Baca Yasin selamatkan PAS dari fitnah RM90 juta

Nasional
Typography

DEWAN Ulamak di bawah pimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum lahir konsep pimpinan ulama, selepas Dr Mahathir yang dipecat Tunku daripada Umno kembali ke pangkuan Umno, sekurang-kurangnya dua kali PAS melancarkan politik membaca Yasin di seluruh negara, mengadu kepada Allah moga-moga selamatkan PAS daripada fitnah yang dihadapkan kepadanya.

Antara fitnah berat itu PAS dikatakan disangkut komunis dan disamakan dengan komunis. Mahathir masa itu menteri pelajaran. Habis penyokong kerajaan menjaja fitnah itu. ISA diadakan khusus disasarkan kepada komunis. Jika PAS difitnah dengan komunis, terbuka pintu ISA itu kepada PAS dan ia menakutkan orang kepada PAS.

Orang kata membaca Yasin itu politik orang kampung dan politik Pak Lebai. Beberapa ketika selepas itu PAS kalah di Kelantan dan Mahathir jadi Timbalan Perdana Menteri. Ketua yang dibacakan Yasin, bukan jatuh tetapi naik jadi Timbalan Perdana Menteri.

Saya tanya Tok Guru Nik Abdul Aziz. Sasaran baca Yasin tidak menjatuhkan Mahathir tetapi dia bertambah naik. Bukan sekadar PAS kalah, bahkan Tok Guru yang tidak pernah kalah, dihantar bertanding Parlimen Bachok lalu kalah juga.

Kata Tok Guru pada saya. Doa kita kadang-kadang tidak makbul dunia tetapi dimakbulkan di akhirat. Baginya akan adalah kesannya.

Apa kesannya? Umno dihinggapi komunis dan timbalan menteri diISA kerana komunis. Ramai pegawai polis jadi mangsa komunis dan Umno hampir pecah dengan fitnah komunis melandanya.

Apabila Mahathir jadi Presiden Umno dan jadi Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Umno kalah 100 peratus di Kelantan tahun 1990.

Dan Mahathir yang dibacakan Yasin tadi meletakkan Umno berkrisis dengan Raja-Raja, berpecah Mahathir dengan Tengku Razaleigh, berpecah dengan Ghafar Baba dan sejak 20 tahun berpecah dengan Anwar Ibrahim.

Sekarang PAS dilanda fitnah dan krisis dikatakan menerima sedekah RM90 juta daripada Umno. 

Muktamar Tahunan PAS ke-64 pada 15 dan 16 Septembar ini boleh memikirkan semula membaca Yasin Perdana mohon pertolongan Allah selamatkan PAS daripada fitnah diberi duit sebanyak itu. Pulangkanlah fitnah itu kepada yang menjaja fitnah.

TULISAN PENUH DALAM AKHBAR HARAKAH EDISI JUMAAT INI