Bila penguasa buat perangai pernah dibangkangnya

Nasional
Typography

SAMA ada sedar ataupun tidak, realiti dunia hari ini sememangnya mengangkat hukum rimba sebagai norma kehidupan. Ukuran benar dan salah berdasarkan kuasa. Sesiapa sahaja yang kuat pasti selamat. Sesiapa yang lemah, maka mereka wajar dibuli.

Peluang adalah ujian

Kita diuji sama ada boleh berlaku adil atau tergamak berbuat zalim, bukan ketika kita sedang berada di bawah. Sebaliknya ujian tersebut dikenakan setelah kita berkuasa. Terkadang yang membezakan antara pemangsa dan mangsa, adalah peluang.

Berapa ramai yang ketika menjadi pembangkang, melaung-laungkan slogan-slogan indah. Keadilan, kebajikan, integriti, belas ihsan dan seumpamanya meniti di bibir masing-masing. Tetapi setelah berkuasa, mereka berlaku kontra dengan apa yang telah mereka dilaungkan ketika menjadi pembangkang. Lalu mereka mengulangi salah laku golongan yang dahulunya mereka tuduh sebagai zalim dan tidak berintegriti.

Penyelewengan, kezaliman, Kronisme dan diskriminasi tanpa malu mereka tiru ibarat menggunakan kertas karbon dari penguasa yang terdahulu.

Skema Syaitan

Hakikatnya kezaliman tidak memerlukan kursus bagaimana mahu menjadi zalim. Sebaliknya cukup apabila kita beroleh peluang lantas kita menuruti nafsu. Maka kita berpotensi melangsungkan kitaran kezaliman yang dahulunya kita caci.

Barangkali diktator-diktator yang ada hari ini, tidak pernah belajar berkenaan kaedah bagaimana mahu menjadi Firaun. Tetapi kelaku pemimpin-pemimpin yang zalim saling tidak tumpah seperti contoh-contoh diktator yang terakam di dalam al-Quran. Senario tersebut menterjemahkan kesan dari tipu daya Syaitan yang sama secara turun temurun mengajar manusia dengan kaedah yang sama untuk menjadi zalim.

Rasai kezaliman untuk memahami keadilan

Oleh kerana itu, Allah menetapkan para Nabi dan generasi terdahulu yang berjaya melalui pengalaman ditindas, dibuli dan dianiaya. Pengalaman itu penting sebagai sesi pembelajaran untuk memahami maksud sebenar kezaliman dan bagaimana rasanya dizalimi:

وَنُرِيدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا فِي الْأَرْضِ وَنَجْعَلَهُمْ أَئِمَّةً وَنَجْعَلَهُمُ الْوَارِثِينَ

"Dan Kami mahu mengurniakan buat golongan yang tertindas di atas muka bumi, dan merekalah yang Kami akan lantik sebagai pemimpin-pemimpin dan Kami jadikan mereka sebagai pewaris (kekuasaan)"

(al-Qasas: 5)

Persoalannya, adakah kita memanfaatkan pengalaman ditindas dengan belajar batas-batasan adil dan zalim? Ataupun kita sekadar membangkang kerana dendam? Yang menyebabkan sekiranya kita beroleh kekuasaan, kitalah yang menyambung perilaku zalim orang-orang sebelum kita.

Bukankah Allah telah menceritakan kepada kita, berkenaan sejarah Bani Israel yang asalnya merupakan golongan tertindas. Kemudian mereka turut melakukan penindasan dan penyelewengan setelah beroleh kuasa.

ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
3 September 2018 - HARAKAHDAILY 3/9/2018