Hukuman sebat: Golongan ini hendak apa?

Nasional
Typography

APABILA orang Islam hendak mengamalkan hak mereka, maka terserlah wajah-wajah dan tulisan yang anti kepada penghayatan Islam. Apabila hukum sebat syariah tidak salah dari segi bidang kuasa Mahkamah Syariah, maka mereka cuba bermain dengan emosi pula. Kenapa sebat dilaksanakan di hadapan orang ramai, ini bukan cara untuk mendidik? Macam-macam lagi tuduhan untuk memperkecilkan syariat Allah SWT.

Sebenarnya golongan ini hendak apa? Mereka hendak membentuk masyarakat ke arah mana. Bercakap dengan emosi atau memang tidak suka dengan Islamisasi.

Perlu diingatkan umat Islam hanya menuntut hak mereka di dalam kerangka perlembagaan. Umat Islam masih menggunakan muwajahah silmiah. Mereka bukan menuntut hak mereka dengan kekerasan dan di luar batas demokrasi. Mereka masih menghormati ulama yang melarang menggunakan kekerasan.

Harapan saya supaya semua lapisan masyarakat daripada pemimpin hingga orang biasa, sama ada Islam atau bukan Islam perlu menghormati hak orang Islam. Jangan ada orang yang cuba hendak melakukan provokasi dan penghinaan kepada usaha untuk mengangkat Syariat Islam.

Isu agama, isu yang cukup sensitif. Orang Islam di negara ini, boleh sabar jika tanah mereka hilang tetapi mereka tidak boleh agama mereka dicabul dan dihina. Jika hendak keharmonian dikekalkan hormatlah hak orang Islam sebagaimana Islam melarang penganutnya mengganggu agama orang bukan Islam.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
4 September 2018 – HARAKAHDAILY 4/9/2018