Perutusan Kemerdekaan: Minda dan jiwa merdeka

Nasional
Typography

31 Ogos 2018 detik negara Malaysia menyambut kemerdekaan yang ke-61. Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat kemerdekaan yang kita kecapi selama 61 tahun ini. Jika kita soroti sejarah kemerdekaan negara kita, kita akan dapat menjiwai kesusahan nenek moyang dalam mempertahankan negara yang dicintai daripada belenggu penjajah.

Erti sebenar kemerdekaan bukanlah pada bebasnya kita daripada cengkaman penjajah semata-mata. Hakikatnya kita perlu membebaskan jiwa kita daripada belenggu kejahilan dan kemaksiatan yang semakin menular dalam kalangan masyarakat kita mutakhir ini.

Bertepatan dengan firman Allah:

‎وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ

“Sesungguhnya kami telah utus rasul kepada tiap bangsa: (Dan mereka berkata) Hendaklah kamu sembah Allah dan jauhilah taghut. (Surah An-Nahl 16:36)

Di Hari Kemerdekaan ini marilah kita sama-sama menghayati kemerdekaan ini menurut kaca mata Islam yang sebenar bukanlah kerana pembebasan negara semata-mata. Kemuncak kepada kemerdekaan adalah kembali kepada agama.

Firman Allah s.w.t.:

‎فَاحْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا

Maksudnya: Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). (Surah al-Ma’idah 5: 48)

Minda dan jiwa yang merdeka perlu dilentur dan dibentuk mengikut acuan Islam. Al-Quran dan sunnah dijadikan sebagai pedoman. Setiap juzuk dalam kehidupan, Islam telah menggariskan segala hukum hakam dan tatacara yang penuh tertib lagi tersusun.

Justeru, dalam meniti zaman medsos tanpa sempadan ini, tingkatkan ilmu dan kefahaman dengan semaksima mungkin, jauhilah segala anasir pemikiran barat sekular dan liberalisme, sentiasa merujuk dengan orang fakih alim ulama dalam bidang agama dan elakkan dari menyebar viral berita dan bahan palsu.

Oleh itu, kita perlu sama-sama berganding bahu membina negara dengan erti kemerdekaan dengan sebenar-benarnya. Kemerdekaan yang menyeluruh yang mendapat bimbingan dari Allah dengan menjadikan Islam sebagai panduan kepada seluruh kehidupan manusia.

Pada kesempatan ini, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) ingin mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan yang ke-61 kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira di mana pun berada. Ayuh! Bangkit bersama dengan minda dan jiwa yang bersih agar dirimu menjadi kebanggaan dan bakal mencipta lipatan memoir sejarah yang indah!

“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
30 Ogos 2018 / 18 Zulhijjah 1439 - HARAKAHDAILY 30/8/2018