Hijrah satukan umat, raikan perbezaan

Nasional
Typography

HIJRAH merupakan satu titik penting dalam sejarah umat Islam. Umum mengetahui pengajaran disebalik peristiwa ini, tetapi masih ramai yang tidak menghayati secara sepenuhnya.

Peristiwa hijrah memperlihatkan bagaimana Rasulullah SAW telah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar di samping mendamaikan pihak bertelagah termasuk orang Yahudi untuk membentuk sebuah negara. Setiap penduduk mendapat hak dan ruang yang sama dibawah pemerintahan Islam walaupun berbeza agama dan kaum.

Dalam konteks hari ini, corak pemerintahan seperti inilah yang ingin diterapkan dalam pentabiran negeri Terengganu. Sikap amanah, adil, telus dan bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW semasa menjadi pemimpin negara dijadikan panduan dalam membangunkan dan memajukan negeri ini.

Tema Maal Hijrah pada tahun ini, ‘Menyantuni Umat, Membawa Rahmat’ begitu tepat sekali. Jika dihayati, ia membawa mesej supaya masyarakat perlu sentiasa saling menghormati antara satu sama lain, mengelakkan permusuhan dan pertelingkahan, saling bersatu padu walaupun berlainan agama, kaum, ideologi dan fahaman politik.

Teras kepada penyatuan dan perpaduan umat di Madinah adalah kasih sayang atau mahabbah yang didasari oleh Islam dimana semua mendapat keistimewaan. Dalam erti kata lain, penduduk bukan Islam turut diberikan hak pengiktirafan sebagai rakyat.

Kesannya, kepimpinan Rasulullah SAW telah melahirkan kesatuan dan perpaduan kepelbagaian kaum dan agama di Madinah ketika itu. Dalam situasi hari ini, perbezaan itu tidak menghalang kita untuk memupuk nilai kasih sayang demi keharmonian dan kesejahteraan.

Menjadi cita-cita seluruh rakyat untuk melihat negeri Terengganu melangkah ke satu tahap yang lebih baik melalui penghayatan hijrah sebenar bagi mencapai negeri yang diimpikan bermatlamatkan maju, berkat dan sejahtera.

Salam Maal Hijrah.

“Menyantuni Umat, Membawa Rahmat”
“Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
29 Zulhijjah 1439 / 10 September 2018 – HARAKAHDAILY 10/9/2018