RUU Antiberita Tidak Benar: Langkah PH gagal

Nasional
Typography

DEWAN Negara hari ini telah menolak pemansuhan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar dengan keputusan undian memihak kepada tidak bersetuju undang-undang tersebut dimansuhkan. Keputusan undian sebanyak 21 setuju RUU tersebut dimansuhkan manakala lebih 7 undian yang tidak setuju ia dimansuhkan dan 3 berkecuali.

Ini merupakan langkah pertama PH dalam merealisasikan manifesto PRU sebelum ini dengan berikrar akan menghapuskan akta yang menzalimi rakyat dan undang-undang ‘rimba’ kerajaan terdahulu.

Akan tetapi, undian yang dikeluarkan tidak menyebelahi pihak Pakatan Harapan sekaligus membuktikan langkah yang diambil oleh Kerajaan Pakatan Harapan tidak disokong oleh Ahli Dewan Negara.

Harus ditegaskan bahawa RUU Antiberita Tidak Benar merupakan langkah bijak yang mampu membendung berita palsu hasil perkembangan media sosial. Serta ia mampu melindungi rakyat daripada berita tidak benar malah menghalang agen-agen penyebar fitnah berleluasa. Ia selari dengan kehendak agama yang melarang penyebaran fitnah yang jelas-jelas membawa kehancuran.

Persoalannya, apakah relevannya pemansuhan ini dijalankan? Malah penyebaran fitnah yang berleluasa dek kerana pemansuhan akta ini menyumbang kepada tekanan emosi dan masalah psikologi kepada mangsa.

Oleh itu, keputusan kerajaan PH untuk memansuhkan akta ini langsung tidak relevan malah lebih banyak lagi akta lain yang lebih penting patut dibincangkan.

Sehubungan dengan itu, keputusan yang dikeluarkan hasil daripada undian Ahli Dewan Negara merupakan jalan terbaik yang tidak sama sekali mengetepikan hak rakyat untuk bersuara malah ia mampu mendidik rakyat supaya bersuara secara berasas dan tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita palsu.

Dengan keputusan yang dikeluarkan jelas membuktikan langkah awal kerajaan Pakatan Harapan gagal untuk dilaksanakan dan tidak selari dengan keperluan kehendak semasa.

YB Shaharizukrinain Abdul Kadir
Ahli Parlimen Setiu
2 Muharam 1440 | 12 September 2018 – HARAKAHDAILY 12/9/2018