Sebatan: Pemuda PAS bantah tekanan antarabangsa

Nasional
Typography

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengambil serius kritikan yang dibuat oleh Timbalan Pengarah Human Rights Watch (Asia), Phil Robertson sepertimana yang dilaporkan oleh Malay Mail bertajuk, "Ensure Terengganu caning is the last, human rights watchdog urges Putrajaya" pada tarikh 4 September 2018. Robertson juga menyifatkan hukuman sebatan tersebut satu penderaan, pencabulan hak asasi manusia dan memburukkan imej Malaysia.

KhalilHadiDPPM mengecam kritikan tidak berasas tersebut dan menjemput beliau untuk berdialog dengan pihak berautoriti bagi mendapatkan gambaran secara keseluruham berhubung kedudukan Islam dan perundangan Syariah di Malaysia, termasuk Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah yang telah termaktub di negeri-negeri. Beliau juga tidak wajar memberikan tekanan politik kepada Kerajaan Persekutuan kerana tindakan tersebut telah mencabar kedaulatan undang-undang di negara ini.

Selain beliau, Malay Mail turut melaporkan komentar daripada seorang aktor AS, Dirk Blocker yang menggesa supaya memboikot produk-produk buatan Malaysia sehingga pihak kerajaan berhenti mendera rakyat. Mereka perlu sedar hubungan seks songsang dan LGBT umumnya tidak diterima dalam undang-undang dan hukum adat di Malaysia. Sesiapa yang disabitkan bersalah boleh dihukum dengan hukuman ta'zir sepertimana yang telah diperuntukkan oleh lunas undang-undang.

DPPM merayu rakyat Malaysia supaya memberikan sokongan kepada pelaksanaan undang-undang Syariah dan menggesa pihak autoriti tampil memberikan penjelasan secara meluas kepada masyarakat. Ramai lagi yang masih tidak berpuas hati dengan pelaksanaan hukuman ini termasuk pemimpin parti politik tertinggi kerajaan walhal peruntukan ini sudah bertahun diperuntukkam dalam enakmen setiap negeri.

#SejahteraBersamaIslam
#MaraMenujuCita

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Adun Batu Burok – HARAKAHDAILY 7/9/2018