Sebat syarie terbaik cegah perlakuan songsang

Nasional
Typography

PUJIAN patut diberikan kepada Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu yang telah berjaya melaksanakan hukuman sebat syarie kepada pesalah musahaqah di hadapan lebih 100 orang awam yang hadir. Ia mencatat satu sejarah baru bagi Negeri Terengganu apabila hukuman ini pertama kalinya dijalankan dan diyakini dapat mencegah kesalahan perlakuan sumbang ini daripada berulang.

2Kecaman oleh Pengerusi SUHAKAM yang menyatakan bahawa hukuman ini adalah penghinaan dan memalukan dua wanita tersebut termasuk ahli keluarga mereka serta melanggar undang-undang antarabangsa menunjukkan SUHAKAM sebenarnya lebih mengutamakan perundangan antarabangsa yang tidak mengikat berbanding undang-undang negara yang sedang berkuatkuasa serta jauh sekali memahami prinsip perundangan Islam dan hikmah pensyariatannya.

Harus ditegaskan bahawa perlakuan LGBT ini adalah mungkar yang perlu dicegah kerana sesungguhnya Allah telah membinasakan kaum Lut akibat amalan songsang ini.

Justeru itu, sewajarnya hukuman sebatan yang menggunakan konsep tarhib (menimbulkan kegerunan terhadap dosa) ini patut disokong kerana hukuman ini bersifat mencegah (al-rad’u wa al-zajru) dan mendidik (al-tahzib). Secara tidak langsung, ia mampu mencegah pelaku daripada mengulangi kesalahan itu dan mendidik orang yang menyaksikannya agar tidak membuat kesalahan yang sama.

Sehubungan dengan itu, hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu ini merupakan jalan terbaik yang tidak sama sekali mengetepikan hak asasi manusia malah dengan cara ini mampu menutup jalan-jalan mufsadah (keburukan). Paling utama, dengannya ini, kita dapat mencegah daripada mengundang kemurkaan Allah sepertimana yang telah ditimpakan kepada kaum Lut.

YB Shaharizukirnain Abdul Kadir
Ahli Parlimen Setiu
5 September 2018 | 24 Zulhijjah 1439 – HARAKAHDAILY 5/9/2018