel Baru

Malaysia dan federalisme fiskal (2)

Nasional
Typography

SIRI 2: Bidang Kuasa Kerajaan Persekutuan dan Negeri

Di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan hanya memperuntuk pembahagian kuasa kepada Kerajaan Persekutuan dan Negeri sahaja meliputi Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Oleh itu, kedua-dua peringkat Kerajaan ini mempunyai hak mutlak meluluskan undang-undang ke atas perkara-perkara dalam senarai masing-masing. Bagaimanapun, tiada peruntukan khas dibuat kepada Kerajaan Tempatan, sebaliknya perkara-perkara kompeten legislatif ini hanya dimasukkan di bawah Perkara (4) senarai kedua atau Senarai Negeri. Bermaksud, Kerajaan Tempatan perlu diurus di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri masing-masing termasuk mengendalikan semua hal dan peraturan bagi Kerajaan Tempatan .

Hakikatnya, kaedah pembahagian kuasa bukanlah ukuran kepada kurang atau lebihnya unsur federalisme tetapi dinilai berdasarkan kepada keseimbangan kuasa antara peringkat Kerajaan. Setakat ini kaedah pembahagian kuasa memenuhi konsep federalisme di dua peringkat Kerajaan namun dari sudut keseimbangan kuasa, syarat federalisme belum dipenuhi oleh Perlembagaan. Peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang tertentu jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan boleh mengambil alih kuasa perundangan yang diperuntukkan kepada Kerajaan Negeri. Jika terdapat percanggahan antara Undang-undang Persekutuan dengan Undang-undang Negeri, Perkara 75 Perlembagaan dirujuk untuk menyelesaikan isu tersebut. Perkara 75 menyebut bahawa:

75. Undang-undang Negeri yang berlawan dengan Undang-undang Persekutuan

Jika mana-mana Undang-undang Negeri adalah berlawanan dengan sesuatu Undang-undang Persekutuan, maka Undang-undang Persekutuan itu hendaklah dipakai dan Undang-undang Negeri itu hendaklah terbatal, setakat mana ianya berlawan dengan Undang-undang Persekutuan itu.

Dalam erti kata lain, Undang-undang Persekutuan lebih diberi keutamaan berbanding Undang-undang Negeri. Tafsiran Perkara 75 tidak dapat diasingkan daripada soal bidang kuasa dan perlulah dilakukan dalam konteks bidang kuasa yang ditentukan; tanpa merujuk kepada bidang kuasa perundangan, agihan kuasa perundangan kepada Persekutuan dan Negeri adalah tidak bermakna.

Penulisan oleh:
MUHAMAD ASYRAF SYAIRAZI SHO'AIB
Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Johor
Kluster Undang-undang JPro DPPM
Penolong Setiausaha PAS Kawasan Segamat - HARAKAHDAILY 29/10/2018