PCS: Hentikan budaya politik kebencian dan permusuhan

Nasional
Typography

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Ketua Penerangan Parti Cinta Sabah (PCS), Ramdi Indang dalam media hari ini. PAS Sabah menganggap kenyataan ini merupakan kenyataan politik yang berasaskan kebencian.

Sebagai parti politik, PCS sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keharmonian dan memperjuangkan keperluan rakyat.

Seperti mana yang dilakukan oleh PAS dalam konteks Pindaan Akta 355 ini, ianya adalah sebahagian daripada kehendak rakyat, khususnya masyarakat muslim. Sebagai bukti, himpunan 355 yang diadakan pada 18 Februari 2017 telah dihadiri ratusan ribu orang di Kuala Lumpur. Ini menunjukkan masyarakat Islam khususnya, mahu melihat akta ini dipinda bagi menaik taraf bidang kuasa mahkamah syariah.

Kenyataan Ramdi seolah-olah tidak memahami sistem perundangan negara ini. Sememangnya sekarang ini Malaysia mempunyai Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Cuma bidang kuasa mahkamah syariah yang terlalu rendah dan ianya perlu ditingkatkan.

Kenyataan seumpama ini boleh menimbulkan polemik dalam masyarakat. Sepatutnya politik sebegini sudah tidak perlu lagi dalam zaman moden ini.

Pindaan akta ini masih belum dibahaskan lagi di parlimen. Maka lebih baik semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi jahat mengenai pindaan akta ini.

PAS Sabah berharap, semua parti politik di Sabah supaya berpolitik secara matang dan jangan berprasangka jahat serta jangan mengamalkan politik kebencian.

Abdul Hisham Othman
Ketua Penerangan PAS Sabah
29 Mac 2017 - HARAKAHDAILY 29/3/2017