Falsafah hukuman syariah memutik kegerunan

Nasional
Typography

TINDAKAN Kerajaan Terengganu menjalankan hukuman terhadap pasangan wanita yang melakukan jenayah musahaqah secara tidak langsung telah menarik perhatian rakyat seluruh negara.

Hukuman bersabitkan kesalahan di bawah Seksyen 30, Enakmen Jenayah Syariah Terengganu (Takzir) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59(1) di Mahkamah Tinggi Terengganu itu dijalankan penuh ketelitian tanpa mendatangkan kecederaan parah ke atas pasangan berkenaan.

Walaupun terdapat pihak tertentu yang cuba mempertikaikan cara penguatkuasaan undang-undang takzir itu dilaksanakan, namun ia dilihat hanya bersandarkan alasan peribadi dan kononnya tidak menepati hak asas kemanusiaan.

PAS Kedah mengambil pendirian menyokong tindakan Kerajaan Terengganu melaksanakan undang-undang syariah berkaitan dalam ruang lingkup bidang kuasa perundangan negeri yang termaktub di dalam Senarai 2 Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Tidak dinafikan, undang-undang tersebut berjaya membuka mata semua pihak walaupun mendapat pelbagai reaksi. Namun hakikatnya, falsafah hukuman syariah memutikkan rasa kegerunan terhadap Allah SWT.

Secara tidak langsung ia dapat mendidik masyarakat khususnya yang beragama Islam, melahirkan keinsafan dan juga tidak dinafikan ia juga merupakan senjata yang dapat membendung gejala sosial seperti perlakuan seks luar tabie.

Justeru itu, tindakan yang diambil oleh Kerajaan Terengganu amat tepat memandangkan kes-kes seumpama itu yang hangat diperjuangkan oleh golongan LGBT dilihat semakin menular di Malaysia sekarang ini.

Masyarakat perlu disedarkan, perlakuan menyanggahi fitrah ketentuan Allah itu bukan sahaja mengundang masalah kesihatan serta pelbagai penyakit malah merupakan dosa besar di sisi Allah dan akan menerima azab yang pedih di akhirat kelak.

DR AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
Pesuruhjaya PAS Kedah
5 September 2018 – HARAKAHDAILY 5/9/2018