Sebatan Syariah diteruskan selagi PAS berkuasa

Nasional
Typography

PUSAT Penyelidikan PAS (PPP) meyakini selagi PAS berkuasa di Negeri Terengganu dan Kelantan hukuman yang berkaitan dengan Syariah Islam akan terus dipertahankan. Hukuman seumpama itu termasuklah Hukuman Sebat Syariah seperti yang dijatuhkan kepada dua orang wanita yang terlibat dengan jenayah syariah di Terengganu baru-baru ini.

Meskipun ada segelintir pihak di Malaysia termasuklah Kabinet Kerajaan PH dan SUHAKAM, ataupun pihak antarabangsa seperti Human Right Watch (HRW) menyuarakan bantahan, PPP melihat kerajaan pimpinan PAS di Terengganu dan Kelantan tidak akan sekali-kali mundur. Malah adalah diyakini, perundangan Syariah akan terus diperkasakan di kedua-dua negeri itu.

Berdasarkan pemerhatian PPP, pelaksanaan Hukuman Sebat Syariah baru-baru ini telah mendapat sokongan besar masyarakat Islam di negara ini, termasuklah para agamawan dan ilmuwan. Lebih mengujakan kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir, yang menempelak hukuman itu, telah dikritik hebat oleh para netizen yang mengikuti FB beliau.

Sehubungan dengan sokongan besar masyarakat Islam terhadap pelaksanaan hukuman yang berkaitan dengan syariah, PPP menggesa Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh PH memberi laluan kepada perbahasan pindaan RUU355 yang telah diusulkan oleh Presiden PAS sebelum ini. Pindaan itu akan memberi ruang lebih besar kepada Negeri Terengganu dan Kelantan memperkasakan hukuman seumpamanya.

PPP ingin mengingatkan para penentang Perundangan Syariah, bahawa dari kalangan umat Islam akan ada golongan yang terus-menerus berusaha mendaulatkan Syariah sehingga hari kiamat. Dalam konteks Malaysia, PAS adalah golongan itu, yang telah memaktubkan matlamat itu dalam Perlembagaan PAS dan sudah ditanam dengan begitu mekar dalam jiwa ahli-ahlinya.

DR MOHD ZUHDI MARZUKI
Pengarah PPP

6 September 2018
25 Zulhijjah 1439 - HARAKAHDAILY 6/9/2018