Industri pelancongan di Terengganu tak serancak mana

Nasional
Typography

INDUSTRI pelancongan di Terengganu sebenarnya tidak serancak mana, kata Ketua Lajnah Kebajikan PAS negeri, Dr Azman Ibrahim.

Dr AzmanKata beliau, antara faktanya lihatlah berapa penerbangan sehari yang tiba dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

"Tak sampai pun 10 penerbangan sehari walau lapangan terbang cukup besar berbanding Lapangan Terbang Kota Bharu yang mengendalikan lebih 40 penerbangan sehari," ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang terlibat juga sikit dalam industri perhotelan bersama kawan-kawan membuka Hotel Tawaquf Inn di hadapan Kompleks Sukan Gong Badak berkata, kadar kemasukan pelancong yang tidak seberapa ke negeri itu menjadikan industri hotel cukup-cukup untuk menampung kos pengurusan sahaja.

"Nak untung jauh sekali," ujarnya sebagai respons kepada cadangan kerajaan negeri untuk memperkenalkan cukai katil kepada pelancong yang menginap di hotel-hotel di seluruh negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri merasakan ia sesuai untuk dilaksanakan sekarang memandangkan industri pelancongan kini telah dijadikan sebagai sektor baharu meningkatkan ekonomi Terengganu.

Perkara itu dinyatakan Ahmad Razif ketika menjawab soalan lisan Adun Rhu Rendang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Persidangan Dewan Unda­ngan Negeri Terengganu ke-13 di Kuala Terengganu, semalam.

Justeru itu, Dr Azman tidak melihat tindakan kerajaan negeri untuk mengenakan cukai katil mampu menjana suatu jumlah hasil yang bermakna bagi Negeri Terengganu.

"Hasilnya tak seberapa. Tapi nanti orang akan kata, dari ambil cukai katil sahaja, baik kutip terus cukai bantal dan selimut sekali," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 29/3/2017