17
Sat, Aug
27 Artikel Baru

Muktamar PAS ke-64 melakar sejarah

Nasional
Typography

HUJAN lebat membuka tirai musim tengkujuh pada sebelah malam perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-64 tidak menghalang puluhan ribu perwakilan, pemerhati dan tetamu memenuhi Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus. Muktamar ini memancing pesona dan perhatian seluruh negara kerana berlangsung pasca PRU14 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan BN yang telah memerintah lebih 60 tahun.

Kehadiran rombongan Majlis Tertinggi Umno yang diketuai oleh Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyorot silauan lensa wartawan dan pengunjung muktamar. Sejak tertubuhnya Umno dan PAS lebih enam dekad lampau, inilah julung kali pimpinan tertinggi Umno menghadiri Muktamar PAS. Pasca Tragedi 13 Mei 1969, muktamar tahunan tidak diadakan oleh PAS. PAS menyertai koalisi politik pemuafakatan BN, pasca 13 Mei untuk mengurangkan polemik dan intriq politik serta mengukuhkan penguasaan Bumiputera dalam sektor pemerihtahan.

Tragedi 13 Mei melakar lanskap politik negara ini, dengan menyaksikan akhirnya Tunku Abdul Rahman telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan digantikan dengan Tun Abdul Razak. PAS berada dalam posisi strategik negara semasa berada dalam kerajaan campuran, melakukan islah yang berterusan. Figura penting PAS menggerakkan YADIM, menentang jualan minuman keras di cafe Parlimen, berjaya menghentikan iklan arak dalam media perdana negara, menggerakkan Islamisasi dalam pentadbiran, memperkasa pendidikan Islam, menggerakkan bulan dakwah serta pelbagai kejayaan lagi dalam memperkasakan agama.

Kemenangan PH dalam PRU14 telah menyaksikan kontrak sosial yang cuba dirombak dan menggusarkan hati setiap muslim. PH yang didukung tenaga kempen kuasa Barat melalui IRI dan NGO-NGO liberal pragmatis terpaksa akur dan mengalah dengan tuntutan liberal pragmatis yang merosakkan. Kemenangan PH telah menggebukan gerakan Evangelis, menyuburkan fahaman neo muktazilah (menafsirkan agama dengan rasional aqal), meranumkan fahaman Syiah, reinkarnasi komunisme serta membuncah tuntutan puak LGBT.

DAP yang mendominasi kerajaan PH tanpa segan silu memperlihatkan tampang wajah sebenar mereka. Seupaya mungkin melaksanakan cita-cita "Malaysian Malaysia" serta meroboh jatidiri Tanah Melayu. Parti-parti komponen dalam PH seperti PAN, Bersatu hanya dicucuk hidung, mereka tidak mempunyai kuasa tawar menawar. Lihatlah banyak polisi dan arahan kerajaan PH yang dibuat pusingan U, terutama segalanya mesti direstui oleh DAP. Ancaman masa depan kesatuan negara ini antaranya ialah usaha untuk mengadakan pilihan raya PBT dan persempadanan semula kawasan pilihan raya, jika umat Islam leka dan tidak mengambil cakna urusan politik maka umat Islam akan terperuk di pelbagai sektor. Hilang tanah air, mengalami perlecehan agama dan jati diri muslim antara akibat tempoh jangka masa panjang pemerintahan rejim PH.

PH telah berjaya memanipulasi kebobrokan kerajaan sebelum ini dengan penglibatan besar-besaran avatar mereka di media sosial, anak-anak muda yang merupakan pengundi kali pertama tertipu dengan janji-janji muluk dalam manifesto PH. Terbukti selepas 100 hari pemerintahan PH, mereka tak mampu melaksanakan janji-janji PRU14 dan ironisnya mereka menyalahkan pihak lain pula akibat kedunguan mereka sendiri.

Kebejatan dan kegagalan kerajaan PH ini akan membuka ruang baru politik koalisi negara ini. Inilah yang paling ditakuti oleh DAP dan sekutu mereka, iaitu pemuafakatan strategik antara pembangkang dan gerakan swadaya pelbagai jalur pemikiran dan nuansa perjuangan. PAS diharapkan mengepalai arus deras kebangkitan rakyat negara ini, dengan rekod bersih parti Islam itu dalam pentadbiran. Satu-satunya parti yang tidak terlibat dengan amalan rasuah, mempunyai dua juta penyokong dan sejuta ahli, didukung oleh kelompok kelas nenengah masyarakat, ditunjangi oleh kepimpinan yang memiliki kompetensi yang piawai, terpandu dengan Majlis Syura Ulamak.

Muktamar kali ke-64 juga menyaksikan kehadiran pimpinan MIC, PCM, Ikatan, Berjasa, puluhan NGO besar dalam negara serta gerakan Islam luar daripada Palestin, Sri Lanka, Indonesia, Bangladesh, Sudan, dan lain-lain. Tetamu juga terdiri daripada mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas, Tan Sri Khalid Ibrahim, veteran parti seperti Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok, Haji Subky Latif dan ratusan yang lain.

PAS yang mendapat 18 peratus undi popular dalam PRU14, serta memenangi 18 kerusi Parlimen , memenangi dua buah kerajaan negeri. Gerakan Islam tertua tanah air ini telah teruji dalam tempoh lebih enam dekad, menyaksikan aktivisnya mendekam dalam penjara, intimidasi yang berterusan, mekar dalam mehnah serta tribulasi yang berpanjangan. Muktamar dengan ucapan dasar Presiden bertemakan "Islam Memimpin" adalah tekad dan pentarjihan haraktul ummah ini untuk memicu kebangkitan rakyat Malaysia. – HARAKAHDAILY 15/9/2018

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

ms0

ms1

ms2

ms3

ms4