Malaysia dan federalisme fiskal (1)

Nasional
Typography

APA itu federalisme fiskal?

Beberapa buah negara mengamalkan konsep federalisme (Persekutuan) dan Malaysia adalah salah satunya. Menurut Wheare, konsep federalisme bermaksud wujudnya dua peringkat kerajaan iaitu Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri yang mana tiap-tiap tersebut mempunyai had bidang kuasa masing-masing serta bebas daripada campur tangan orang lain.

Secara ringkas, konsep federalisme menonjolkan ciri-ciri pembahagian kuasa antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri. Tiada campur tangan antara satu sama lain. Namun, semak dan imbang antara satu sama lain tetap berlaku mengikut peranan masing-masing. Dari segi praktiknya, Kerajaan Pusat mempunyai bidang kuasa memerintah melalui Dewan Rakyat manakala Kerajaan Negeri pula melalui Dewan Undangan Negeri.

Secara teori, Malaysia disifatkan sebagai sebuah negara federalisme baru yang terkeluar daripada konsep federalisme tulen Wheare. Malaysia juga dikatakan mempunyai ciri-ciri kecondongan pusat (central bias) yang tinggi dan mirip kepada unitarisme.

Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa “Persekutuan adalah dinamakan Malaysia dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris” .

Realitinya, Persekutuan Malaysia yang wujud pada hari ini telah melalui evolusi sejarah yang panjang. Pembentukan yang sangat berkait rapat dengan acuan pentadbiran kolonial sejak tahun 1890-an. Hari ini, keserasian sistem federalisme di Malaysia bukan sahaja memberi manfaat kepada pentadbiran negara malah turut memberi momentum kepada keperluan membentuk kerjasama fiskal di semua peringkat Kerajaan.

Penulisan ini berusaha untuk menjelaskan bidang kuasa fiskal dalam konteks perundangan Persekutuan Malaysia. Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas, senario federalisme fiskal di Malaysia akan turut dikupas.

Penulisan oleh:
MUHAMAD ASYRAF SYAIRAZI SHO'AIB
Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Johor
Kluster Undang-undang JPro DPPM
Penolong Setiausaha PAS Kawasan Segamat - HARAKAHDAILY 28/10/2018