Undang-undang Jenayah Islam beri keberkatan

Nasional
Typography

HARI ini Mahkamah Syariah Terengganu telah mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila buat pertama kali melaksanakan hukuman sebat syarie ke atas 2 pesalah berusia 22 dan 32 tahun sambil disaksikan oleh 100 orang awam berdasarkan Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah. Pelaksanaan ini menjelaskan hakikat sebenar kaedah sebat syarie yang disalahfaham oleh setengah khalayak yang sebenarnya sangat jauh berbeza dengan sebat sivil.

Hukuman sebat syarie yang dilaksanakan di bahagian belakang badan pesalah mengggunakan rotan nipis dalam keadaan pesalah berpakaian dan sedang duduk tanpa menyakitkan kulit dan mencederakan adalah semata-mata bertujuan memberi hukuman pengajaran berbanding hukuman sebat sivil yang menggunakan rotan tebal sehingga menyebabkan kecederaan dan meninggalkan parut.

Selain memberi ingatan kepada pesalah, sebagai hukuman agar ia tidak diulangi lagi, pelaksanaan di khalayak ramai menepati ruh tuntutan Syarak juga menjadi pengajaran kepada orang awam supaya tidak sesekali melakukannya.

Apa yang lebih penting ialah kaedah hukuman sebat syarie ini mengundang keberkatan Allah ke atas rakyat dan negeri ini sebagaimana sabit dalam beberapa hadis Nabi saw, suatu perkara yang tidak ada ruh keimanannya dalam pelaksanaan hukuman jenayah sivil.

Nabi SAW bersabda menjelaskan kelebihan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam seperti Hudud

حَدٌّ يُقَامُ فِي الأَرْضِ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تُمْطَرُوا أَرْبَعِينَ صَبَاحًا

"Satu hukuman Had yang dilaksanakan di satu bumi lebih baik daripada kamu diberikan hujan selama 40 subuh." (Hadis riwayat Nasaei)

Saya percaya, sekiranya aktivis Joint Action Group for Gender Equality (JAG) atau The Malaysian Bar mahu dan mampu berfikiran waras dan bersifat manusiawi, mereka pasti menggesa supaya Kanun Keseksaan dalam kes sebegini dilaksanakan sebagaimana hukuman sebat syarie dan mendesak supaya Kanun Keseksaan dipinda sesuai dengan tuntutan syariah.

Pelaksanaan sebat syarie ini juga menunjukkan sebenarnya badan kehakiman syariah mempunyai kesediaan dan kemampuan untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah yang dikanunkan oleh badan perundangan negeri justeru sekali gus menafikan dakwaan yang menidakkan keutamaan dan kepentingan RUU355 sebagai usaha memperkasakan Mahkamah Syariah di negara ini.

Tahniah Mahkamah Syariah Terengganu.

“Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Isnin, 3 September 2018 | 22 Zulhijjah 1439 – HARAKAHDAILY 3/9/2018