Menikus

Nasional
Typography

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) terkilan dengan sikap Parti Amanah Negara (PAN) yang menikus untuk mempertahankan keindahan Undang-Undang Syari’ah apabila YAB PM menyatakan pendapat kabinet berhubung isu tersebut beberapa hari lalu.

PM mendakwa hukuman sebatan yang dilakukan oleh Mahkamah Syariah Terengganu dianggap satu hukuman yang melihatkan Islam sebagai agama yang suka menghukum dan bengis. Adakah PAN terikat dengan tanggungjawab kolektif sehingga terpaksa berdiam diri untuk menegur PM?

PAS juga melihat kenyataan media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) yang dikeluarkan semalam bercanggah dengan kenyataan awal beliau yang menyokong sepenuhnya pelaksanaan hukuman sebat yang dilakukan oleh Mahkamah Syariah Terengganu beberapa hari lalu.

Mengapa pula kenyataan beliau semalam mempertikaikan keputusan dan hukuman yang telah diputuskan? Adakah beliau telah ditekan oleh segelintir pihak dalam Pakatan Harapan untuk mengendurkan sokongan awal beliau dalam isu ini?

Tindakan beliau jelas memperlihatkan PAN terpaksa menikus jika terdapat isu-isu yang melibatkan kepentingan Islam. Dalam isu ini, Menteri (Agama) harus mendukung kedaulatan undang-undang Syariah dan berusaha untuk menerangkan perbezaan prosedur dan tatacara hukuman antara mahkamah Syariah dan mahkamah sivil kepada umum.

Inilah ruang yang sesuai untuk menonjolkan keindahan Islam bukan menambah kekeliruan dengan logik akal yang tidak munasabah.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
27 Zulhijjah 1439 | 8 September 2018 – HARAKAHDAILY 8/9/2018