Pengundi Cina, India tidak perlu bimbang

Nasional
Typography

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menyeru pengundi Cina dan India khususnya di Dun Seri Setia untuk memberi undi kepada calon Dr Halimah Ali.

Mereka tidak perlu bimbang dengan agenda PAS kerana Islam yang diperjuangkan adalah untuk kesejahteraan semua pihak.

Tiada sentimen rasis jika PAS menentang PH atau DAP kerana asas penentangan PAS adalah kerana ideologi yang diperjuangkan dan sikap yang ditunjukkan oleh mereka.

Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, PAS bertindak sebagai sebuah pembangkang yang konstruktif dengan mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera.

PAS sama sekali tidak bersikap ekstremis dalam memperjuangkan agenda Islam sehingga menzalimi agama atau kaum lain.

Tawaran PAS yang terdapat dalam manifesto adalah kesejahteraan untuk semua pihak bukan terhad kepada orang Melayu semata-mata.

Ekoran daripada isu pelaksanaan hukuman sebat ke atas pesalah jenayah Syariah di Terengganu, PAS ingin tekankan bahawa ini adalah sebahagian daripada kaedah tatacara hukuman yang dijalankan dalam Islam dan perundangan negara.

Kaedah tersebut jauh lebih baik daripada apa yang diamalkan dalam hukuman sivil malah ia bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada pesalah dan juga rakyat.

Rakyat bukan Islam boleh menilai dengan adil malah PAS mengalu-alukan jika terdapat mana-mana pihak yang mahu mengadakan dialog tentang isu ini.

Begitu juga dalam isu pelaksanaan semula SST. Beban kos sara hidup dan barang-barang semakin naik. Semua rakyat yang berada dalam lingkungan B40 dan M40 tanpa mengira agama dan kaum terkena tempias dengan regim percukaian baru ini.

Oleh sebab itu, PAS mahu memperkenalkan sistem percukaian baru yang hanya memfokuskan kepada golongan super rich 1% hingga 3% dalam kalangan T20.

Kutipan cukai yang diperolehi daripada mereka akan diagihkan secara adil kepada rakyat berdasarkan keperluan sebenar.

Pengundi Cina dan India tidak perlu bimbang untuk mengundi PAS. Setakat hari ini, tidak ada lagi rakyat bukan Islam yang menetap di Kelantan dan Terengganu yang dipinggirkan disebabkan faktor agama atau kaum daripada kerajaan yang ditadbir oleh PAS.

Mengundi calon Dr Halimah Ali adalah sokongan kepada budaya politik matang dan sejahtera yang diagendakan oleh PAS. PAS yakin komitmen yang akan ditunjukkan oleh Dr Halimah Ali untuk membantu pengundi di Dun Seri Setia tanpa mengira agama dan kaum. Islam sejahtera untuk semua.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 5/9/2018