Meramal keputusan di Seri Setia

Nasional
Typography

HARI ini, hari mengundi bagi Dun Seri Setia setelah 21 hari tempoh berkempen. PAS dan PH, masing-masing mengatur strategi baru di Dun Seri Setia.

Maklumlah, tiada siapa lagi yang akan berkempen untuk hapuskan tol, turunkan harga minyak dan hapuskan GST. Kerajaan peringkat Persekutuan telah pun dipegang oleh PH.

Isu-isu yang timbul dalam PRK ini ialah mengenai siapakah calon yang lebih baik untuk mewakili kepentingan penduduk Dun Seri Setia. Apakah perkhidmatan yang mereka boleh kemukakan? Bagaimanakah undi Dun Seri Setia boleh memberikan perubahan kepada Kerajaan PH di Selangor dan di Malaysia?

Calon

Calon PAS, Dr Halimah Ali dilihat mengatasi calon PH daripada sudut calon yang lebih baik. Beliau berpengalaman sebagai Exco Kerajaan Selangor dan pernah menjadi wakil rakyat sebelum ini.

Beliau dilihat bersedia untuk ditemuramah dan memberikan pendapat-pendapat termasuk di televisyen. Beliau menjawab soalan-soalan sukar dengan jawapan yang amat mudah difahami seperti adakah PAS telah bergabung dengan Umno, isu bukan anak tempatan, isu keperluan PAS menghantar wakilnya ke Dun Selangor dan lain-lain.

Beliau juga dilihat mesra dan mudah mendekati dan didekati oleh penduduk.

Halimey Abu Bakar, calon PH dilihat kurang berani menjawab isu-isu semasa. Isu-isu Manifesto PH yang gagal ditepati, tentulah suatu beban yang berat untuk beliau tangani. Beliau lebih menekankan perlunya Dun Seri Setia menyokong beliau kerana beliau adalah wakil PH. Dan PH adalah kerajaan di Selangor. Jika rakyat Dun Seri Setia mahu kebajikan mereka lebih terjaga, pilihlah calon PH.

Kekuatan beliau betul-betul bergantung kepada kekuatan partinya sebagai parti yang menguasai kerajaan.

Parti

PH dilihat lebih dominan daripada PAS. PH pada kali ini turun sebagai mewakili Kerajaan Selangor dan Kerajaan Malaysia berhadapan PAS yang hanya ada satu kerusi di Dun Selangor.

PAS pula turun sebagai memastikan wujudnya elemen ‘check and balance’ di Dun Selangor. Pembangkang yang lemah di Dun Selangor adalah tidak baik untuk rakyat Selangor untuk jangka masa panjang.

Daripada aspek kebajikan, PAS sedia dikenali sebagai sebuah parti yang sinonim dengan kebajikan. Sama ada parti mereka menang atau kalah dalam pilihan raya di peringkat Negeri.

Jika Dr Halimah yang dipilih, ia bererti rakyat telah memberikan pertimbangan sewajarnya jika Adun yang mereka pilih bukan daripada parti yang menguasai kerajaan semasa.

PRK sebagai mesej kepada Kerajaan PH

Jika dilihat daripada aspek keseluruhan, PH ada segala kekuatan untuk memenangi PRK ini.

Namun, jika pengundi Dun Seri Setia memberikan kemenangan kepada calon PAS, Kerajaan PH akan terkejut daripada mimpi indah sokongan rakyat yang tidak berbelah bagi untuk mereka.

Lantaran PH pada hari ini terlalu kuat seperti BN suatu ketika terlalu kuat, suara golongan marhaen tidak lagi sampai kepada mereka.

Seperti yang disebut oleh Presiden PAS, jika dulu mereka senang ditangkap kerana mereka pembangkang, pada hari ini pula mereka senang dilepaskan daripada pertuduhan kerana mereka kerajaan.

Penutup

Sukar sekali meramal keputusan PRK ini. Secara di atas kertasnya, PH lebih dominan.

Namun, pengundi PH mungkin ingin memberikan teguran keras kepada parti pilihan mereka agar lebih memahami kesulitan hidup rakyat dengan tidak mengundi PH dalam PRK ini.

Jika begitu, peratus turun mengundi akan menurun secara drastik juga seperti di PRK Sungai Kandis.

ZAKARIA ISMAIL
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan Marang
8 September 2018 - HARAKAHDAILY 8/9/2018