Duduk dengan PAS, mesti jadi baik

Nasional
Typography

APABILA suatu ketika dahulu Tun Mahathir menumpang di pentas PAS kerana berkrisis dengan Tunku Abdul Rahman sekitar tahun 60-an, beliau dikatakan banyak berucap menghentam Umno, dasar-dasar yang tidak dipersetujui beliau yang dilaksanakan oleh Tunku. Tun tidak pula dilaporkan bercakap berkenaan hal penghinaan kepada Rasulullah yang tiada pisau ‘Gillette’ atau apa-apa semisalnya yang melanggar syarak atas makluman bahawa PAS memperjuangkan hukum hak Rasulullah. Maka menjadi baiklah percakapan beliau, selaras dengan kehendak Allah yang mana PAS perjuangkan. Hanya bicaranya tertumpu khusus serangan terhadap dasar Tunku yang dikatakan tidak betul itu.

Sewaktu PAS bergabung di bawah bendera Perikatan di pertengahan tahun 70-an, PAS banyak membantu kerajaan dalam melaksanakan prinsip Islam dalam pentadbiran Kerajaan Malaysia. Laporan menyebut bahawa banyak acara-acara kerajaan yang melibatkan hidangan arak, berjaya dihapuskan, walaupun tidak semua. PAS juga berjaya menerbitkan buku-buku agama bagi pihak kerajaan yang masih digunakan sehingga kini. Antara buku-buku terbabit yang menjelaskan Batas-batas Iman dan Kufur yang berkenaan aqidah umat Islam. Tidaklah BN beromongan atau memaksa mengenai perkara dosa dan noda bersama dengan PAS ketika itu kerana tahu kehendak PAS. Bahkan, PAS pernah memecat seorang ahlinya kerana menari dengan wanita dalam satu majlis keramaian.

Semangat 46 mengajak PAS sebumbung dengan mereka bersama beberapa lagi parti lain pada akhir tahun 80-an di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (APU) sebagai satu pasukan menentang BN yang dilihat semakin rakus di bawah kepimpinan Tun Mahathir ketika itu. Dakwa Ku Li sebagai Presiden S46, kemenangan beliau pada pemilihan Agung Umno 87 dirampas Tun Mahathir. Habis digegerkan kejahatan dan keburukan Tun. Tetapi dalam masa yang sama, tiada pula disyarahkan akan keperluan mengekalkan hukum yang diasakan Lord Reid. Ber-Hudud, ber-Takzir dan ber-Qisaslah mereka bagi menari mengikut rentak politik Islam yang dipalu oleh PAS. Memuja-mujilah akan kehebatan Islam yang pada janji mereka akan diberikan keutamaan apabila memerintah nanti. Dan sememangnya patut Islam itu dipuji. Hasilnya, Kelantan semenjak tahun 90, kekal di bawah pemerintahan ulamak. Tidak kurang ahli S46 menukar parti kepada PAS selepas berpecah.

Apabila peristiwa ‘mata lebam’ Pak Syeikh tahun 98 terjadi, PAS sekali lagi diperlukan bagi Pak Syeikh menyuarakan mengenai betapa beliau tidak bersalah atas segala tuduhan-tuduhan oleh mentor beliau Tun Mahathir. Habis pelosok ceruk kampung di Malaysia, disinggah beliau, menggunakan pentas PAS yang mana ketika itu, beliau tidak berparti. Sewaktu pidato berapi-api yang beliau ungkapkan, beliau langsung tidak menyebut perihal cadangan untuk mengadakan rancangan dosa yang tiada berfaedah kepada agama dan rakyat. Mengetahui jelas PAS tidak akan sesekali berkompromi dengan idea dosa, maka beliau membuang jauh-jauh apa-apa sekali berkaitan dosa, kerana menyedari akan kesannya jika PAS menjauhkan diri. Menari rentak lagu Tamil pun tidak. Tapi difahamkan ketika itu pinggangnya masih sakit.

DAP juga tidak ketinggalan mempamerkan sisi baik mereka apabila duduk dalam pasukan yang PAS turut berada di dalamnya, Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR). Mereka mula menghafal ayat-ayat al-Quran bagi memberikan kefahaman kepada rakyat mengenai betapa kesungguhan mereka mahu menjadikan Malaysia lebih baik, makmur dan sejahtera.  

Oleh kerana PAS meyakini bahawa hanya Islam yang akan memandu manusia ke arah itu, DAP tanpa segan silu melafazkan segala bentuk perkara yang diingini PAS yang sebenar pada hakikatnya diinginkan oleh Islam. Tiada mereka mengumpul perkataan keji membina bait-bait ayat bagi menyebut mengenai hal lagha yang sangat dibenci oleh PAS.

Hatta Dyana Sofea ketika kempen PRK Teluk Intan, berselendang dia semasa duduk bersama Presiden PAS. Walaupun tak lengkap tutupan auratnya, tapi masih berusaha untuk bersopan, menghormati PAS. Juga apabila ada artis yang mesra PAS, mereka tidak berdansa berpegang tangan lelaki perempuan bila membuat persembahan. Malah penyanyi wanita juga tidak dibenarkan menyanyi di hadapan lelaki ajnabi. Patuh mereka dengan kehendak PAS yang juga syarat Islam itu.

