Akta 355 tiada dalam senarai Parlimen?

Nasional
Typography

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) ingin merujuk satu penyataan media daripada YB Datuk Liew Vui Keong, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) mengenai kira-kira 117 akta yang akan dimansuh atau dipinda.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pihak Kerajaan Persektuan telah menyenaraikan secara keseluruhan 133 undang-undang yang akan dimansuh, dipinda dan digubal oleh kementerian-kementerian dalam sesi mesyuarat Parlimen kali ini dan akan datang.

Namun, persoalannya, adakah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau juga disebut Akta 355 disenaraikan.

PAS menggesa pihak menteri untuk membuat pertimbangan sewajarnya supaya Akta 355 disenaraikan juga sebagai tanda komitmen Kerajaan Persekutuan mengangkat institusi mahkamah Syariah dan memperbaharui undang-undang berkaitan jenayah Syariah di negara ini.

PAS juga mahu supaya RUU baharu yang akan digubal mestilah dipaparkan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Terdapat beberapa pemansuhan akta dan penggubalan RUU baru yang dijangka akan menimbulkan kontroversi antaranya RUU Harmoni Nasional, peruntukan hukuman mati, RUU Pembiayaan Politik, RUU Kebebasan Maklumat dan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Islam Memimpin

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
18 Safar 1440 | 27 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 27/10/2018