Terbaharu ialah musuh ketat PAS semenjak sekian lama, Umno, turut menjadikan pentas PAS sebagai apa yang dikatakan titik penyatuan Melayu Islam. Di atas pentas PAS, tiada kedengaran suara Umno menyeru kepada penghinaan terhadap hukuman sebat Syarie yang dilaksanakan oleh Kerajaan negeri Terengganu di hadapan orang ramai baru-baru ini. Tiada lagi mereka mempertahankan segala bentuk perkara yang tidak betul yang mereka lakukan ketika berkuasa dahulu. Yang ada adalah bagaimana mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah kerajaan yang lebih adil di masa hadapan. Semuanya berkaitan dengan kebaikan. Kebencian kepada ulamak, tidak disuarakan oleh mereka, selain mereka turut berkopiah dan berjubah. Tiada diundang Puteri Umno yang berseluar yengki atau berkebaya ketat dengan rambut jambul di depan.

Maka inilah kehebatan Islam yang dibawa oleh PAS. Tajuk di atas mungkin dirasa agak nakal bagi sesetengah orang, mungkin juga memualkan. Siapa lagi kalau bukan kepada pembenci PAS. Tetapi antara kebencian yang menebal itu, dengan kenyataan sebenar jauh di lubuk hati mereka, mereka terpaksa mengakui akan kebenaran kenyataan itu. Mereka telah melihat sendiri bagaimana sebahagian tokoh-tokoh yang dinyatakan di atas ketika duduk bersama-sama dengan PAS, akan bertertib tingkah laku mereka. Seperti ada pengawal lagak gayanya. Cakap hanya kebaikan, akhlak juga tidak meliar. Saya tanpa ragu mempertahankan kenyataan ini. 

Apa signifikasinya tulisan ini? Padahal tokoh-tokoh itu sebahagian besar akhirnya berpisah dan menentang pula PAS, malah ada yang lebih dahsyat tentangannya selepas itu. Tidaklah juga berubah perangai mereka. Ya, itu pandangan yang betul, mereka hanya cuba menggunakan PAS. Lari daripada berkawan dengan PAS, mereka kemudiannya menunjukkan perangai lama mereka. Tun Mahathir kembali bercakap karut mengenai Islam, Pak Syeikh kembali mempersoalkan sebatan Syarie, DAP membenci perkara-perkara baik yang dicadangkan PAS, seperti mahu mengharamkan pesta arak, memberikan kebebasan pekerja seperti pramugari menutup aurat dan banyak lagi. Lihat juga sekumpulan ahli yang keluar daripada PAS sekarang? Ikut bos mereka, janji manifesto bukan satu perkara yang wajib ditunaikan, jangan berlumba-lumba menonjolkan Islam. Pernahkah perkataan itu dikeluarkan ketika mereka bersama PAS dahulu? Carilah sejarah, pasti tidak berjumpa. Dan jika ada, mereka pasti akan ditegur atau dihukum.

Tetapi dari satu sisi positif ialah, sekurang-kurangnya mereka berhenti bercakap mengenai kejahatan atas apa yang Islam larang ketika bersama-sama dengan PAS. Apabila tokoh-tokoh itu turut mahu bercakap mengenai Islam di pentas PAS, mereka mesti belajar dahulu supaya tidak tersalah. Mereka juga pastinya malu melakukan kejahatan kerana ramai yang akan terpalit. Dan rakyat yang baik pasti akan membenci mereka jika masih ‘nakal’ ketika bersama PAS. Sebagaimana apabila berada di dalam masjid, kita menjaga segala akhlak buruk kita agar tidak dipamerkan. Begitulah sikap mereka bila berada ‘dalam’ PAS.

Bukankah Hadis Rasulullah ada mencadangkan untuk bercakap perkara yang baik sahaja atau diam? Inilah hasilnya ketika mereka bersama PAS. PAS memandu mereka ke jalan itu. Biarlah mereka mahu dekat dengan apa niat sekalipun, kerana mereka pasti akan meninggalkan perkara buruk bila bersama PAS. Tiada cocok perlakuan sumbang dengan identiti PAS. Itu semua orang tahu. Jika ada ahlinya terbuat perkara dosa, maka akan segera dikritik orang seperti biasa dikata orang “ahli PAS apa, macam itu? Buat dosa tak ingat dunia”. Tidak masuk akal jika ada orang cuba menukar posisi PAS dalam ayat contoh itu kepada Umno, DAP, Bersatu mahupun PAN. Jadi ia jelas membuktikan PAS bukan tempat berbuat dosa, walau terkadang ada ahlinya terkhilaf. 

Paling menyerlah, PAS tidak pula terpaksa mengikut prinsip mereka bila bersama. Tidak pernah PAS bersetuju atas pentas mereka untuk bersepakat dalam hal keburukan dan kejahatan dari pandangan Islam. Tidak pernah. PAS ajak yang baik-baik sahaja. Jika ada yang mengajak PAS berbuat onar, PAS akan menjauh. Jadi biarlah Umno, Tun, DAP jika mahu berbaik dengan PAS sekarang atau lain kali, sebab mereka akan jadi baik insyaAllah. Jadi bila duduk dengan PAS, mesti dengan sendiri seseorang itu akan jadi baik.

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
9 September 2018/22 Zulhijjah 1439 - HARAKAHDAILY 9/9/2018 

IMG 20180909 WA0017